Wednesday, 2 October 2013

Bergantunglah Kepada Allah Bukan Kepada Amal

Wednesday, 2 October 2013

Peringatan buat diriku yang selalu lupa.

Di dalam mengharungi hidup di dunia, kita tidak dapat lari dari berikhtiar. Ikhtiar ini kita panggil amal. Ada amal yang berdasarkan usaha-usaha fizikal, dan ada pula amal yang berdasarkan usaha-usaha kerohanian.

Contohnya, apakala seseorang ingin mendapatkan rezeki yang lebih, ada yang berniaga selepas waktu bekerja, ada pula yang membuat overtime setiap minggu dan sebagainya. Usaha-usaha inilah yang dikatakan amal fizikal.

Ada pula yang berusaha dengan amalan-amalan kerohanian, seperti membaca surah Al-Waqiah setiap malam, beramal dengan ayat seribu dinar, beristiqamah dengan solat dhuha, memperbanyakkan sedekah dan lain-lain lagi.

Bukan sahaja untuk dunia, bahkan untuk memburu syurga Allah juga tidak dapat tidak, kita akan memperelokkan amal, dan menambahkan amal, hari demi hari.

Adapun, usaha-usaha ini selagi mana berada di atas landasan syariat, adalah baik-baik belaka. Hanya yang hendak di ketengahkan ialah suasana hati di dalam melakukan usaha-usaha ini. Ketahuilah bahawa amal-amal ini adalah sangat lemah sifatnya, bagaikan sarang labah-labah. Apakala kita diuji dengan kesakitan dan kelemahan, dan tidak mampu untuk melakukan amal-amal yang biasa kita lakukan, apakah akan berkurangan harapan kepada Allah? Maka beramallah sekuat-kuatnya, tapi bergantunglah dengan bersungguh-sungguh kepada rahmat Allah. Supaya tiadalah hilang harapan tatkala diangkat kemampuan dari beramal.

Begitulah juga dengan perkara-perkara akhirat. Beramallah sekuat-kuatnya, tapi bergantunglah kepada rahmat Allah. Sabda Nabi  :

لَنْ يُدْخِلَ أحَدَكُمْ الجَنَّةََ عَمَلُهُ قَالُوا ولا أنتَ يَا رَسُولُ اللهِ؟ قال: ولا أنا إلاَّ أن يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِرَحْمَتِهِ
 
Ertinya: Seseorang itu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab amalannya. Sahabat bertanya: Walaupun kamu ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: walaupun saya, melainkan dengan limpahan rahmat Allah SWT kepadaku.
 
(Riwayat Bukhari)

 

 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails