Thursday, 29 December 2016

Sebab Musabab Penghalang Kesembuhan

Thursday, 29 December 2016
Dari sedikit pengalaman di dalam rawatan gangguan mistik, ada beberapa perkara yang menonjol sebagai perkara yang mempersulit & menghalang kesembuhan. Izinkan aku berkongsi sedikit tentangnya. Aku bukan ustaz, jadi aku tak mahu bercakap tentang hukum. Tapi aku nak bercakap berdasarkan pengalaman.

[Tangkal dan Azimat]
Ketahuilah selagimana anda mempercayai, apatah lagi menggunakan tangkal dan azimat, hampir-hampir mustahil untuk anda sembuh sepenuhnya dari masalah gangguan mistik.  Dari pengalaman kami, sudah terlalu banyak dibuktikan. Pesakit-pesakit yang cuba menyembuhkan diri dari masalah gangguan dengan menggunakan kaedah tangkal atau azimat, tidak sekali-kali akan sembuh dari masalah yang di hadapi. Kalau pun sembuh, hanya untuk sementara sahaja. Apabila umur meningkat tua, pelbagai penyakit pelik akan datang menjelma.

Bahkan, jika anda menggunakan tangkal atau azimat, kemudian anda pergi pula berubat dengan kaedah ruqyah, bacaan-bacaan ruqyah hampir-hampir tidak akan memberikan sebarang kesan kesembuhan kepada anda. Ini juga telah dibuktikan berkali-kali. Ruqyah yang langsung tidak memberi kesan, terkadang serta-merta berkesan setelah segala tangkal atau azimat dimusnahkan. Terdapat juga beberapa kes yang lebih drastik. Iaitu pesakit tiba-tiba terus sembuh sejurus tangkal & azimat dimusnahkan.

Tahukah anda kenapa? Cuba fikir dengan waras. Rasa-rasanya apakah sumber kekuatan tangkal atau azimat? Mungkinkah kekuatan tangkal atau azimat itu datangnya dari Allah? Adakah anda rasa Allah akan memberi kekuatan kepada tangkal dan azimat? Sudah tentu sekali-kali TIDAK. Maka jika sumber kekuatannya bukan dari Allah, maka dari manakah ia? Ya, tidak lain dan tidak bukan, sudah tentu dari SYAITAN..... Maka jika anda adalah mangsa sihir, adakah anda rasa syaitan tangkal akan membantu anda melawan syaitan sihir? Sekali-kali tidak. Jika kelihatan seperti berkesan sekalipun, yakinlah bahawa itu hanyalah WAYANG. Tidak lebih dari wayang para syaitan untuk mempermain-mainkan anda. Dan apakala anda sedang menjadikan syaitan-syaitan tangkal sebagai pelindung anda, adakah anda rasa bahawa Allah akan menjadikan Al-Quran sebagai asbab penyembuh bagi anda?

[Menggunakan Al-Quran sebagai Azimat]
Ini juga adalah satu kesalah-fahaman yang fatal. Ada pesakit yang menampal ayat-ayat Quran dengan tujuan perlindungan. Antara juga yang meletakkan surah Yasin di bawah bantal, atau di atas pintu. Bukan sahaja amalan sebegini tidak memberi sebarang kesan untuk menyelesaikan masalah gangguan. Kadangkala, ia boleh pula menjadi faktor yang menambah beratkan lagi masalah gangguan. 

Memang Allah telah mengisytiharkan bahawa Al-Quran itu adalah penyembuh. Tetapi, apakah Al-Quran itu? Adakah Quran itu ialah tulisan-tulisan atau lembaran-lembaran? Al-Quran telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullulah sallallahu 'alaihiwassalam sebelum ianya disampaikan kepada kita. Adakah Al-Quran diturunkan kepada Rasulullulah sallallahu 'alaihiwassalam di dalam bentuk lembaran-lembaran tulisan. Tidak... sekali-sekali tidak. Al-Quran telah diturunkan dengan hampir 7 - 9 cara, tetapi tiada satupun dari cara-cara tersebut adalah dengan lembaran-lembaran. Maka Al-Quran yang sebenar-benar Al-Quran, adalah yang dibaca dengan suara, diyakini dengan hati, dan diamalkan di dalam kehidupan.

Juga telah banyak dibuktikan di dalam rawatan. Jin-jin penganggu mengaku ingin keluar tetapi terikat dengan lembaran-lembaran Al-Quran yang digunakan selaku azimat. Setelah lembaran-lembaran dimusnahkan, barulah jin-jin penganggu dapat melepaskan diri.

Ketahuilah apabila lembaran-lembaran Al-Quran digunakan secara salah selaku azimat, pada ketika itu sumber kekuatannya bukanlah lagi dari Allah. Bahkan adalah ia dari syaitan. Biarpun ada ulama-ulama yang membenarkan penggunaan azimat dengan ayat-ayat Al-Quran, pengalaman di dalam rawatan telah banyak membuktikan, bahawa sumber kekuatannya adalah dari syaitan. Maka sekali lagi, apakala anda sedang menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung anda, adakah anda rasa bahawa Allah akan menjadi pembela anda?

[Beramal dengan wirid-wirid yang tidak ikhlas]
Tabik-tabik cakap, aku sendiri pernah terlibat dengan wirid-wirid sebegini semasa zaman-zaman jahiliyah dulu. Wirid-wirid sebegini tidak semestinya wirid-wirid yang pelik-pelik. Bahkan aku pernah berwirid dengan surah Al-Fatihah yang menyebabkan datangnya syaitan kepada diri aku. Bagaimana wirid-wirid sebegini boleh mengundang syaitan pula? 
 
Tiadalah fungsi wirid-wirid itu selain dari sarana untuk membantu kita di dalam dzikir kepada Allah. Apakala ianya dilakukan dengan sebab selain dari itu, tambahan lagi yakin anda adalah kepada wirid dan bukan kepada Allah, maka besarlah potensi untuk syaitan menyusup masuk. Antaranya ialah:
  • Berwirid untuk mendapatkan ilmu-ilmu kesaktian seperti kebal dan sebagainya.
  • Mengamalkan wirid untuk pemanis muka.
  • Mengamalkan wirid untuk mem"power"kan ruqyah anda.
  • Dan macam-macam lagi.....
Adapun jika wirid anda adalah semata-mata untuk berdzikir kepada Allah, maka lakukanlah sehingga berjuta-juta kali sekalipun. Insya Allah tidak akan memberi sebarang kemudaratan.

Begitulah serba-sedikit antara perkara-perkara yang menjadi penghalang kesembuhan. Semoga kita semua dapat mengambil cakna terhadapnya.
 
Di lain kali mari kita bincang pula tentang pengunaan petua dan wafaq yang halal di dalam rawatan...

0 comments

Sunday, 11 December 2016

Ruqyah itu umpama menebang pokok

Sunday, 11 December 2016

  • Ruqyah itu adalah ibarat menebang pokok. 
  • Amat jarang di dapati pokok dapat ditumbangkan dengan sekali tetakan. 
  • Lainlah kalau yang ditetak itu pokok renek. 
  • Maka lakukanlah ruqyah dengan istiqamah, walaupun kelihatan seperti tiada kesan.
  • Umpama menebang pokok, tetakan-tetakan permulaan umpanya tiada kesan. Tetapi sebenarnya, batang pokok sudah mula menipis.
  • Semakin besar pokok, semakin banyak tetakan perlu dilakukan.
  • Begitulah juga, semakin berat penyakit, semakin banyak sessi ruqyah yang perlu dilakukan.
  • Dan janganlah lupa mengasah kapak.
  • Begitulah juga, janganlah mengabaikan taqarrub kepada Allah.
  • Dan yakinlah akhirnya penyakit akan sirna, sebagaimana pokok akan tumbang juga akhirnya.



0 comments

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails