Wednesday, 2 April 2014

Yuttari (ゆったり)

Wednesday, 2 April 2014

Tetapi hakikatnya, kebanyakan situasi di dalam hidup bukanlah perkara yang memerlukan kita bergegas-gegas.

Yuttari (2)

Yuttari (ゆったり)adalah perkataan Jepun yang membawa maksud tidak tergesa-gesa. Di dalam kehidupan masyarakat Jepun, yang serba-serbinya berlaku dengan pantas, hari-hari yang dapat dilalui dengan yuttari (tanpa tergesa-gesa) adalah sesuatu yang sangat mahal harganya. Sedar tak sedar, kehidupan hampir seluruh masyarakat dunia sudah menjadi terlalu terkejar-kejar. Tiada lagi masa untuk berperlahan-lahan di dalam setiap hari yang dilalui.

yuttari

Di dalam kehidupan serba moden, kita dibanjiri dengan pelbagai peralatan dan gajet-gajet. Alat-alat yang sepatutnya membantu kita untuk melalui kehidupan yang lebih bermakna, sebaliknya menjadikan kita lebih terkejar-kejar. Teringat pada zaman dahulu, semasa tiada smart phone mahupun android, rata-rata kerja akan tamat pada pukul 5. Sebelah malam adalah masa untuk keluarga dan merehatkan diri dengan amalan-amalan agama. Gelanggang silat pula rata-ratanya dibuka selepas solat Isyak. Semuanya telah hilang ditelan zaman.

Pada zaman ini, mereka-mereka yang tidak menjawab email dalam tempoh 24 jam, adalah dianggap tidak beretika. Begitu juga sekarang ini, hingga ke pukul 1 atau 2 pagi, anda mungkin sahaja mendapat message whatsapp dari para-para client anda… Tiada lagi masa kosong yang anda tidak akan risau dari “diganggu” supaya dapat anda “berperlahan-lahan.”

Kadang-kadang kita terlupa, sikap perlahan-lahan itu adalah perkara yang dicintai oleh Allah dan RasulNya:

630. Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah sallallahu ’alaihi wa salam bersabda kepada Asyaj Abdul Qais: "Sesungguhnya dalam dirimu itu ada dua macam perkara yang dicintai oleh  Allah, yaitu sabar dan perlahan-lahan - dalam tindakan." (Riwayat Muslim)

Ada masanya kita perlu bergegas. Para doktor di hospital, pegawai polis yang sedang memburu penjenayah, para pejuang yang berada di medan perang. Di situ bukan masanya untuk beryuttari. Tetapi hakikatnya, kebanyakan situasi di dalam hidup bukanlah perkara yang memerlukan kita bergegas-gegas. Tergesa-gesa akan menyebabkan kita gagal menilai sesuatu situasi dengan jelas. Akhirnya, kita akan selalu membuat pertimbangan yang salah. Ada yang memaki-maki hingga hilang maruah diri hanya kerana kereta tercalar sedikit. Ada yang memukul anak dengan kejam, hanya kerana anak-anak bising berebutkan biskut. Hilang sifat kemanusiaan dek kehilangan yuttari. Bak kata orang mat salleh, “we failed to put things into perspective…”

Maka sahabat-sahabat, marilah kita cuba untuk beryuttari… Bukan senang untuk beryuttari di dalam zaman kebangkitan dajjal ini. Tentu ada yang marah, kerana anda tidak menjawab message FBnya dengan segera. Tentu ada yang marah, bila anda lambat membalas missed call mereka. Tapi cubalah apa yang terdaya. Sebagai permulaan, mungkin boleh kita mulakan dengan mengurangkan masa yang dilaburkan ke dalam social media… Kemudian cari pula cara bagaimana tugas-tugas boleh diselesaikan dengan effektif, supaya ada boleh balik awal ke rumah… dan bermacam-macam lagi.

Wallahu’alam.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails