Wednesday, 25 September 2013

Bagaimana akhir kita agaknya?

Wednesday, 25 September 2013

Bismillahirrahmanirrahim,

Orang yang kita pandang hina tu belum tentu mati dalam kesesatan. Diri kita yang kita rasa dok baik sangat ni, kita yakin ke dapat mati dalam redha Allah. Bacalah kisah Mat Zin Korea di bawah ni sebagai iktibar.

-------------------------------------------------------------------

ABANG Mat Zin! Terpacul nama itu dari mulut Ambo. Lelaki berbadan tegap itu  memandang tepat ke wajah Ambo. Dia merenung tajam. Hati Ambo berdebar-debar menanti jawapan lelaki itu. Ambo lihat ada sinar di wajah lelaki itu. Lelaki berserban merah itu menganggukkan kepala. Subhanallah! Memang benar dia adalah Mat Zin Korea. Ya, dia sudah berubah! Lelaki tua itu mungkin tidak mengenali Ambo. Sebab, Ambo bukanlah lahir pada zaman kegemilangannya. Tetapi Ambo tahu serta kenal sejarah Mat Zin Korea.

“Bukankah Abang Mat Zin dulu seorang yang gedebe...” belum sempat Ambo menghabiskan kata-kata, Mat Zin terus mengangkat tangan. “Cukuplah! Jangan singkap sejarah dulu,” pesannya. Ambo terdiam. Mat Zin tunduk. Matanya berkaca. Fikirannya seolah-olah melayang mengenangkan sesuatu...

NAMA Mat Zin terkenal semenjak di bangku sekolah lagi. Ketika itu dia digeruni oleh murid sebaya dengannya. Dia seorang yang sangat garang dan handal bertarung. Dia juga seorang yang sangat berani. Ramai kawan-kawan yang seangkatan dengannya mahu berpayung di bawah kekuatannya. Setelah meningkat dewasa, nama Mat Zin makin masyhur dengan kegagahan dan kehebatannya.

Tetak! Pukul! Tembak! Itu menjadi mainan biasa baginya. Semasa bekerja di sebuah syarikat kenderaan di Kota Bharu, tidak ada sesiapa pun yang berani membuat kacau di tempatnya itu. Semua orang tahu, jika sesiapa berani membuat onar di kawasan itu, celakalah jawabnya. Terimalah padah dari Mat Zin. Dia tidak pernah hirau atau takut pada sesiapa pun. Suatu hari, pergaduhan besar berlaku. Mat Zin telah ditangkap kerana menetak seorang lelaki asing. Dia telah dijatuhi hukuman selama lima tahun, buang daerah ke Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan.

Semasa berada di sana, Mat Zin belum lagi berubah corak kehidupannya. Kesamsengannya terus menyerlah. Banyak kes pergaduhan berlaku. Namanya kembali gah. Ramai orang yang gentar mendengar namanya. Kali ini kekuasaannya telah dilebarkan ke Kuala Krai. Di sini dia mendapat ramai anak buah dan juga kawan yang seangkatan dengannya. Setelah hampir lima tahun berada di sana, Mat Zin kembali ke Kota Bharu. Mat Zin bekerja di sebuah pub dan night club sebagai bouncer. Dia mendapat kepercayaan tauke-tauke kelab malam untuk menjaga kelab tersebut. Memang tiada siapa yang berani mengganggu kelab-kelab yang di bawah naungan Mat Zin. Akhir tahun 60-an, Mat Zin melebarkan pengaruhnya hingga ke Kuala Terengganu. Jika ada pergaduhan di Terengganu, Mat Zin sanggup turun untuk menetak dan menembak mereka yang membuat perkara bedebah terhadap anak buah dan kawan-kawannya. Nama Mat Zin terus dikenali...

Selepas itu sekitar 1970-an, Mat Zin berhijrah ke Kuala Lumpur pula. Di sinilah, namanya bertambah glamor dan terkenal. Baru sahaja tiba di Kuala Lumpur, ramai yang mahu berpayung di bawah kehebatannya. Di sinilah Mat Zin mendapat ramai kawan yang seiring dan sejalan sehingga menyebabkan namanya terkenal ke seluruh Malaysia ketika itu. Tapi, Mat Zin belum puas. Dia masih lagi mahu merantau. Beberapa tahun berada di Kuala Lumpur, Mat Zin berhijrah pula ke Singapura. Mat Zin terus dengan kehidupannya itu. Di Singapura, Mat Zin telah berkawan dengan kumpulan gengster dari Hong Kong. Ketika itu ramai gengster Hong Kong berkuasa di Singapura. Akhirnya Mat Zin diterima me-ngetuai sebuah kumpulan gengster Hong Kong. Mat Zin makin seronok. Dia terus dihormati dan digeruni. Banyak kes pergaduhan diketuai sendiri oleh Mat Zin. Kerjanya ketika itu hanyalah memeras ugut tauke-tauke besar. Hidupnya pula sentiasa berfoya-foya dan meluaskan pengaruhnya. Setelah puas berfoya-foya di Singapura, Mat Zin berhijrah pula ke Korea. Di sinilah hidup Mat Zin terus bergelumang dengan dosa. Di sinilah dia mendapat gelaran Mat Zin Korea. Nama Mat Zin Korea terus gah sehinggalah dengan tiba-tiba dia menyepikan diri dari dunia gangster. Semua rakan berasa hairan dengan kehilangan Mat Zin Korea. Ketika itu namanya sedang harum dan masih lagi tersohor. Semua konconya tercari-cari ke mana hilangnya Mai Zin Korea. Ramai yang beranggapan Mat Zin Korea mungkin telah dibunuh ataupun mati. Perkara sebegitu adalah biasa dalam dunia gengster.

KETIKA semua kawan sedang mencari ke mana hilangnya Mat Zin Korea, anak muda itu juga sedang mencari-cari ke mana arah tujuan sebenar hidupnya di dunia ini. Walaupun berasa selesa dan senang dengan kehidupannya, tetapi jiwanya tidak tenteram. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan kehidupannya. Jiwanya terasa kosong. Akhirnya pada tahun 1975, Mat Zin Korea telah diajak oleh adiknya untuk mengikutnya pergi ke markas tabligh di Kota Bharu. Mat Zin tanpa bersoal panjang terus mengikutnya. Semasa tiba di markas itu, hati Mat Zin tiba-tiba berasa sayu. Hatinya tersentuh. Kekesalan mula menyelubungi hidupnya. Fikirannya mula berbicara soal mati. Sudah cukupkah amalannya untuk dia bawa ke akhirat? Adakah kawan-kawan dan konco-konconya bisa menolongnya di alam akhirat nanti? Soalan demi soalan menerjah ke benaknya. Tanpa berfikir panjang, Mat Zin terus membuang bukunya yang lama. Bermula saat dan detik itu, Mat Zin Korea telah membuka buku baru. Dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang menjenguk kisah silamnya. Dia bertekad di dalam hati untuk menjadi hamba Allah yang kamil. Mat Zin tidak mahu lagi dikenali dengan gelaran samseng. Mat Zin terus masuk jemaah tabligh. Dia terus keluar berdakwah selama empat bulan. Pengembaraan mencari keredhaan Allah dalam jihad memang menyakitkan. Banyak halangan dan cabaran yang membuatkan Mat Zin terus ingin mengenali Allah. Tidak seperti zaman jahilnya dahulu. Rintangan kali ini sangat berbeza. Tetapi oleh kerana Mat Zin tahu bahawa Allah akan menurunkan ujian kepada mereka yang mengaku dirinya beriman kepada Allah. Mat Zin menerima segala cabaran itu dengan hati yang redha.

Pernah seketika Mat Zin berdakwah dari Malaysia hingga sampai ke Jordan seorang diri demi mencari keredhaan Allah. Sampai di Jordan, Mat Zin telah kehabisan wang. Ketika itu dia berasa risau. Dani mana dia hendak mendapatkan wang untuk sampai ke Mekah. Jemaah yang lain ketika itu sudah berada di Mekah. Mat Zin berdoa kepada Allah supaya memudahkan perjalanannya. Dengan izin dan takdir Allah, akhirnya ada seorang lelaki Arab sudi membantu dan menghantarnya ke Mekah. Setelah kembali dari Mekah, Mat Zin bersama beberapa orang jemaah yang lain telah berbincang untuk memperluaskan lagi dakwah mereka. Mereka berpakat untuk mencari satu tapak yang sesuai untuk jemaah mereka dirikan masjid dan seterusnya menjadi pusat untuk mereka berdakwah. Akhirnya setelah mendapat persetujuan, mereka mendapat satu lokasi di Sri Petaling. Kawasan itu belum lagi dibangunkan. Mat Zin bersama beberapa jemaah yang lain melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah di tapak itu supaya hasrat mereka untuk mendirikan sebuah masjid di kawasan itu berjaya. Dengan izin Allah yang Maha Kuasa, Masjid Jamek Sri Petaling yang berdiri utuh sekarang adalah berkat perjuangan dan sokongan orang Islam. Mat Zin menyeka air matanya.

Sungguh besar ke-agungan Allah. Dia bersyukur kepada Allah kerana telah memberi hidayah kepadanya untuk menghambakan diri kepada Penciptanya. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana jika dirinya masih lagi berada dalam keaadaan jahil, seperti di zaman lampau. Mat Zin melurut dadanya. Dia bersyukur kepada Allah kerana telah memberikannya ruang untuk sujud dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptanya. Sungguh indah perancangan Ilahi. Mat Zin kemudian mengangkat tangannya lalu berdoa kepada Allah. “Ya Allah! Sungguh cantik percaturan-Mu. Aku bersyukur kepada-Mu, ya Robbi kerana masih memberi ruang kepadaku untuk beribadat kepada-Mu, ya Allah!” doanya.

Air mata Mat Zin mengalir laju. Mat Zin memandang wajah Ambo. Dia kemudian mengatakan kepada Ambo, itu semua sejarah dulu, sewaktu zaman mudanya. “Hebat manusia tidak dapat menandingi kehebatan kuasa Allah s.w.t. Tak ke mana hebatnya manusia!” kata Mat Zin Korea mengakhiri perbualannya.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails