Sunday, 24 January 2010

Apa itu Agama, Apa itu Iman?

Sunday, 24 January 2010
Sudah lama saya tak keluar untuk usaha-usaha tabligh. Semalam ada jemaah datang ke surau tempat saya tinggal. Sambil duduk bersama-sama dalam majlis fikir, dapatlah mengingatkan balik kenapa saya hidup di atas dunia ini.

Apa itu agama?

Termenung sekejap saya, apabila ditanyakan soalan tersebut. Apa itu sebenarnya agama yek? Dalam perkataan yang mudah, agama adalah segala perintah Allah, dan segala larangan Allah. Diucap dalam perkataan lain, agama ialah bagaimanakah kita seharusnya menjalani hidup di atas dunia. Di dalam bahasa moden kita ni, bolehlah dikatakan yang agama itu ialah manual kehidupan kita.

Kenapa agama itu penting?

Saya sekarang memiliki sebuah kereta perodua kancil dan sebuah kereta perodua kenari. Kereta kenari saya cukup jaga "periodic maintenancenya" sepertimana yang dicadangkan oleh manufacturer di dalam owner's manual. Tapi oleh kerana nak jaga "budget", kereta kancil pula saya jaga mengikut pendapat diri sendiri. Hasilnya performance kereta kenari saya memang tip top, manakala kereta kancil pula banyak kelemahan di sana sini.

Tuan-tuan, kita ini Allah yang ciptakan. Apakah perkara yang terbaik untuk kita, Allah lah yang sebenarnya lebih tahu dari kita sendiri. Samalah macam kereta-kereta saya. Engineer-engineer yang mereka-bentuk kereta tersebut, tentulah lebih arif tentang function dan cara penjagaannya dari kita yang hanya menggunakannya sahaja. Jadi kalau nak kereta tip top, kenalah ikut cakap manufacturer. Kalau nak hidup tip-top, kenalah ikut cakap Allah kan? Betul tak?

Tapi malangnya, sungguhpun kita tahu agama tu penting, berapa ramai dari kita yang dapat amalkan agama yang sempurna di dalam hidup kita? Kita tahu solat tu penting, tapi bila sangkut dalam meeting, terus solat kita tolak tepi. Kita tahu rasuah itu haram, tapi bila vendor kasi "hamper hari raya" buat-buat terlupa pulak hukum agama.

Kenapa jadi macam ini ya tuan-tuan? Sebabnya tak lain dan tak bukan ialah, iman kita lemah. Apa pulak iman ni?

Apa itu iman?
Iman ialah bagaimana saya nak yakin, Allah sahaja berkuasa, semua makhluk tiada kuasa. Bagaimana saya nak tanamkan dalam hati, Allah yang beri rezeki pada saya. Bukan kilang, bukan bisnes, bukan boss yang beri rezeki pada saya. Bagi para perawat Islam pula, bagaimana nak tanamkan dalam hati, Allah yang sembuhkan pesakit kita, bukan bacaan kita, dan bukan pula nur-nur dari kalamullah-kalamullah yang telah kita jazamkan pagi, petang, siang, malam tu. He he... jangan marah. Ini peringatan untuk diri saya sendiri sahaja. Di ringkaskan dalam satu kalimah, iman itu ialah : Laillahaillallah

Iman itu ialah ibarat akar pada pokok. Iman itu adalah ibarat tiang seri pada bangunan. Tanpa iman, sungguhpun kita tahu amal agama tu penting, kita tak akan mampu hidup dengan amal-amal agama yang kita dah tahu. Apatah lagi nak buat usaha untuk tambah ilmu agama.

Jadi ringkasnya, kalau kita nak hidup yang cemerlang, kita mesti amal agama yang sempurna. Untuk dapat kekuatan amal agama, kita mesti ada iman yang mantap. Persoalannya pula, bagaimana nak bina iman yang mantap. Untuk jawab soalan ini, nombor satu kita patut dah tahu yang iman duduknya di dalam hati. Hati kita pula adalah tempat terkumpulnya segala maklumat yang dikumpul oleh deria.
  • Apa yang kita lihat masuk dalam hati.
  • Apa yang kita dengar masuk dalam hati. 
  • DAN YANG PALING PENTING, APA YANG KITA CAKAP MASUK DALAM HATI. Apabila tiap-tiap hari kita cakap tentang kebesaran dunia, maka dunia masuk dalam hati. Sedikit demi sedikit, kebesaran Allah semakin pudar dari hati kita.
Tuan-tuan. Tanyalah diri kita sendiri. Tiap-tiap hari berapa jam kita cakap pasal kerja? Tiap-tiap hari berapa jam kita cakap tentang kereta? Tiap-tiap hari, berapa jam kita sembang tentang Manchaster United dan Liverpool? DAN TIAP-TIAP HARI, BERAPA JAM KAH KITA CAKAP TENTANG KEBESARAN ALLAH? Tak salah bercakap urusan dunia, tapi kalau setiap hari kita sembang tentang dunia selama 10jam, dan bercakap tentang kebesaran Allah selama 10 minit, kita patut sudah boleh agak kenapa kita tak mampu nak amal agama sempurna di dalam hidup kita. Siapa-siapa yang pernah baca buku "The 7 habits of highly effective people" karangan Stephen R. Covey, patut tahu tentang prinsip "Put the First Thing First." Maksudnya, untuk berjaya kita mesti mampu kenalpasti apakah urusan yang paling besar impaknya di dalam hidup kita. Kemudian pastikan perkara itulah yang dilakukan dahulu.

Rasanya tuan-tuan, sudah tiba masanya untuk kita re-define, apakah "First Thing" kita.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails