Sunday, 29 September 2013

The Mystical Chronicle: Terkena Tempias Santau

Sunday, 29 September 2013

Cuaca hari ini agak redup. Ujang memasang barang yang hendak disadur pada alat yang mereka panggil jig. Begitulah rutin harian Ujang yang bekerja di kilang saduran logam milik Jepun. Sambil itu, Ujang melihat-lihat daun-daun pokok kelapa di kejauhan yang melambai-lambai ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Bekerja hari-hari Ahad ni memang tak ada semangat. Maklumlah, dah seminggu bekerja, hari Ahad pun nak kena kerja lagi, memanglah malas dibuatnya.

Sambil itu, mata Ujang terpandang kepada Amir yang juga sedang memasang barang pada jig. Amir kelihatan sangat lesu. Sesekali, Amir terbatuk sendiri. Kalau tak silap, minggu lepas hampir 3 hari Amir M/C. 

Ujang mendekati Amir. "Engkau tak sihat ke Amir, aku tengok engkau lemah aje?" tanya Ujang kepada Amir.

"Aha... dah dekat 2 minggu aku macam ni. Badan rasa lesu aje macam demam. Tapi badan tak panas macam demam. Kalau dah tengah malam tu, aku batuukkk aje, kadang-kadang sampai ke pagi," jawab Amir. 

"Engkau tak pergi klinik ke?" tanya Ujang pula.

"Udah... dah beberapa kali aku pergi dah. Ubat batuk pun dah berapa botol aku habiskan, tapi tak ada kesan," ujar Amir pula.

"Engkau ni, macam orang terkena santaulah," kata Ujang.

"Issk.. engkau ni, na'uzubillah... janganlah cakap yang bukan-bukan," kata Amir sedikit risau.

Bercakap tentang santau, tiba-tiba teringat pula Ujang, satu hari tu semasa Ujang terlihat Johar menjentik sesuatu kepadanya, memang Amir sedang duduk di sebelahnya. Risau pula Ujang, "Entah-entah hari tu mamang Johar nak santau aku kot. Entah-entah si Amir ni memang betul-betul terkena tempias santau kot?" bisik Ujang di dalam hati.

"Ehh... aku serius ni Amir. Simpton sakit engkau tu macam orang kena santau," jawab Ujang.

"Eh ye ke... Risau aku ni," balas Amir pula.

"Tak apa, jangan risau. Santau ni pun cuma sejenis penyakit aje. Sakit kencing manis tu lagi bahaya. Aku rasa elok kita jumpa Wak Jan. Aku dengar Wak Jan ada juga merawat kes-kes mistik ni. Apa kata kita jumpa dia?" cadang Ujang kepada Amir.

"Elok juga tu. Bila kita nak jumpa dia?" tanya Amir pula.

"Sekejap, biar aku telefon dia dulu," jawab Ujang pula.

Sejurus selepas itu, Ujang pun mengambil telefon bimbitnya dan menelefon Wak Jan. Kelihatan Ujang bercakap-cakap dengan Wak Jan sambil menggangguk-anggukkan kepalanya.

"OK set. Wak Jan suruh datang malam ni dan bawak 7 biji kelapa muda dan 1 botol madu asli," beritahu Ujang kepada Amir.

"OK, cantik. Aku jumpa engkau kat kedai akak simpang lepas Isyak," kata Amir pula.

----------------------------------------------------------------------

Malam itu di rumah Wak Jan.....

Ujang dan Amir sudah tiba di rumah Wak Jan. Setelah bersembang-sembang sedikit sambil menghirup air teh o dengan sedikit keropok, perbualan pun sampai kepada matlamat yang sebenarnya.

"Bagi Wak tengok urat nadi kamu Amir," minta Wak Jan.

Amir pun menunjukkan urat nadinya pada Wak Jan.

"Alhamdullillah, tak ada sampai hitam. Sikit aje gelapnya," kata Wak Jan.

Wak Jan melihat pula di bawah kelopak mata Amir. 

"Alhamdullillah, bawah mata pun tak berapa gelap," kata Wak Jan.

"Tengok kuku pula boleh?" minta Wak Jan.

"Boleh, kata Amir sambil menunjukkan kedua-dua kuku tangannya.

"Alhamdullilllah, memang nampak ada sikit racun dalam diri. Tapi tak seriuslah... Jangan risau," kata Wak Jan.

Lega sedikit hati Amir mendengar kata-kata Wak Jan. 

"Saya ni kena santaukah, Wak Jan?" tanya Amir.

"Memang ada racun sikit, tapi tak taulah santau atau tidak," kata Wak Jan pula.

"Mana barang yang Wak minta tu?" tanya Wak Jan.

"Ini dia Wak," kata Ujang sambil memberi 7 biji kelapa dan 1 botol madu asli kepada Wak Jan.

Wak Jan kemudian meruqyahkan bahan-bahan tersebut.

Ujang dengar Wak Jan berdoa, "Ya Allah, Wahai Zat Penguasa Alam Semesta, Yang Maha Menyembuhkan, berkahilah kelapa dan madu ini dengan segala barokah serta hikmah kalimah-kalimah yang akan dibacakan ini, dan dengan rahmatMu, jadikanlah bahan-bahan ini sebagai asbab penyembuh yang akan mematikan dan menyingkirkan segala racun serta kebatilan yang menganggu manusia. Amin."

Kemudian Ujang dengar Wak Jan membaca surah-surah:

  • Surah Al-Fatihah
  • Ayatul Qursi
  • Surah-surah Al-Mu'awizzat, iaitu Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas.
  • Bismillah 6
  • Bismillah 5
  • Surah Al-Kahfi ayat 98
  • Surah Saba ayat 49.

Kemudian Wak Jan membaca pula pada kepada sebotol besar air dan beberapa helai daun bidara dengan:

  • Surah Al-Fatihah
  • Ayatul Kursi
  • Surah-surah Al-Mu'awizzat
  • Surah Al-A'raaf ayat 117~122
  • Surah Yunus ayat 81~82
  • Surah Toha ayat 69

"Air kelapa ni kamu minum sebiji sehari selama 7 hari. Madu pula kamu minum 3 kali sehari bermula dari hari kelapan. Daun bidara ni, kamu tumbuk 7 helai dan campur dengan segelas air yang Wak doakan tadi. Campur pula lagi dengan setengah baldi air, buat bilasan terakhir lepas mandi. Lepas tu jangan lap, biar kering sendiri," arah Wak Jan.

"Air kelapa muda ni sebagai ikhtiar untuk membuang racun dalam badan. Madu pula untuk membaiki sel-sel kamu yang dah rosak. Manakala air dan daun bidara pula untuk menyingkirkan aura-aura negatif, termasuklah sarana-sarana sihir sekiranya ada," jelas Wak Jan lagi.

"Jadi confirmlah saya ni kena sihir ye Wak?" tanya Amir.

"Isskk.. kamu ni, Wak kata sekiranya ada... tak semestinya ada. Tak ada yang tahu perkara ghaib melainkan Allah," tegur Wak Jan pada Amir.

"Iyalah Wak.." kata Amir tersipu-sipu. Ujang cuma tergelak.

"Yang penting dalam apa pun rawatan yang kita buat, ialah doa. Sebab kita cuma berusaha, Allah sahaja yang berkuasa menentukan. Jadi sebelum minum air kelapa doa, sebelum mandi doa... tahu," pesan Wak Jan.

"Ok Wak. Faham," kata Amir dan Ujang.

-----------------------------------------------------------------------

2 minggu selepas itu..........

"Badan aku dah segar dah," kata Amir kepada Ujang.

"Alhamdullillah. Banyak-banyak syukur kepada Allah," balas Ujang lega.

"Tapi engkau tahu, lepas aku minum air kelapa hari pertama tu, esok paginya aku buang air besar, najisnya macam berbuih-buih," cerita Amir kepada Ujang.

"Mungkin detox la tu. Racun keluar dari badan engkau," kata Ujang pula.

Kedua-dua mereka merasa sangat lega dan bersyukur kepada Allah kerana telah dilepaskan dari satu musibah.

 

 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails