Tuesday, 1 March 2016

Tertib Menundukan Hawa Nafsu

Tuesday, 1 March 2016
Adapun hawa nafsu itu adalah sebahagian dari diri. Maka manakan mungkin seseorang mampu menundukkan hawa nafsunya sendiri. Umpama seorang pakar bedah yang sangat hebat. Betapa hebat pun ia di dalam ilmu pembedahan, manakan mampu untuk dia membedah dirinya sendiri.

Maka untuk menundukkan hawa nafsu, berlarilah kepada Allah. Merayulah kepadanya, mengadulah kepadanya, agar Allah dengan rahmatNya, menyelamatkan kita dari musibah nafsu kita sendiri.

Adapun bukanlah bermaksud, berserah semata-mata tanpa sebarang riadah. Adalah tertibnya seperti seorang petani yang miskin yang menumpang bertani di tanah seorang kaya yang sangat pemurah. Maka sebelum mula untuk bertani, hendaklah terlebih dahulu ia meminta benih dari tuan tanahnya. Kerana jika tidak diminta benihnya, apakah pula yang akan disemai. Setelah itu barulah benih di semai. Perlulah pula benih disemai. Kalau hanya meminta benih tanpa disemai, manakan mungkin boleh tumbuh padinya. Sesudah itu barulah ia di jagai, di bajai dilimdungi dari haiwan-haiwan perosak. Baharulah padi akan berbuah akhirnya.

Begitulah juga di dalam menundukkan hawa nafsu. Pertama-tama sekali hendaklah memohon pertolongan Allah. Sesudah itu barulah beramal. Beramal sebelum memohon pertolongan Allah, sia-sia lah jadinya. Umpama petani tadi juga. Apakah yang akan disemai jika benih tidak di minta. Begitulah juga, apakah yang hendak diamalkan jika tiada taufik dan hidayah dariNya. 

Maka setelah memohon pertolongan Allah, barulah beramal bersungguh-sungguh dengan segala amalan fardhu mahupun sunat dengan sepenuh daya usaha. Memohon pertolongan Allah tanpa melakukan riadah, adalah juga sia-sia. Umpama petani yang tidak menyemai setelah menerima benihnya. Manakan tumbuh padinya. 

Manakala telah beramal, maka hendaklah bersungguh-sungguh menjaganya. Sebagaimana petani menjaga padi dari makhluk-makhluk perosak.. Adapun untuk menjaganya adalah dengan menjauhi kenyang, mengurangkan tidur, menundukkan pandangan, menjauhi pendengaran batil dan juga mengurangkan berkata-kata. 

Maka barulah akhirnya hawa nafsu dapat ditundukkan dengan izinNya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails