Saturday, 16 January 2010

Upin, Ipin dan Tamsil Kehidupan Dunia

Saturday, 16 January 2010
Upin dan Ipin tinggal di sebuah kampung. Kampung mereka tidaklah besar, dan agak jauh dari pekan. Tetapi, kampung mereka adalah kampung yang aman damai. Tidak banyak kekecohan yang berlaku di kampung mereka, selain kehilangan buah-buah durian yang dicuri oleh Opet tidak lama dulu. Opet adalah makhluk yang datang dari alam yang berlainan, yang tidak dapat Upin dan Ipin jangkau dengan penglihatan mereka. Alam alien agaknya.

Upin dan Ipin tinggal bersama nenek dan Kak Ros. Kak Ros, walaupun garang, sangat sayang pada Upin dan Ipin. Kak Ros, selalu masak, masakan yang sedap-sedap untuk Upin dan Ipin. Pagi tadi, Upin marah sungguh dengan Ipin. Sebabnya Ipin sudah curi ayam goreng Upin. Geram betul Upin.

Tetapi sesuatu yang Upin dan Ipin tidak sedar, sebenarnya mereka cuma hidup di dalam sebuah dunia yang mempunyai 2 dimensi. Mereka dicipta oleh beberapa orang "animator" yang tinggal di dalam dunia yang mempunyai 3 dimensi. Mereka cuma wujud di dalam kaca-kaca televisyen dan papan layar pawagam makhluk-makhluk yang tinggal di dunia 3 dimensi. Upin tak tahu yang perbuatan Ipin mencuri ayam gorengnya pagi tadi, adalah sebenarnya perancangan "animator-animator" yang hidup di dunia 3 dimensi. Bahkan, perasaan marah Upin juga adalah hasil perancangan "animator-animator" tersebut. Upin dan Ipin tak akan mampu melakukan dan merasa apa-apa, melainkan apa yang ditetapkan oleh para "animator-animator" tersebut.

Upin dan Ipin sebenarnya hidup di dalam alam khayalan sahaja. Mereka sekarang sedang ditonton oleh beribu-ribu makhluk yang hidup di dalam dunia 3 dimensi. Untuk watak-watak di dalam cerita Upin dan Ipin, segala kemewahan, harta-benda, kemuliaan di dalam dunia mereka adalah sangat "real." Tetapi untuk makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi, segala kebendaan di dalam dunia Upin dan Ipin adalah tidak bermakna. Mereka tidak akan sekali-kali mahu membeli segala kebendaan di dalam dunia Upin dan Ipin, walaupun dengan hanya harga sebelah kepak nyamuk!

Sesuatu yang tidak diketahui oleh para-para animator, dan lain-lain makhluk yang tinggal di dunia 3 dimensi ialah, mereka juga sebenarnya juga cuma wujud di dalam alam khayalan. Mereka cuma tinggal di dalam kaca-kaca televisyen yang sekarang sedang ditonton oleh berjuta-juta makhluk yang tinggal di dalam alam dengan 4 dimensi! Cumanya, kisah hidup mereka tidak 100% lurus seperti Upin dan Ipin. THE MASTER PROGRAMMER yang mencipta dunia mereka, menjadikan dunia mereka seolah-olah sebuah "Role Playing Game." Mereka akan melakukan sesuatu set perkara-perkara, dan sesudah itu mereka di beri peluang untuk membuat beberapa pilihan. Setelah memilih, mereka akan terpaksa melalui satu lagi set perkara-perkara yang ditetapkan oleh THE MASTER PROGRAMMER.

Ahmad adalah seorang makhluk yang hidup di dalam dunia 3 dimensi. Pagi tadi, Ahmad telah melalui satu set program (takdir) dari bangun tidur, mandi hinggalah untuk pergi kerja. Ahmad sekarang berdepan pilihan untuk pergi kerja dengan menaiki kereta, atau motor. Memandangkan langit adalah cerah, Ahmad memilih untuk menunggang motor sahaja. Tapi tiba-tiba hujan turun. Ahmad tak mampu berbuat apa-apa, kerana masa itu dia sudahpun di pertengahan jalan. Akhirnya Ahmad berdepan dengan satu lagi checkpoint untuk membuat pilihan. Samada meneruskan perjalanan, berlindung di bawah jejambat, atau pulang ke rumah dan mengambil kereta.

Kebanyakan makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi tidak sedar yang mereka cuma wujud di alam khayalan. Ini adalah kerana, di dalam satu hari mereka, terdapat bertrillion-trillion checkpoint untuk membuat pilihan. Dan pada setiap checkpoint pula, terdapat berjuta-juta pilihan yang boleh mereka pilih. Ini menyebabkan mereka merasakan yang merekalah yang mencipta takdir mereka. Mereka tak sedar, yang mereka juga sebenarnya adalah watak-watak seperti Upin dan Ipin sahaja. Cuma di dalam dimensi yang berbeza, dan dengan program yang sedikit lebih complicated.

Seperti Upin dan Ipin juga, makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi merasakan segala kebendaan dan material di dalam dunia mereka adalah tersangat "real." Mereka sanggup berbunuhan untuk berebut kebendaan. Tetapi untuk makhluk-makhluk yang tinggal di dunia 4 dimensi, semua kebendaan di dalam dunia 3 dimensi hanyalah khayalan semata-mata. Tidak akan mereka beli, walaupun cuma berharga sebelah kepak nyamuk!



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails