Saturday, 8 May 2010

Mengatasi Sombong & Takabbur?

Saturday, 8 May 2010
Apa itu sombong dan takabbur?

Yang aku faham, sombong dan takabbur ialah rasa diri kita lebih baik dari orang lain.

Idea aku lagi baik dari engkau, anak aku lagi pandai dari anak engkau, solat aku lagi hebat dari orang-orang kampung lain, proposal aku lagi hebat dari boss aku, aku sekolah sampai universiti, engkau sampai SRP aje, apa engkau tahu? .... Itu semua contoh-contoh sombonglah tu.

Sombong ni bukan menyerang orang-orang yang lalai aje.. Orang warak lagi tinggi serangannya. Bila terlihat budak-budak muda leka main bola time mahgrib, terdetik dalam hati, amende la korang ni. Tak reti-reti balik solat ke? Patutnye kita rasa sedih dan risau. Apalah yang aku boleh buat untuk selamatkan budak-budak ni. Bukan lihat depa dengan rasa jijik. Kita kadang-kadang lupa, yang kemampuan kita untuk beribadah tu pun anugerah Allah juga. Kena dia tarik balik, mau jadi mamat tunjuk langit kita dibuatnya. Tau tak mamat tunjuk langit apa? Sapa pernah tengok Saturday Nite Fever taule.. He he he...

Sombong ni urusan hati, maksudnya dalam keadaan biasa tidak kelihatan. Bila dah kena cucuk dengan sesuatu "indicator" barulah boleh dibaca kadar kesombongannya. Contohnya iblis dah lama ada rasa sombong dalam hati, tapi sapa pun tak tahu kecuali Allah s.w.t. Bila kena cucuk dengan Adam a.s, barulah terkeluar semua sombongnya tu. Kita semua pun camtu juga. Sombong ni, sudahlah susah nak nampak, bahaya pulak tu... So macamana kita nak detect berapa tinggi sombong kita?

Bagaimana mengesan sombong / takabbur?
Sebenarnya, senang aje nak detect sombong ni. Tunggu orang komen/sakat/tegur/kritik kita. Apa rasa dalam hati? Katalah ada orang datang jumpa kita, dan kata anak kita dok berdating dengan jantan kat luar, apa rasa dalam hati?
  • Kalau hati rasa sakit, ada sombonglah tu dalam hati.
  • Kalau rasa sakit hati tu lama, fuh kuatlah sombong kita tu.
  • Tapi kalau rasa sakit hati cepat hilang, level sombong kita tu taklah kuat sangat.
Tapi, kalau orang kritik kita cara baik-baik, tak mainlah. Kena tunggu orang kritik dengan cara yang brutal barulah kaw. Semua orang boleh terima teguran, kalau kena tegur baik-baik. Tapi cuma orang yang bersih hatinya boleh terima teguran walaupun dikritik dengan kasar. Tengok Rasulullah (s.a.w), kena maki brutal-brutal pun dok rilek aje. Tapi, kalau kena tegur baik-baik pun hati rasa sakit, faham-fahamlah. Tu level sombong kita dah dekat-dekat nak matching dengan iblis dah tu. Baik le berubat cepat-cepat.

Tapi yang sedih tu, bila aku scan diri aku sendiri dengan indicator di atas, mak aih.. dalam hati aku pun banyak lagi sombong ni.
Issyk.. sedih aku. Balik rumah, terus baca kitab. Cari kaedah ubat takabbur. Apa yang aku dapat? Haa tengok kat bawah ni.

Kaedah-kaedah merawat sombong / takabbur?

Ni yang aku dapat dari kitab yang aku baca:
  1. Minta pada Allah. Ni dah confirmlah. Usahalah macamana pun, kalau Allah kata tidak, tidaklah juga. Jadi tak dapat tidak, first step mesti minta pada Allah untuk buang sombong dalam hati. Rasullullah (s.a.w) pun berdoa untuk elakan sombong tau, apatah lagi kita ni.
  2. Anggap semua orang lebih baik dari kita - Seolah berlaku anjakan paradigma bila aku terbaca strategi ni. Allah jadikan semua orang tu dengan kelebihannya sendiri. Kalau melihat jauh ke dalam setiap orang, sudah tentu kita boleh lihat satu kelebihan yang dia ada, sedangkan kita tidak. Anak kita pun lagi baik dari kita, isteri kita pun lebih baik dari kita, subordinates kat tempat kerja pun semuanya lebih baik dari kita... Mulai hari ni, bila lihat orang, aku berazam nak lihat kebaikan mereka. Ohh terlupa pulak aku. Ni kan salah satu strategi dalam 6 prinsip tabligh tu. Itulah, lain kali orang suruh keluar, kena lah keluar. Asyik bagi alasan kerja aje aku ni.. Kan dah lupa he he he...
  3. Strategi yang ketiga, apalagi ... berlatihlah. Nak masuk merentas desa pun kena berlatih, bukan boleh main redah aje.. Satu cara yang aku sarankan ialah, masuklah mana-mana forum dalam internet. Dalam internet ni ramai kaki sakat. Maklumlah, tak berjumpa muka dengan muka. Bolehlah cakap ikut suka. Cuba tengok, hati sakit tak bila kena sakat kat forum internet. Kalau sakit, lawan rasa sakit hati tu, dan balas komen penyakat tu dengan cara yang lebih baik. Lama-lama hilanglah sombong kita tu.
Tapi hati-hati kawan-kawan, serangan syaitan tak berhenti setakat tu aje. Contohnya, lepas buat research pasal sombong ni, tiba-tiba dalam hati aku terasa, fuh hebat aku ni boleh berfikir pasal permainan-permainan hati yang jarang orang lain nak fikir. Perghhh.. tu dah jadi UJUB pulaks... aduhhh... Bila aku tulis blog post ni, ada pulak lintasan hati, wah ramailah orang baca artikel engkau nanti. Glamourlah engkau nanti.. Pergggh... itu dah jatuh RIAK pulak tu.. Fuh ganas betul serangan-serangan syaitan ni. Mengalahkan jurus super saya tahap lima. Ya Allah, lindungilah kami semua.


1 comments:

not now said...

selalu kita lawan kesombongan org dgn kesombongan jugak. ingatkan nak suruh org tadi sedar diri, tp akhirnya jd perlumbaan lawan siapa hebat....yg sebenarnya kita la yg kena mengalah dan menahan diri dari berkata bnyk walaupun kita tahu kita lebih baik dari mereka....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails