Wednesday, 17 June 2015

Menilik permata di dalam lumpur

Wednesday, 17 June 2015

Semuanya itu dengan asbab usaha seorang insan, yang menilik permata yang jauh tersorok di dalam lumpur.

“Apa nak jadi dengan kamu ni. Dah lah tak pernah nampak kat surau, rambut panjang, pakai rantai. Dah tu asyik terangguk-angguk mendengar lagu-lagu black metal.. ishhh…,” begitulah kata seorang Mat Surau kepada seorang anak muda yang sedang belajar di tahun pertama Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya satu ketika dulu.

Keliru dengan adolescent crisis, anak muda itu telah menjadi seorang yang tertarik dengan muzik-muzik dan fesyen-fesyen black metal. Dan begitu jugalah pandangan kebanyakan Mat-mat surau kepada pemuda tersebut. Jijik lagi menjijikan.

Dan pada anak muda itu pula, cercaan-cercaan sedemikian sudah menjadi sesuatu tidak memberi sebarang kesan. Kononnya nasihat-nasihat, tetapi berintonasi negatif itu, tidak sedikitpun menggerakan dirinya untuk berubah.

Tetapi dalam pada itu, ada seorang pelajar tahun 3, jurusan kejuruteraan kimia bernama Sharul yang amat berbeza. Dengan penampilan berjubah, berkopiah dan berjanggut, tidak merasa janggal untuk selalu menziarahi anak muda tersebut. Sememangnya mereka tinggal di asrama yang sama. Tidak pernah ia melihat anak muda tersebut dengan pandangan hina. Setiap kali menziarah, tidak pernah lupa pula membawa buah tangan. Dan perkara yang dibincangkan pula, hanyalah perkara-perkara biasa. Tiada juga sebarang dakwah, melainkan diajak anak muda itu ke surau setiap kali ingin kembali.

Setiap kali diajak ke surau, kerapkali anak muda itu menolak. Tidak kurang juga mulanya mengikut, tapi bila tiba di tangga yang agak malap, anak muda melencong ke kiri sedangkan Abang Sharul membelok ke kanan untuk ke surau. Tetapi Abang Sharul tidak pernah kecil hati dengan kelakuan anak muda tersebut.

Pada suatu hari, Abang Sharul mengajak anak muda itu ke surau lagi. “Zan, marilah kita pergi surau sama-sama. Hari ni lepas Mahgrib ada majlis fikir,” katanya. Entah kenapa, pada hari itu hati anak muda itu terbuka untuk mengikut Abang Sharul ke surau. Memang benar ada majlis bayan selepas Mahgrib. Dan pendengar-pendengar di tasykil untuk keluar belajar agama hanya untuk satu hari. Entah kenapa, pada hari itu, anak muda itu tergerak memberi namanya untuk keluar selama sehari.

Maka apabila tiba hari yang dijanjikan, datanglah jemaah menjemput anak muda itu keluar ke jalan Allah. Dan dalam satu hari itu, cuma satu hari itu……. tiba-tiba hati anak muda itu berubah 360 darjah. Sebaik pulang dari usaha satu hari itu, rantai terus dibuang, rambut dipotong, kaset-kaset black metal terus dibuang dan hampir-hampir tidak pernah solat 5 waktu melainkan di masjid atau di surau. Terkejut beruk mat-mat surau melihat perubahan anak muda tersebut.

Semuanya itu dengan asbab usaha seorang insan, yang menilik permata yang jauh tersorok di dalam lumpur.

Sehingga kini, sudah hampir lebih 20 tahun berlalu. Entah di mana Abang Sharul berada. Tetapi anak muda itu masih tetap tidak dapat menghilangkan perasaan terhutang budinya kepada insan itu. Semoga Allah membalas usaha Abang Sharul dengan sebaik-baik balasan. Amin.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails