Sunday, 12 June 2016

Dosa & Baik Sangka

Sunday, 12 June 2016

TIDAKLAH BESAR SESUATU DOSA MELEBIHI SESUATU YANG MENGHALANG KAMU BERBAIK SANGKA KEPADA ALLAH S.W.T. BARANGSIAPA MENGENAL TUHANNYA NESCAYA MELIHAT KECILNYA DOSA.

TIDAK ADA DOSA KECIL JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KEADILAN-NYA DAN TIDAK ADA DOSA BESAR JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KURNIAAN-NYA.

Junaid al-Baghdadi berkata: “Barangsiapa tidak mencapai fana dirinya dan baqa dengan Allah s.w.t, maka semua kebaikan yang dibuatnya adalah mengandungi dosa”.

Ahli makrifat melihat kecilnya perbuatan dosa jika dibandingkan dengan pengakuan dirinya ada kuasa menciptakan sesuatu perbuatan. Bagi mereka, selagi mereka melihat diri mereka melakukan amalan, selagi itulah amalan mereka mengandungi dosa. Perhatian kepada diri menghijab perhatian kepada Tuhan. Orang arif mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Mereka melihat diri mereka tidak melakukan kejahatan kerana Allah s.w.t menjaga dan melindungi mereka daripada kejahatan. Mereka melihat diri mereka berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t mengurniakan kebaikan itu kepada mereka. Tidak terlihat lagi pada mata hati mereka sesuatu apa pun kecuali yang dari Allah, kepada Allah  dan beserta Allah s.w.t.

Tanpa makrifat seseorang akan melihat amal yang dilakukannya dan dia cenderung untuk mengukur dirinya dengan amalan tersebut. Seterusnya dia menjadikan amalan tersebut sebagai persediaan untuk menghadap Allah s.w.t. Boleh dikatakan dia menjadikan amalannya sebagai tuntutan terhadap Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba membawa kepada Allah s.w.t amal perbuatannya, maka Allah s.w.t menerimanya dengan hisab dan perhitungan yang terperinci. Hisab Allah s.w.t sangat halus dan rapi. Tidak ada walau sebesar zarah pun yang terkeluar dari kiraan-Nya. Sebab itu jika kamu dihadapkan kepada keadilan Allah s.w.t, tidak ada dosa yang kecil atau remeh-temeh yang boleh lepas dari kiraan Allah s.w.t. Semuanya besar dan semuanya dikira. Berbeza keadaannya bagi orang yang dihadapi Allah s.w.t dengan kurnia-Nya. Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang  yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. ( Ayat 111 : Surah at-Taubah )

Orang yang dibeli oleh Allah s.w.t, menjadi hamba abdi kepada-Nya. Allah s.w.t, sebagai Tuan, menguruskan, memelihara dan menjaga abdi-Nya. Apa juga perbuatan yang dilakukan oleh hamba abdi adalah yang diperintahkan oleh Tuannya. Tuan yang mengeluarkan perintah, Tuan juga yang mempertanggungjawabkannya. Hamba abdi tidak ada pilihan. Lantaran itu apabila Allah s.w.t menghadapi hamba abdi-Nya, maka dihadapi-Nya dengan kurnia-Nya bukan dengan tuntutan. Apabila Allah s.w.t tidak membuat tuntutan, tidak ada dosa dan kesalahan yang besar. Jadi, buatlah keputusan apakah mahu menjadi orang yang mengumpul amal dan membuat tuntutan kepada Allah s.w.t dengan amal itu, atau menjualkan diri kepada Allah s.w.t, menjadi abdi-Nya dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails