Saturday, 4 November 2017

Faktor Yakin di dalam Ruqyah

Saturday, 4 November 2017
Semua kita tahu, keyakinan di dalam ruqyah adalah antara faktor terpenting di dalam penyembuhan. Tapi sebenarnya ramai antara kita yang tersalah faham dengan apa yang dikatakan keyakinan itu.

Rata-rata kebanyakan kita menyangka bahawa keyakinan di dalam ruqyah itu adalah meyakini bahawa ayat-ayat ruqyah yang dibaca itu mempunyai kesan penyembuhan kepada penyakit. Tetapi sebenarnya, walaupun keyakinan sebegini juga perlu, ianya tidak akan memberi kesan maksima, sekiranya keyakinan kita kepada perkara-perkara yang lebih asas tidak mantap.

Apa yang dimaksudkan dengan keyakinan-keyakinan yang lebih asas. Iaitulah dia keyakinan kepada janji-janji dan amaran-amaran Allah. Juga keyakinan kepada perkara-perkara yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam. 

Yang menjadi permasalahannya ialah, tahukah kita adakah kita ini telah benar-benar yakin kepada Allah dan RasulNya. Kerana, keyakinan itu adalah perkara yang ghaib. Namun sebenarnya, ada cara-cara yang boleh kita lihat untuk mengukur keyakinan kita.

Mari kita lihat satu contoh. Ada seorang lelaki yang telah dimaklumkan oleh boss, yang dia akan ditukarkan ke cawangan syarikat yang berada di negeri lain. Dia sangat yakin bahawa dia akan ditukarkan. Kerana dia bukan dimaklumkan oleh kawan-kawan sekerja. Tetapi dia telah dimaklumkan sendiri oleh boss bersama-sama dengan pegawai dari bahagian HR. Dia juga telah menerima memo bertulis tentang pertukaran itu.

Maka kerana keyakinan itu, menyebabkan dia bertindak untuk bersiap sedia menghadapi pertukaran itu. Dia segera mencari rumah sewa berdekatan cawangan yang dia akan ditukarkan. Juga bersiap sedia "packing" barang-barang untuk dipindahkan. Bahkan dia telah ke Jabatan Pendidikan untuk menguruskan pertukaran sekolah anak-anaknya.

Ya, begitulah yang dikatakan yakin. Keyakinan sebenar akan menyebabkan berlakunya tindakan. Walaupun keyakinan itu adalah perkara ghaib, keyakinan itu boleh diukur dengan tindakan-tindakan yang kita lakukan.

Kalau kita benar-benar yakin bahawa kita ini akan mati, maka sudahkah kita melakukan tindakan yang boleh mengurangkan kesakitan sakratul maut.

Adakah kita benar-benar yakin kita akan disoal malaikat Munkar dan Nankir? Kalau ya, sudah tentu kita telah mempersiapkan passport akhirat agar mudah melalui soal siasat Munkar dan Nankir.

Adakah kita benar-benar yakin kita akan berdiri di padang masyar yang sangat panas. Jika ya, sudahkah kita mempersiapkan tindakan agar kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang berada di bawah perlindungan Kursi Allah dari kepanasan di masyar?

Jika kita benar-benar yakin bahawa amalan kita akan ditimbang di mizan, sudah tentu kita telah mula membuat usaha untuk mengurangkan dosa dan memperbanyak pahala.

Juga adakah kita benar-benar yakin kita akan meniti di atas sirat? Jika ya, sudahkah kita mempersiapkan tindakan untuk menghadapinya.

Adakah kita benar-benar yakin dengan syurga dan neraka? Adakah kita telah menempah rumah kita disyurga? Adakah kita telah mula menanam pokok-pokok di dalam kebun disyurga? Adakah kita telah mempersiapkan benteng-benteng yang dapat melindungi kita dari neraka?

Jika belum, dan lebih teruk lagi belum ambil tahu pun amalan-amalan yang perlu kita lakukan, maka itu adalah petanda keyakinan kita itu hanya dusta. Kata orang dulu-dulu, keyakinan kita itu hanya, "kata tidak disokong buatan."

Makanya, apabila ruqyah dibacakan oleh orang yang benar-benar yakin dengan janji Allah dan RasulNya, bukan sekadar meyakini kesan penyembuhan ayat-ayat ruqyah, barulah bacaan ruqyah itu akan menjadi ikhtiar penyembuhan yang sebenar-benar mantap.

Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails