Saturday, 25 April 2015

Bergantung Kepada Makhluk?

Saturday, 25 April 2015

Seorang pemuda yang merupakan anak seorang hartawan sedang melanjutkan pelajarannya di luar negara. Di suatu ketika, dia menghadapi sedikit masalah kewangan. Maka teruslah dia menghubungi bapanya untuk meminta bantuan.

Bagi bapanya pula, sebagai seorang hartawan, tiadalah sukar baginya untuk menghantarkan bantuan kewangan kepada anaknya. Tambahan lagi, anak itu memang anak yang sangat disayanginya kerana baik adabnya lagi selalu beramal soleh. Maka bergegaslah ia untuk membuat tt transfer ke akaun anaknya.

Beberapa hari kemudian, pemuda itu pergi ke bank dan alangkah gembiranya ia kerana bantuan dari ayahnya telah pun tiba.

Maka, apabila pemuda itu pergi ke bank untuk mengeluarkan wang, bolehkah dikatakan bahawa pemuda itu menggantungkan harapannya kepada bank? SUDAH TENTU TIDAK. Perginya pemuda itu ke bank hanyalah sebagai jalan untuk mendapatkan bantuan yang telah dihantarkan oleh ayahnya.

Tetapi jika pemuda itu pergi ke bank, tanpa terlebih dahulu memohon bantuan dari ayahnya, sambil mengharap pihak bank akan tiba-tiba memasukkan sedikit wang ke dalam akaunnya.... sudah tentu adalah suatu tindakan yang TIDAK DIANGGAP WARAS.

Maka begitulah juga di dalam hidup kita sehari-hari. Perlulah memohon pertolongan ALLAH di dalam segala permasalahan yang kita hadapi. Dan perlulah juga melakukan ikhtiar yang munasabah sebagai wasilah untuk bantuan ALLAH itu disalurkan.

Memohon pertolongan ALLAH tanpa melakukan ikhtiar yang munasabah... samalah seperti sekiranya pemuda itu memohon bantuan dari ayahnya, tetapi tidak pergi ke bank untuk mengeluarkan wangnya. Maka bagaimanakah wang tersebut dapat sampai kepadanya?

Berikhtiar tanpa memohon pertolongan ALLAH pula, samalah seperti sekiranya pemuda itu saban hari ke bank, tetapi tidak sekalipun memohon bantuan dari ayahnya. Inilah yang dikatakan bergantung kepada makhluk. Walaupun tersangatlah bingung kelakuan seperti ini, tidakkah ini yang kita sering lakukan setiap hari? Sungguh bingunglah kita ini, termasuklah dengan aku-aku sekali....


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails