Tuesday, 30 December 2014

Mari kita berkhalwat….

Tuesday, 30 December 2014

Mari Melihat Syaitan di dalam facebook

“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

image

Bahkan yang sebenarnya bukan sahaja facebook. Tetapi juga segala jenis social media, termasuklah whatsapp, forum-forum internet dan sebagainya.

Memangnya tidak ada masalah, jika semua pengguna social media mampu menjaga adab sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullullah s-S.A.W, tetapi syaitan pun cukup mengerti bahawa itu tidak akan berlaku. Apabila terlalu ramai orang berkumpul di dalam sesuatu platform social media, maka tentunya akan ada:

  • Golongan syok sendiri: yang sentiasa membuat posting tanpa mengira samada posting itu mahu dibaca oleh pengguna-pengguna lain atau tidak.
  • Golongan tukang sakat: iaitu golongan yang suka menyakat apa sahaja posting-posting yang orang lain buat. Golongan ini bukannya jahat, cuma nakal dan suka bergurau senda.
  • Golongan sensitif: iaitu golongan yang sentiasa serius dan tak boleh disakat.
  • Golongan batu api: yang suka melaga-lagakan pengguna yang sedang berkonflik.

Maka dengan pertembungan golongan-golongan yang berlainan sikap, maka terjadilah konflik yang membawa kepada “bertegang keyboard” dan kadang-kala dendam yang berpanjangan. Pernah aku melihat pertikaian di antara 2 orang guru silat yang bermula di dalam sebuah laman forum internet. Pertikaian yang membawa kepada serangan-serangan batin, dan apabila ini tidak berjaya, membawa kepada fitnah memfitnah, serta tuduh-menuduh di dalam alam maya, hinggakan ramai anak-anak murid yang meninggalkan perguruan masing-masing.

Berapa banyak kali kita melihat, sahabat-sahabat lama, bahkan ahli-ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu, akhirnya dapat berkumpul di dalam group-group social media. Pada mulanya mereka semuanya gembira dapat bertemu, kemudian mula berborak-borak di alam maya, tetapi akhirnya menyebabkan pertelingkahan yang lebih teruk sebelum mereka mulanya di satukan di dalam social media.

Jika inilah pengakhirannya, ada baiknya kita jangan berkumpul dari mulanya.. Maka dapatkah sudah kita melihat rahsia-rahsia syaitan yang tersimpul di dalam social media ?

Sepertimana yang dikatakan tadi, memang tidak menjadi masalah jika semua pengguna mampu menjaga adab. Tapi hakikatnya, ini tidak, tidak, dan sekali lagi tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Maka jika iman belum setanding dengan wali songo, mahupun Tok Kenali, marilah kita berkhalwat meninggalkan kekecohan di facebook, whatsapp dan social media – social media yang lain. Dan membaiki tahap iman dan amal dengan berusaha mencari ilmu dan beramal dengan amal-amal tersebut.

Sebagaimana Rasulullullah s-S.A.W meninggalkan kekecohan di Mekah dan berkhalwat di Gua Hira.

Juga sesekali, tinggalkanlah perkataan-perkataan yang baik di social media, serta teruslah logout setelah membuat posting. Semoga Allah menjadikannya sebagai asbab kebaikan bagi hati-hati yang masih bercahaya di dalam social media tersebut.

Juga janganlah sesekali membaca komen-komen yang dibuat tentang posting tersebut. Kerana sesungguhnya tiadalah manfaat dari perbuatan tersebut melainkan membawa kepada ujub mahupun riya’ (dari komen-komen pujian) dan membawa kepada marah dan takkabur (dari komen-komen yang negatif).

Sungguh banyak senjata-senjata syaitan yang tidak kita sedari di akhir zaman ini. Semoga Allah melindungi dan membimbing kita semua ke jalan keselamatan.

Amin.

 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails