Saturday, 16 January 2010

Tips Mendapatkan Kerjasama.

Saturday, 16 January 2010
Beberapa minggu lepas, saya menyertai taklimat harian sebelum operasi harian bermula di kilang saya. Dah lama saya tak menyertai taklimat harian. Maklumlah, boss kan selalu sibuk he he... Di penghujung taklimat, tiba-tiba seorang penyelia saya membuat satu pengumuman, "Mulai esok, kita ada perubahan syif. Abdul, mulai esok awak masuk syif saya. Gopal, mulai esok awak masuk syif petang ye." Dan sejurus dengan itu, saya lihat raut wajah Abdul dan Gopal tiba-tiba berubah. Saya tak tahu apakah penyelia-penyelia saya dapat mengesan perubahan raut wajah itu. Tapi untuk saya, setelah bertahun-tahun menjadi penyelia dan pengurus, terus dapat merasakan ada yang tak kena. Saya terus memanggil Abdul dan Gopal. Rupa-rupanya, tiada sebarang perbincangan dilakukan tentang perubahan tersebut. Mereka rupa-rupanya tiba-tiba menerima arahan sahaja. Dah la tu. Perubahannya pun mendadak. Hari ni kerja sampai 11 malam, esok pagi tukar syif pagi masuk pukul 7 pagi.

Mak ai... Sedih saya. Saya tak menyalahkan penyelia-penyelia saya. Kerana kelemahan mereka sebagai penyelia, adalah sebenarnya kelemahan saya sebagai pengurus. Mungkin ini adalah salah satu penyebab kenapa sejak akhir-akhir ini ramai operator yang berhenti kerja!

Sebenarnya, penyebab utama mengapa ramai orang berhenti kerja adalah kerana bosan. Bosan kerana setiap hari mereka cuma terpaksa menerima arahan demi arahan. Lebih buruk lagi, kadangkala tanpa memahami tujuan setiap arahan-arahan tersebut. Manusia tidak suka menerima arahan. Manusia suka melakukan apa yang difikirkannya sendiri. Oleh itu, cabaran sebagai ketua ialah untuk men"designkan" setiap arahan, supaya ahli kumpulan anda merasakan yang ianya adalah sebenarnya buah fikiran mereka sendiri. Kalau kita mahukan kerjasama dari ahli kumpulan, kurangkanlah memberi arahan. Sebaliknya kongsikanlah segala permasalahan dengan kumpulan anda.

Mari kita lihat sebuah contoh.
Syif A sekarang mempunyai kekurangan pekerja. Manakala Syif B mempunyai lebihan pekerja. Kita ingin menukarkan seorang pekerja dari Syif B ke Syif A.
Secara mudah katakanlah, "kita sekarang menghadapi situasi kekurangan orang di Syif A. Tetapi di Syif B kita adalah lebihan orang. Bagaimana agaknya kita boleh mengatasi perkara ini?"
Sekiranya anda baru memulakan aktiviti ini, saya percaya ahli kumpulan anda akan tergamam tanpa mampu memberi apa-apa idea. Sekiranya kumpulan anda sudah terlatih, dengan sekelip mata sahaja mereka sepatutnya sudah boleh membaca apa yang ada di dalam hati anda.
Seterusnya berilah pendapat anda, "apakata kalau Abdul awak masuk ke Syif B? Boleh tak?"
Abdul mungkin menerima atau menolak. Sekiranya Abdul menolak, tanyakanlah sebabnya. Sekiranya alasan Abdul adalah munasabah, kita haruslah menerima dan memikirkan alternatif lain. Tetapi sekiranya alasan Abdul adalah tidak munasabah, kita haruslah menghadapinya dengan hujah yang konkrit. Bukan dengan KUASA VETO! Saya akui, menghadapi karenah anak buah dengan hujah adalah amat memenatkan. Tetapi, sebenarnya inilah sahaja satu-satunya cara yang berkesan. Menghadapi karenah anak buah dengan KUASA VETO, secara jangka pendek memanglah jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Tetapi secara jangka panjang, akan merosakan bukan sahaja hubungan anda dengan pekerja yang terlibat. Tetapi juga di mata semua anak-anak buah yang lain. Lama-kelamaan anda akan dicop sebagai ketua yang haprak, dan tiada siapa yang akan berkerjasama dengan anda lagi.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails