Friday, 20 December 2013

Menghadapi Was-Was Dengan Zikir

Friday, 20 December 2013

Was-was adalah keadaan di mana syaitan berbisik kepada hati, tetapi di tipunya kita sehingga merasakan bahawa bisikan itu datang dari hati kita sendiri. Cuba baca penerangan dari tajuk ke 42 kitab hikam ini.
Dengan clue dari kitab hikam ini, terfikir antara yang boleh dilakukan untuk mengatasi was-was adalah memusnahkan hijab nafsu yang mengurung hati tersebut dengan tenaga zikir. Juga dari kaedah yang pernah aku lihat guru-guru aku tunjuk ialah, dengan berzikir sambil muka di halakan ke arah jantung, kerana pada lokasi jantung yang bersifat zahir inilah letaknya qalbu yang bersifat rohani.
Di bawah adalah sedikit copy & paste dari link kitab hikam tersebut:
Sifat iblis adalah ingkar kepada kebenaran. Iblis adalah tenaga gelap. Kebenaran pula adalah cahaya. Dalam melakukan pekerjaan menghalang cahaya kegelapan iblis mengenderai kegelapan nafsu. Apabila kegelapan nafsu yang ditambahkan lagi dengan kegelapan iblis membalut hati maka hati tidak akan dapat menerima cahaya kebenaran. Balutan ini menutup mata  hati dari menyaksikan al-Haq. Sifat iblis dan sifat nafsu menjadi tenaga yang bertindak menolak sebarang kebenaran yang ingin masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh mengakui kebenaran namun, tenaga sifat iblis akan menghalang hujah akal dari diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengakui kebenaran masih juga boleh berbuat perkara yang berlawanan dengan pengakuannya itu. Tenaga iblis dan tenaga nafsu itulah yang membentuk tenaga ingkar (kufur atau menolak kebenaran). Tenaga kekufuran ini akan menawan hati semua orang, termasuklah hati orang-orang Islam.   Kehadiran tenaga ini dalam diri mengheret seseorang kepada perbuatan fasiq, kemunafikan, kekafiran, kemusyrikan, maksiat dan segala perkara yang dimurkai Allah s.w.t.
Tenaga ingkar ini mesti dihapuskan dengan cara menekannya sekuat mungkin dengan tenaga kebenaran. Antara kebenaran yang mahu ditekankan dan dimasukkan ke dalam hati adalah pengakuan-pengakuan : “Allah Maha Suci! Allah Maha Besar! Segala puji untuk Allah! Allah Maha Esa dan tiada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya! Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah!”
Bila kita menyebut Maha Suci Allah, bukan bermakna kita menyucikan Allah s.w.t. Allah s.w.t bukanlah tidak bersih hingga perlu disucikan. Maha Suci Allah itu sempurna kesucian-Nya sejak azali hingga kepada tanpa kesudahan. Dia tidak memerlukan makhluk untuk menyucikan-Nya dan tidak ada makhluk yang layak berbuat demikian. Begitu juga dengan sebutan Allah Maha Besar, bukan bermakna Allah s.w.t itu kecil hingga perlu diperbesarkan. Allah s.w.t sudah cukup besar, sempurna kebesaran-Nya, tidak perlu lagi diperbesarkan dan tidak ada makhluk yang layak memperbesarkan-Nya.
Apa juga perbuatan makhluk tidak ada yang mengenai Allah s.w.t. Sebutan hanyalah pengakuan atau penyaksian semata-mata. Kita mengaku yang benar sebagaimana benarnya. Tenaga pengakuan, penerimaan dan ketundukan terhadap kebenaran inilah yang diperlukan oleh hati untuk menjadikannya kuat, bukan untuk faedah Tuhan. Memasukkan tenaga kebenaran ke dalam hati inilah yang dinamakan zikir. Tenaga kebenaran hendaklah dipalu keras-keras kepada tenaga ingkar yang membaluti hati. Apabila dihentam terus menerus tenaga ingkar itu tidak dapat bertahan lalu ia hancur. Bebaslah hati untuk menerima  cahaya kebenaran.
Perlu diperingatkan bahawa fungsi zikir bukanlah untuk memecahkan hijab yang menutupi pintu langit. Kita tidak mahu terbang ke langit. Kita mencari kebenaran yang hakiki dan Kebenaran Hakiki bukan berada di atas langit. Ia berada di dalam diri kita sendiri. Hijab yang menutupi kita daripada Kebenaran Hakiki ini yang hendak dihapuskan.
Rangsangan atau gerakan yang datang daripada tenaga iblis, disampaikan kepada hati yang dibaluti oleh kegelapan nafsu, dalam keadaan hati merasakan bahawa ia datang daripada hati itu sendiri, bukan ia ditekankan oleh tenaga luar. Hijab nafsu menyebabkan hati tidak sedar dan tidak mengetahui yang ia sudah dikuasai oleh tenaga iblis. Apabila hijab nafsu itu berjaya disingkap hati mampu mengasingkan yang asli dengan yang mendatang. Setiap bisikan kepada kejahatan yang sampai kepada hati didengar oleh hati seolah-olah mendengar orang lain menyampaikan bisikan itu. Oleh itu hati mudah mengawasi bisikan yang datang itu. Beginilah suasana hati yang sudah disinari oleh cahaya kebenaran. Hati yang berada dalam cahaya mudah menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam sifat-sifat dan perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t. 

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails