Saturday, 28 September 2013

The Mystical Chronicle: Kisah Santau Berpatah Balik

Saturday, 28 September 2013

Marah sungguh Johar. Dia yang sungguh-sungguh berbuat baik pada Si Milah, tapi Milah syok kat Ujang pula. Yang Si Ujang pun satu, bila Milah tunjuk tanda-tanda yang dia syok pada Ujang, dilayan pulak dek Ujang. Mak bapak Milah dan Ujang pula memang sahabat baik dari dulu. Bila mereka lihat kedua-dua anak mereka macam ada apa-apa aje, terus mereka tunangkan. 

"Huh, tak guna. Habis peluang aku. Dah bertunang, macamana aku nak buat lagi," kata Johar di dalam hati.

"Tapi tak apa, korang tak tahu sape aku. Korang lupa ke aku ni anak bomoh? Akan aku santaukan Ujang Milah. Biar laki ko besok mati perlahan-lahan," rancang Johar di dalam hati. 

Ayah Johar memang seorang bomoh. Tapi Johar ingat lagi, seboleh-bolehnya ayah Johar tak mahu sangat-sangat menurunkan ilmunya pada Johar. Tapi Johar sangat-sangat minat dengan ilmu mistik ni. Hari demi hari dikeceknya ilmu sesat itu dari bapanya. Akhirnya Ayah Johar mengalah. Diturunkan beberapa ilmunya serba sedikit kepada Johar.

Johar dan Ujang berkerja di sebuah kilang yang sama. Tapi mereka kerja di bahagian yang berlainan. Sungguhpun begitu, Johar tahu Ujang selalu rehat pukul 10 pagi. Jadi pada hari nan indah itu, Johar pun memulakan rancangannya. Sebelum keluar rumah, Johar memasukkan jarinya ke dalam bekas itu. Ya bekas berisi ibu santau yang telah dipuja sejak lama dahulu.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Johar melepaskan santaunya. Cuma inilah kali pertama dia akan melepaskan santau kerana dendam kesumat. Sebelum ini dia melepaskan santau cuma kerana sumpah santau. Bila ibu santau penuh, Johar mesti melepaskan santaunya. Jika tidak, dia yang akan mendapat bahananya. Begitulah yang diajarkan oleh ayahnya. Entah sudah berapa ramai orang yang jadi mangsa kejahatan Johar, dia pun sudah tak ingat.

Pagi itu di kantin kilang, Johar duduk agak jauh dari Ujang. Johar memastikan pergerakan angin. 

"Hah bagus. Angin pun macam merestui aku hari ni," kata Johar gembira di dalam hati.

Johar memerhatikan Ujang dari jauh. Dia menunggu peluang. Akhirnya dia mendapat peluang yang baik. Tanpa berlengah, Johar menjentik ibu santau di jarinya.

Tapi......... "Ahh tidakkkkk...." jerit Johar di dalam hati. Sejurus Johar menjentik, sejurus itu juga Ujang menyilangkan kakinya.

........................................................................................

Kisah pagi itu di rumah Ujang................

Ujang sedang bersiap-siap nak pergi kerja. Dia berdiri di hadapan pintu rumahnya. Tangan kanan digosok-gosok ke tangan kirinya.

"Ehh... kenapa tak ada bunyi ni," risau Ujang di dalam hati.

Ujang menyentuh pula lelangitnya dengan lidah.

"Eh... tak rasa gelilah pulak," kata Ujang semakin bertambah risau.

Ujang menekup telinganya.

"Aikk... tak ada bunyi ekkk macam biasa," semakin Ujang berasa risau.

Ujang menutup matanya, sambil cuma melihat diri dalamnya.

"Ehh... tak nampak, macam ada geruh aje," bisik Ujang di dalam hati.

Akhir sekali Ujang buat prosedur terakhir.

Ujang berdoa di dalam hati, "Ya Allah wahai Pelindungku, zat yang Maha Wujud lagi Maujud, lindungilah aku dari segala kemudaratan. Ameen."

Lantas Ujang membaca Bismillah Penggerak, "Bismillahilladzi Layadurru Ma'asmihi Syai'un Fil Ardi Wala Fissama'i wa huwa sami'un 'alim."

Baru beberapa kali Ujang baca, tekak Ujang gatal sangat, lantas Ujang terbatuk-batuk. Biasanya Ujang baca dengan clear sampai 7 kali pun tak ada apa-apa.

"Confirm ada geruh," kata Ujang di dalam hati.

Hati Ujang berbelah bagi. Nak pergi kerja ke tak nak ni. Jauh di sudut hati, Ujang terfikir juga tentang Johar. Johar memang pernah maki dia kerana bertunang dengan Milah. Risau juga dia, takut-takut Johar merancang sesuatu yang tidak baik pada dirinya."

"Ahh... lantaklah. Takut apa. Kata bertuhankan Allah. Tak cukupkah Allah sebagai pelindung?" kata Ujang. Lantas dia bertekad untuk pergi juga kerja hari itu. Apa nak jadi pun dia berserah pada Allah, dan dia redha dengan segala ketentuan Allah.

"Ujang pergi kerja dulu ye mak. Asalamu'alaikum," kata Ujang kepada ibunya.

"Wa'alaikummussalam. Baik-baik kerja ye," balas ibu Ujang pula.

Lantas Ujang melangkahkan kaki kanannya sambil melafazkan, "Bismillahi"

Kemudian Ujang melangkahkan kaki kirinya pula sambil melafazkan, "Tawakaltu 'alallah"

Kemudian Ujang melangkahkan kaki kanannya sekali lagi sambil melafazkan, "La hau la wala quwata illa billah." Dan seterusnya Ujang terus mengambil motosikalnya dan bergerak ke tempat kerja dengan penuh ketenangan.

Semasa rehat hari itu, Ujang rasa tidak selesa. Ujang nampak Johar di kejauhan. Sekali-sekala Johar macam mencuri pandang padanya. Ujang rasa tak sedap hati. Semua orang tahu Johar anak bomoh. Bomoh yang dikata orang pandai dalam permainan santau. Terfikir pasal santau, teringat satu petua yang pernah diceritakan oleh seorang Ustaz di Melaka. 

Ujang lantas menyilangkan kakinya sambil melafazkan, "Laa illa ha illallah"

Sejurus dengan itu Ujang melihat Johar seolah-olah menjentik sesuatu. Tapi lepas itu tiba-tiba Johar menjerit sendiri sambil menumbuk meja.

Sementara itu di dalam dunia nano........

Makhluk-makluk jin penjaga santau sudah bersiap sedia. Bahan-bahan santau telah mereka tukarkan kepada bentuk tenaga daripada bentuk jisim. Sejurus dengan jentikan Johar, mereka semua terbang menuju Ujang. Tapi tiba-tiba Ujang menyilangkan kaki. Terhasil satu gelombang yang amat kuat keluar dari diri Ujang. Jin-jin pembawa santau tak mampu terbang lagi. Mereka semuanya terpantul balik. Mereka semuanya terpantul balik dengan satu kekuatan yang tak mampu mereka lawan. Mereka terbang balik. Dan terus masuk... terus masuk ke dalam jasad Johar bersama-sama bahan santau dan tak mampu keluar lagi........

Malam itu Johar demam. Malam esoknya pun Johar demam. Setiap kali hujan lebat, atau cuaca menjadi sejuk Johar menjadi demam. Johar tahu sebabnya, tapi dia tak tahu nak buat apa. Dia cuma sempat belajar ilmu menyantau. Dia tak sempat belajar penawar santau. Ayahnya dah meninggal dunia sebelum sempat Johar belajar penawar santau.... Johar menyesal. 

P/S:

Erti santau. Santau berasal dari perkataan sanskrit, San To.

San = Kasi............. dan To = Mati

Maksudnya Santo = kasi mati...

 

 

 

 

 

 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails