Thursday, 12 February 2015

Membalas Serangan Syaitan

Thursday, 12 February 2015

Sesungguhnya Allah menjadikan manusia itu sebagai makhluk yang lemah, dan DIA tidak akan sekali-kali akan membenci manusia kerana kelemahannya itu.

Antara strategi syaitan terhadap hamba-hamba yang sedang berusaha untuk memperbaiki dirinya ialah, dengan menghantar sekuat-kuat tenteranya untuk menjatuhkan hamba itu ke dalam sesuatu maksiat. Sebagai makhluk yang lemah, memang tidak mustahil ia terjatuh ke dalam perangkap syaitan-syaitan laknatullah itu. Dan setelah berhasil, syaitan-syaitan akan membisikkan pula rasa kecewa, serta merasa telah binasalah segala amal-amal baiknya selama ini. Kemudian apakala hamba tersebut terus-menerus melayan kecewanya, tetapi tidak pula ia segera bergerak untuk bertaubat, maka bergembiralah syaitan kerana berhasil sudah segala usahanya.

Apabila tangan tersinggung secawan kopi hingga tertumpahlah ia, maka apakah manfaatnya mencela kealpaan diri, sedang tidak ia bersegera mencari kain untuk membersihkannya.

Maka apabila anda diserang oleh syaitan sehingga terjatuh ke dalam maksiat, usahlah dilayan segala “blues” di dalam hati. Tetapi segeralah membersihkan diri, dan dirikanlah dua rakaat solat taubat, serta lakukanlah kebaikan 2 kali ganda dari yang biasa anda lakukan sebagai serang balas kepada syaitan-syaitan yang telah menjatuhkan anda.

Abu Zar al-Ghifari r.a. meriwayatkan bahawa beliau berkata: "Ya Rasulullah, nasihatilah aku."
Lantas baginda s.a.w bersabda: "Apabila kamu telah mengerjakan sesuatu kejahatan, maka segerakanlah kebaikan nescaya kejahatan itu akan terhapus."
Abu Zar r.a bertanya: "Ya Rasulullah s.a.w, bacaan LAA ILLAAHAILALLALLAAH itu adakah termasuk dalam kebaikan. "Baginda bersabda: "Ia adalah kebaikan yang afzal." [Sumber: Fadhail Amal]

Sesungguhnya sepanjang-panjang kehidupan ini adalah peperangan dengan syaitan. Maka sudah tentulah akan ada masa-masa jatuhnya. Namun yang penting adalah kemampuan untuk segera bangkit setelah dijatuhkan.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails