Tuesday, 17 August 2010

Mengurangkan Tekanan Kerja: Kenapa Kita Mesti Elakan Mengumpat?

Tuesday, 17 August 2010

Hari ini aku belajar satu benda baru.
Macam- macam dah jadi kat tempat kerja aku. Banyak perkara mengecewakan, ketidakadilan berlaku, sampai aku pun kadang-kadang bersama-bersama mengumpat sana dan sini. Bukan aku kata kita patut biarkan orang pijak kepala kita, tapi bila mengumpat, tiada sebarang penyelesaian baik yang akan berlaku. Walaupun kita berada pada pihak yang benar, bila kita mengumpat, kita akan:
  1. Sentiasa rasa risau, kerana takut orang yang diumpat tahu apa yang dikatakan.
  2. Apabila umpatan kita itu seolah-olah telah diketahui, kita mula menaruh syak wasangka kepada kawan-kawan yang mendengar umpatan kita itu. Siapalah agaknya yang bocor rahsia ni...
  3. Rasa tension, sebab bila kita mengumpat, kita sedang reinforce rasa kecewa di dalam hati. Kita akan semakin susah untuk redha dengan ketentuan Allah.
Senang cerita, mengumpat tak akan selesaikan masalah kita ditempat kerja.
Bahkan cuma akan menambah masalah sahaja.
Jadinya, kalau tak mahu tekanan kerja semakin bertambah, kalaupun tak berani nak berdepan dengan boss, jangan mengumpat...

0 comments

Thursday, 29 July 2010

Kaedah Menghalau Hantu Dari Rumah.

Thursday, 29 July 2010
Ini ada kaedah terbaru halau hantu dari rumah yang aku belajar dari Sifu.
Tak payah jurus-menjurus, tak payah jampi menjampi.




Kaedahnya:
  • Hidupkan majlis taklim kat rumah.
  • Tak kiralah, nak baca kitab fazail ke, kitab apa ke.. yang penting istiqamah dan berjemaah.
  • Malaikat berkumpul berbondong-bondong dari bumi ke langit.
  • Cahayanya, pergghh...
  • Rahmat turun melimpah ruah.
Cubalah buat, then bagitau berapa lama hantu-hantu boleh maintain lepak kat rumah korang.

Kata sifu aku:
Dulu kat kelang ada rumah berhantu...
Asal penyewa tidur je..esoknya kat luar..
last2 sekumpulan Karkun Tabligh menyewa...tiap hari buat majlim taalim...terus setel....
Mana2 rumah yg selalu kena ganggu atau sihir..cubalah bacakan bab2 ilmu..
Tak semestinya kitab Fadhilah yg macam orang tabligh...
Boleh aje baca kitab ihya ulumiddin atau apa aje kitab....lepas tu korang
tgk apa jadi....


0 comments

Saturday, 8 May 2010

Mengatasi Sombong & Takabbur?

Saturday, 8 May 2010
Apa itu sombong dan takabbur?

Yang aku faham, sombong dan takabbur ialah rasa diri kita lebih baik dari orang lain.

Idea aku lagi baik dari engkau, anak aku lagi pandai dari anak engkau, solat aku lagi hebat dari orang-orang kampung lain, proposal aku lagi hebat dari boss aku, aku sekolah sampai universiti, engkau sampai SRP aje, apa engkau tahu? .... Itu semua contoh-contoh sombonglah tu.

Sombong ni bukan menyerang orang-orang yang lalai aje.. Orang warak lagi tinggi serangannya. Bila terlihat budak-budak muda leka main bola time mahgrib, terdetik dalam hati, amende la korang ni. Tak reti-reti balik solat ke? Patutnye kita rasa sedih dan risau. Apalah yang aku boleh buat untuk selamatkan budak-budak ni. Bukan lihat depa dengan rasa jijik. Kita kadang-kadang lupa, yang kemampuan kita untuk beribadah tu pun anugerah Allah juga. Kena dia tarik balik, mau jadi mamat tunjuk langit kita dibuatnya. Tau tak mamat tunjuk langit apa? Sapa pernah tengok Saturday Nite Fever taule.. He he he...

Sombong ni urusan hati, maksudnya dalam keadaan biasa tidak kelihatan. Bila dah kena cucuk dengan sesuatu "indicator" barulah boleh dibaca kadar kesombongannya. Contohnya iblis dah lama ada rasa sombong dalam hati, tapi sapa pun tak tahu kecuali Allah s.w.t. Bila kena cucuk dengan Adam a.s, barulah terkeluar semua sombongnya tu. Kita semua pun camtu juga. Sombong ni, sudahlah susah nak nampak, bahaya pulak tu... So macamana kita nak detect berapa tinggi sombong kita?

Bagaimana mengesan sombong / takabbur?
Sebenarnya, senang aje nak detect sombong ni. Tunggu orang komen/sakat/tegur/kritik kita. Apa rasa dalam hati? Katalah ada orang datang jumpa kita, dan kata anak kita dok berdating dengan jantan kat luar, apa rasa dalam hati?
  • Kalau hati rasa sakit, ada sombonglah tu dalam hati.
  • Kalau rasa sakit hati tu lama, fuh kuatlah sombong kita tu.
  • Tapi kalau rasa sakit hati cepat hilang, level sombong kita tu taklah kuat sangat.
Tapi, kalau orang kritik kita cara baik-baik, tak mainlah. Kena tunggu orang kritik dengan cara yang brutal barulah kaw. Semua orang boleh terima teguran, kalau kena tegur baik-baik. Tapi cuma orang yang bersih hatinya boleh terima teguran walaupun dikritik dengan kasar. Tengok Rasulullah (s.a.w), kena maki brutal-brutal pun dok rilek aje. Tapi, kalau kena tegur baik-baik pun hati rasa sakit, faham-fahamlah. Tu level sombong kita dah dekat-dekat nak matching dengan iblis dah tu. Baik le berubat cepat-cepat.

Tapi yang sedih tu, bila aku scan diri aku sendiri dengan indicator di atas, mak aih.. dalam hati aku pun banyak lagi sombong ni.
Issyk.. sedih aku. Balik rumah, terus baca kitab. Cari kaedah ubat takabbur. Apa yang aku dapat? Haa tengok kat bawah ni.

Kaedah-kaedah merawat sombong / takabbur?

Ni yang aku dapat dari kitab yang aku baca:
  1. Minta pada Allah. Ni dah confirmlah. Usahalah macamana pun, kalau Allah kata tidak, tidaklah juga. Jadi tak dapat tidak, first step mesti minta pada Allah untuk buang sombong dalam hati. Rasullullah (s.a.w) pun berdoa untuk elakan sombong tau, apatah lagi kita ni.
  2. Anggap semua orang lebih baik dari kita - Seolah berlaku anjakan paradigma bila aku terbaca strategi ni. Allah jadikan semua orang tu dengan kelebihannya sendiri. Kalau melihat jauh ke dalam setiap orang, sudah tentu kita boleh lihat satu kelebihan yang dia ada, sedangkan kita tidak. Anak kita pun lagi baik dari kita, isteri kita pun lebih baik dari kita, subordinates kat tempat kerja pun semuanya lebih baik dari kita... Mulai hari ni, bila lihat orang, aku berazam nak lihat kebaikan mereka. Ohh terlupa pulak aku. Ni kan salah satu strategi dalam 6 prinsip tabligh tu. Itulah, lain kali orang suruh keluar, kena lah keluar. Asyik bagi alasan kerja aje aku ni.. Kan dah lupa he he he...
  3. Strategi yang ketiga, apalagi ... berlatihlah. Nak masuk merentas desa pun kena berlatih, bukan boleh main redah aje.. Satu cara yang aku sarankan ialah, masuklah mana-mana forum dalam internet. Dalam internet ni ramai kaki sakat. Maklumlah, tak berjumpa muka dengan muka. Bolehlah cakap ikut suka. Cuba tengok, hati sakit tak bila kena sakat kat forum internet. Kalau sakit, lawan rasa sakit hati tu, dan balas komen penyakat tu dengan cara yang lebih baik. Lama-lama hilanglah sombong kita tu.
Tapi hati-hati kawan-kawan, serangan syaitan tak berhenti setakat tu aje. Contohnya, lepas buat research pasal sombong ni, tiba-tiba dalam hati aku terasa, fuh hebat aku ni boleh berfikir pasal permainan-permainan hati yang jarang orang lain nak fikir. Perghhh.. tu dah jadi UJUB pulaks... aduhhh... Bila aku tulis blog post ni, ada pulak lintasan hati, wah ramailah orang baca artikel engkau nanti. Glamourlah engkau nanti.. Pergggh... itu dah jatuh RIAK pulak tu.. Fuh ganas betul serangan-serangan syaitan ni. Mengalahkan jurus super saya tahap lima. Ya Allah, lindungilah kami semua.


1 comments

Sunday, 7 March 2010

Bolehkah Nasfu Dikalahkan Dengan Akal?

Sunday, 7 March 2010
1. Bolehkah nafsu dikalahkan dengan akal fikiran?
Berapa banyak orang yang meninggalkan solat, tahu meninggalkan solat itu kemurkaan Allah, tapi masih tidak mampu mengatasinya.
Berapa banyak orang yang berzina tahu ianya dosa, tapi masih melakukannya walaupun di dalam hati penuh dengan penyesalan. Sudah terang, nafsu tak mungkin dapat ditewaskan dengan akal fikiran. Silap-silap akal fikiran pula yang menjadi alat kepada nafsu. Akal yang sepatutnya menghalang seseorang dari menganggu rumah tangga orang lain, tapi bila tewas kepada nafsu, akal itu pula yang mencari jalan bagaimana nak larikan isteri orang. Pergh...

Jadi macamana ni? Akal yang sepatutnya menjadi senjata kita pula yang tewas pada nafsu. Apa lagi senjata lain yang kita ada?

Sebenarnya ada satu lagi senjata yang sangat ampuh. Itulah dia kekuatan roh. Nafsu tidak akan berjaya menguasai roh. Oleh itu, haruslah menjadi matlamat kita yang paling utama untuk menguatkan roh.

2. Kaedah praktikal menguatkan roh?
Apabila roh sudah mantap, sedikit demi sedikit dengan sendirinya kita akan menjadi benci kepada maksiat. Kalau dulu, kita suka mendengar kepada lagu-lagu, apabila roh sudah mantap, dengan sendirinya kita akan merasa lagu-lagu itu "bising" dan merunsingkan. Kalau dulu, mata kita liar melihat segala perkara yang haram, bila roh sudah mantap, kita dengan sendirinya akan merasa benci melihat perkara-perkara haram.

Cara menguatkan roh ialah dengan zikrullah. Kaedah praktikalnya tak susah. Cuma pilih satu kalimah zikir. Tak kiralah awak nak zikir Allah ke, Laillahaillallah ke, selawat ke, atau apa-apa aje. Kemudian tetapkan jumlah zikir yang awak nak buat di dalam satu hari. Tak kira 100x ke, 1000x ke, 5000x ke, yang penting buat dengan istiqamah setiap hari. Jangan miss. Elok start sikit-sikit dulu, kemudian tambah bila dah stabil. Yang penting buat dengan istiqamah dan jangan miss. Kalau miss, usaha lagi. Bila dah stabil baru tambah zikirnye.

Jangan risau kalau pada masa ni awak cuma mampu zikir kat mulut aje. Kat hati tak rasa apa-apa. Juga jangan risau kalau pada masa ni, walaupun awak zikir hari-hari, amalan fardhu masih tak sempurna. Jangan risau kalau pada masa ni, solat awak masih tak cukup 5 kali sehari. Dapat jaga zikir secara istiqamah tu pun satu rezeki yang besar dari Allah. Baiklah kita lalai dalam zikir, daripada lalai tanpa zikir.

Sedikit demi sedikit, hati awak akan jadi bersih dek zikir yang awak buat secara istiqamah. Lama-kelamaan, Allah akan bukakan rezeki untuk awak sempurnakan amalan fardhu pula. Lepas tu Allah akan tambah amal-amal sunat pula. Semakin lama awak jaga rezeki-rezeki Allah ini dengan istiqamah, Allah akan letakkan rasa  benci pada maksiat pula dalam hati awak. Lepas tu, bila awak dah mampu tinggalkan maksiat, awak akan mula rasa zauq di dalam hati awak masa awak beramal. Awak akan mula rasa kebesaran Allah di dalam setiap takdir.

Saya dulu start dengan selawat tafrijiyah. Saya buat 111x sehari. Lepas tu Allah bukakan pula, rezeki untuk saya buat Al-Manzil pagi dan petang. Lepas tu Allah bukakan pula rezeki untuk saya jaga solat 5 waktu. Lepas tu Allah bukakan rezeki pada saya untuk istiqamah solat malam pula. Mula-mula solat taubat dan witir aje. Lepas tu dapat pula rezeki istiqamah di dalam tahajjud. Lepas tu bermacam-macam lagi rezeki zikir yang Allah kurniakan. Sampai pada satu stage, tiba-tiba saya jadi hilang nafsu nak dengar lagu-lagu. Sampai pada satu stage lain pula, tiba-tiba saya jadi hilang nafsu nak tengok TV. Semoga Allah tetapkan segala nikmat-nikmat ini. Semuanya ini hanyalah rezeki dari Allah. Bukannya kemampuan kita. Ya Allah, tetapkanlah aku sentiasa di dalam rahmatMu. Tiadalah daya bagiku walau sedikitpun. KepadaMu lah wahai zat Yang Maha Wujud lagi Maujud, aku serahkan nasibku. Amin.

Mungkin awak akan kata, cakap senanglah. Tapi macamana nak start buat zikir tu dengan istiqamah. Bab ni, saya ingat nanti saya sentuh dalam posting lain dengan izin Allah. Apa-apapun, sila baca disclaimer di bawah.

Disclaimer:
Saya bukanlah seorang yang mempunyai pendidikan agama yang formal. Kat universiti dulu pun belajar engineering, bukan agama. Apa yang saya tulis kat sini hanyalah dari pengalaman peribadi sahaja. Sebagai perkongsian kepada saudara-saudara segama yang mungkin senasib dengan saya. Saya juga tidak mengikut apa-apa tarikat, kecuali tarikat kehidupan, dan setakat ini tidak mempunyai mursyid yang khusus. Oleh itu, saya tidak boleh memberi apa-apa ijazah atau warranty terhadap segala apa yang dikongsikan di atas. Do it at your own risk.

Sekiranya ada di antara para pembaca terdiri dari golongan para ulama. Di harap dapat memberi teguran, bimbingan dan memperbetulkan segala kesilapan yang mungkin ada.




0 comments

Wednesday, 17 February 2010

3 Formula Kejayaan

Wednesday, 17 February 2010
Ada seorang kawan saya, beritahu saya yang hidup manusia kat dunia ni tak susah sebenarnya. Tugas kita hanyalah:
  1. Buat apa yang Allah suruh.
  2. Tinggalkan apa yang Allah larang.
  3. Redha dengan segala ketentuan Allah.
Formulanya cuma 3 aje, tapi nak buat, pergh... Subhanallah.
Secara peribadi untuk saya, yang no 1 dan 2 tu bolehlah diusahakan lagi, tapi yang no. 3 tu, mujahadah besar tu.
Mari kita bincangkan. Bagaimana untuk redha dengan segala ketentuan Allah?

Pada pandangan saya yang jahil ini, susah untuk kita redha dengan ketentuan Allah, kalau kita tak sedar yang Allah sangat-sangat sayang pada kita. Dan setiap perkara yang Dia tentukan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita. Jadinya, perkara pertama yang perlu kita usahakan ialah untuk sedar yang Allah itu sangat-sangat sayang pada kita. Persoalannya, bagaimana caranya? Inilah persoalan yang terlalu lama berada di dalam hati saya. Kajian demi kajian dibuat, namun saya masih tidak berjaya menemui jawapan yang memuaskan hati saya.

Tetapi akhirnya, saya menemui satu kaedah yang agak unik dari blog Fuad Latif.
Anda boleh membaca keseluruhan artikelnya yang bertajuk, "Solat untuk apa?" disini.

Di bawah ialah sebahagian isi blog tersebut, yang menerangkan bagaimana untuk merasakan kasih sayang Allah:

KOMUNIKASI dengan Allah mampu melahirkan rasa CINTA dan SAYANG kita pada Allah. KOMUNIKASI adalah perkara utama di dalam perhubungan baik antara makhluk dengan Pencipta atau hubungan sesama makhluk. Tanpa KOMUNIKASI maka tidak akan terjalin hubungan. Maka tidak akan wujud CINTA dan SAYANG.

Jika suami dan isteri tidak lagi berKOMUNIKASI, maka lambat laun hambarlah hubungan dan tidak mustahil akan berakhirnya hubungan yang hambar itu. Sepasang kekasih yang diputuskan KOMUNIKASI antara mereka, maka kecewa dan hancurlah jiwa dan akhirnya putuslah tali kasih sayang.

Begitulah juga kita hamba Allah. Jika terputus KOMUNIKASI kita dengan Allah, maka makin jauhlah kita dengan Allah walaupun pada hakikatnya Allah itu dekat sangat dengan kita. Kita hanya dekat dengan Allah ketika solat, ketika baca Al Quran namun di masa lain, kita jauh daripada Allah. Itu pun jika kita kusyuk bersolat dan menghayati isi Al Quran yang dibaca.

Sesungguhnya KOMUNIKASI amatlah terpenting dan PALING TERPENTING ADALAH KOMUNIKASI DENGAN ALLAH. Ia menjadikan kita sangat hampir dengan Allah. Menjadikan hati dan jiwa kita ini hanya untuk Allah.

Saya pun masih sedang berlatih untuk berkomunikasi dengan Allah. Mudah-mudahan dipermudahkan oleh Allah.

Sesiapa yang ada lagi tips-tips bagaimana untuk redha dengan ketentuan Allah, sila-silalah kongsikan ye :)

Salam.


0 comments

Sunday, 14 February 2010

Kenapa Kita Stress?

Sunday, 14 February 2010
Kenapa kita stress? Lama juga saya fikirkan. Selepas berfikir agak mendalam, kesimpulan saya ialah, ada 2 sebab utama kenapa kita stress:
  1. Buntu dengan masalah yang menimpa.
  2. Tak mampu untuk redha dengan takdir yang menimpa.
Jadi, bagaimana untuk mengatasinya. Mari kita fikir-fikirkan.
Buat masa ni, saya rasa tak nak ulas lagi. Cuba awak-awak bagi pandangan awak dulu.
Kalau nak email, boleh hantar ke schanizan@gmail.com
Kalau sudi share dengan semua orang, tampal ajelah kat ruang comment.

Tapi stress tak semestinya perkara yang negatif.
Kadangkala stress boleh berubah menjadi punca kepada anjakan paradigma di dalam diri kita.
Setelah stress sampai ke puncaknya, kita mungkin akhirnya mendapat kefahaman tentang satu rahsia yang sangat tinggi.
Kita akhirnya mungkin akan dapat memahami hakikat:

MASHA ALLAHU KANNA WAMA'LAM YASHA' LAM YAKUN
WALAAHAULAWALAQUWWATAILLABILLAHIL 'ALLIYIL 'AZIM

Dan dari situ, kita akhirnya akan berpatah balik kepada:

LAA ILLA HAILLALLAH MUHAMMADDURRASULULLAH

Maha Suci Allah yang sentiasa memberi peluang kepada hambaNya untuk memahami kebenaran.
Setengah orang bertemu kebenaran dengan jalan kesufian.
Setengah orang bertemu kebenaran dengan tarikat kehidupan.
Setengah orang mengenal Allah dengan tasbih dan zikir.
Setengah orang mengenal Allah dari dokumen-dokumen dan tekanan-tekanan di tempat kerja.

Maha Suci Allah.
Terima kasih Allah.



0 comments

Friday, 29 January 2010

Mengapa Kita Patut Berdoa Apabila Buntu?

Friday, 29 January 2010
Pernah satu ketika, semasa saya muda-muda dulu he he... Semasa itu, saya ialah seorang juruteknik. Sebuah mesin mengalami kerosakan dan tidak boleh dihidupkan. Puas saya belek atas, bawah, kiri dan kanan. Tapi masih tak mampu faham apakah punca kerosakan. Buku user's manual, dah berpuluh kali saya belek. Rasanya dah naik khatam pun. Buntu dengan keadaan tersebut, saya memanggil jurutera kami. Yang hebatnya, tak sampai 1 minit, jurutera kami sudahpun boleh mengesan punca kerosakan. Kenapa boleh jadi macam tu? Tak lain adalah kerana pengetahuan saya begitu ciput tentang mesin itu. Manakala jurutera tu pula, dah bertahun "handle" mesin tu. Jadi, sudah tentu setiap ceruk mesin tu dah difahaminya.

Pernah juga lagi satu kes, satu lagi mesin rosak. Dah puas repair sendiri tapi tak boleh juga. Jadinya, ambil keputusan untuk outsource. Penat saya belek yellow pages dan telefon sana sini, tapi masih tak jumpa contractor yang mampu handle mesin tersebut. Bila dah buntu, kali ni saya jumpa boss. Boss saya cuma gelakan saya. Katanya, "Kenapa tak tanya awal-awal, ni ha nombor telefon contractor untuk mesin tu." Mak ai... buang masa je aku selama ni. Kalau awal-awal tanya boss kan baik.

Sebenarnya, jurutera yang saya ceritakan tu dan boss saya boleh selesaikan masalah lebih cepat dari saya, kerana depa ada "resources" yang jauh lebih banyak dari saya. Rasa-rasanya lah, siapa dia yang ada resources yang paling besar sekali. Tak lain tak bukan, tentulah Allah s.w.t. Alam semesta ni kan Dia yang punya. Segala ceruk alam semesta ni di bawah pengetahuan dan kekuasaanNya. Malu nak mengaku, tapi saya pun bila ada masalah, kadang-kadang Allah lah yang paling last saya minta tolong. Dah habis usaha sana, usaha sini, minta tolong kat orang sana, minta tolong kat orang sini, dah habis buntu baru nak minta tolong dengan Allah. Kan ke buang masa namanya tu. Kenapa tak awal-awal minta tolong dari Zat yang memiliki segala resources? Kadang-kadang saya pun tak faham dengan diri saya ni.


0 comments

Sunday, 24 January 2010

Apa itu Agama, Apa itu Iman?

Sunday, 24 January 2010
Sudah lama saya tak keluar untuk usaha-usaha tabligh. Semalam ada jemaah datang ke surau tempat saya tinggal. Sambil duduk bersama-sama dalam majlis fikir, dapatlah mengingatkan balik kenapa saya hidup di atas dunia ini.

Apa itu agama?

Termenung sekejap saya, apabila ditanyakan soalan tersebut. Apa itu sebenarnya agama yek? Dalam perkataan yang mudah, agama adalah segala perintah Allah, dan segala larangan Allah. Diucap dalam perkataan lain, agama ialah bagaimanakah kita seharusnya menjalani hidup di atas dunia. Di dalam bahasa moden kita ni, bolehlah dikatakan yang agama itu ialah manual kehidupan kita.

Kenapa agama itu penting?

Saya sekarang memiliki sebuah kereta perodua kancil dan sebuah kereta perodua kenari. Kereta kenari saya cukup jaga "periodic maintenancenya" sepertimana yang dicadangkan oleh manufacturer di dalam owner's manual. Tapi oleh kerana nak jaga "budget", kereta kancil pula saya jaga mengikut pendapat diri sendiri. Hasilnya performance kereta kenari saya memang tip top, manakala kereta kancil pula banyak kelemahan di sana sini.

Tuan-tuan, kita ini Allah yang ciptakan. Apakah perkara yang terbaik untuk kita, Allah lah yang sebenarnya lebih tahu dari kita sendiri. Samalah macam kereta-kereta saya. Engineer-engineer yang mereka-bentuk kereta tersebut, tentulah lebih arif tentang function dan cara penjagaannya dari kita yang hanya menggunakannya sahaja. Jadi kalau nak kereta tip top, kenalah ikut cakap manufacturer. Kalau nak hidup tip-top, kenalah ikut cakap Allah kan? Betul tak?

Tapi malangnya, sungguhpun kita tahu agama tu penting, berapa ramai dari kita yang dapat amalkan agama yang sempurna di dalam hidup kita? Kita tahu solat tu penting, tapi bila sangkut dalam meeting, terus solat kita tolak tepi. Kita tahu rasuah itu haram, tapi bila vendor kasi "hamper hari raya" buat-buat terlupa pulak hukum agama.

Kenapa jadi macam ini ya tuan-tuan? Sebabnya tak lain dan tak bukan ialah, iman kita lemah. Apa pulak iman ni?

Apa itu iman?
Iman ialah bagaimana saya nak yakin, Allah sahaja berkuasa, semua makhluk tiada kuasa. Bagaimana saya nak tanamkan dalam hati, Allah yang beri rezeki pada saya. Bukan kilang, bukan bisnes, bukan boss yang beri rezeki pada saya. Bagi para perawat Islam pula, bagaimana nak tanamkan dalam hati, Allah yang sembuhkan pesakit kita, bukan bacaan kita, dan bukan pula nur-nur dari kalamullah-kalamullah yang telah kita jazamkan pagi, petang, siang, malam tu. He he... jangan marah. Ini peringatan untuk diri saya sendiri sahaja. Di ringkaskan dalam satu kalimah, iman itu ialah : Laillahaillallah

Iman itu ialah ibarat akar pada pokok. Iman itu adalah ibarat tiang seri pada bangunan. Tanpa iman, sungguhpun kita tahu amal agama tu penting, kita tak akan mampu hidup dengan amal-amal agama yang kita dah tahu. Apatah lagi nak buat usaha untuk tambah ilmu agama.

Jadi ringkasnya, kalau kita nak hidup yang cemerlang, kita mesti amal agama yang sempurna. Untuk dapat kekuatan amal agama, kita mesti ada iman yang mantap. Persoalannya pula, bagaimana nak bina iman yang mantap. Untuk jawab soalan ini, nombor satu kita patut dah tahu yang iman duduknya di dalam hati. Hati kita pula adalah tempat terkumpulnya segala maklumat yang dikumpul oleh deria.
  • Apa yang kita lihat masuk dalam hati.
  • Apa yang kita dengar masuk dalam hati. 
  • DAN YANG PALING PENTING, APA YANG KITA CAKAP MASUK DALAM HATI. Apabila tiap-tiap hari kita cakap tentang kebesaran dunia, maka dunia masuk dalam hati. Sedikit demi sedikit, kebesaran Allah semakin pudar dari hati kita.
Tuan-tuan. Tanyalah diri kita sendiri. Tiap-tiap hari berapa jam kita cakap pasal kerja? Tiap-tiap hari berapa jam kita cakap tentang kereta? Tiap-tiap hari, berapa jam kita sembang tentang Manchaster United dan Liverpool? DAN TIAP-TIAP HARI, BERAPA JAM KAH KITA CAKAP TENTANG KEBESARAN ALLAH? Tak salah bercakap urusan dunia, tapi kalau setiap hari kita sembang tentang dunia selama 10jam, dan bercakap tentang kebesaran Allah selama 10 minit, kita patut sudah boleh agak kenapa kita tak mampu nak amal agama sempurna di dalam hidup kita. Siapa-siapa yang pernah baca buku "The 7 habits of highly effective people" karangan Stephen R. Covey, patut tahu tentang prinsip "Put the First Thing First." Maksudnya, untuk berjaya kita mesti mampu kenalpasti apakah urusan yang paling besar impaknya di dalam hidup kita. Kemudian pastikan perkara itulah yang dilakukan dahulu.

Rasanya tuan-tuan, sudah tiba masanya untuk kita re-define, apakah "First Thing" kita.



0 comments

Saturday, 16 January 2010

Tips Mendapatkan Kerjasama.

Saturday, 16 January 2010
Beberapa minggu lepas, saya menyertai taklimat harian sebelum operasi harian bermula di kilang saya. Dah lama saya tak menyertai taklimat harian. Maklumlah, boss kan selalu sibuk he he... Di penghujung taklimat, tiba-tiba seorang penyelia saya membuat satu pengumuman, "Mulai esok, kita ada perubahan syif. Abdul, mulai esok awak masuk syif saya. Gopal, mulai esok awak masuk syif petang ye." Dan sejurus dengan itu, saya lihat raut wajah Abdul dan Gopal tiba-tiba berubah. Saya tak tahu apakah penyelia-penyelia saya dapat mengesan perubahan raut wajah itu. Tapi untuk saya, setelah bertahun-tahun menjadi penyelia dan pengurus, terus dapat merasakan ada yang tak kena. Saya terus memanggil Abdul dan Gopal. Rupa-rupanya, tiada sebarang perbincangan dilakukan tentang perubahan tersebut. Mereka rupa-rupanya tiba-tiba menerima arahan sahaja. Dah la tu. Perubahannya pun mendadak. Hari ni kerja sampai 11 malam, esok pagi tukar syif pagi masuk pukul 7 pagi.

Mak ai... Sedih saya. Saya tak menyalahkan penyelia-penyelia saya. Kerana kelemahan mereka sebagai penyelia, adalah sebenarnya kelemahan saya sebagai pengurus. Mungkin ini adalah salah satu penyebab kenapa sejak akhir-akhir ini ramai operator yang berhenti kerja!

Sebenarnya, penyebab utama mengapa ramai orang berhenti kerja adalah kerana bosan. Bosan kerana setiap hari mereka cuma terpaksa menerima arahan demi arahan. Lebih buruk lagi, kadangkala tanpa memahami tujuan setiap arahan-arahan tersebut. Manusia tidak suka menerima arahan. Manusia suka melakukan apa yang difikirkannya sendiri. Oleh itu, cabaran sebagai ketua ialah untuk men"designkan" setiap arahan, supaya ahli kumpulan anda merasakan yang ianya adalah sebenarnya buah fikiran mereka sendiri. Kalau kita mahukan kerjasama dari ahli kumpulan, kurangkanlah memberi arahan. Sebaliknya kongsikanlah segala permasalahan dengan kumpulan anda.

Mari kita lihat sebuah contoh.
Syif A sekarang mempunyai kekurangan pekerja. Manakala Syif B mempunyai lebihan pekerja. Kita ingin menukarkan seorang pekerja dari Syif B ke Syif A.
Secara mudah katakanlah, "kita sekarang menghadapi situasi kekurangan orang di Syif A. Tetapi di Syif B kita adalah lebihan orang. Bagaimana agaknya kita boleh mengatasi perkara ini?"
Sekiranya anda baru memulakan aktiviti ini, saya percaya ahli kumpulan anda akan tergamam tanpa mampu memberi apa-apa idea. Sekiranya kumpulan anda sudah terlatih, dengan sekelip mata sahaja mereka sepatutnya sudah boleh membaca apa yang ada di dalam hati anda.
Seterusnya berilah pendapat anda, "apakata kalau Abdul awak masuk ke Syif B? Boleh tak?"
Abdul mungkin menerima atau menolak. Sekiranya Abdul menolak, tanyakanlah sebabnya. Sekiranya alasan Abdul adalah munasabah, kita haruslah menerima dan memikirkan alternatif lain. Tetapi sekiranya alasan Abdul adalah tidak munasabah, kita haruslah menghadapinya dengan hujah yang konkrit. Bukan dengan KUASA VETO! Saya akui, menghadapi karenah anak buah dengan hujah adalah amat memenatkan. Tetapi, sebenarnya inilah sahaja satu-satunya cara yang berkesan. Menghadapi karenah anak buah dengan KUASA VETO, secara jangka pendek memanglah jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Tetapi secara jangka panjang, akan merosakan bukan sahaja hubungan anda dengan pekerja yang terlibat. Tetapi juga di mata semua anak-anak buah yang lain. Lama-kelamaan anda akan dicop sebagai ketua yang haprak, dan tiada siapa yang akan berkerjasama dengan anda lagi.


0 comments

Upin, Ipin dan Tamsil Kehidupan Dunia

Upin dan Ipin tinggal di sebuah kampung. Kampung mereka tidaklah besar, dan agak jauh dari pekan. Tetapi, kampung mereka adalah kampung yang aman damai. Tidak banyak kekecohan yang berlaku di kampung mereka, selain kehilangan buah-buah durian yang dicuri oleh Opet tidak lama dulu. Opet adalah makhluk yang datang dari alam yang berlainan, yang tidak dapat Upin dan Ipin jangkau dengan penglihatan mereka. Alam alien agaknya.

Upin dan Ipin tinggal bersama nenek dan Kak Ros. Kak Ros, walaupun garang, sangat sayang pada Upin dan Ipin. Kak Ros, selalu masak, masakan yang sedap-sedap untuk Upin dan Ipin. Pagi tadi, Upin marah sungguh dengan Ipin. Sebabnya Ipin sudah curi ayam goreng Upin. Geram betul Upin.

Tetapi sesuatu yang Upin dan Ipin tidak sedar, sebenarnya mereka cuma hidup di dalam sebuah dunia yang mempunyai 2 dimensi. Mereka dicipta oleh beberapa orang "animator" yang tinggal di dalam dunia yang mempunyai 3 dimensi. Mereka cuma wujud di dalam kaca-kaca televisyen dan papan layar pawagam makhluk-makhluk yang tinggal di dunia 3 dimensi. Upin tak tahu yang perbuatan Ipin mencuri ayam gorengnya pagi tadi, adalah sebenarnya perancangan "animator-animator" yang hidup di dunia 3 dimensi. Bahkan, perasaan marah Upin juga adalah hasil perancangan "animator-animator" tersebut. Upin dan Ipin tak akan mampu melakukan dan merasa apa-apa, melainkan apa yang ditetapkan oleh para "animator-animator" tersebut.

Upin dan Ipin sebenarnya hidup di dalam alam khayalan sahaja. Mereka sekarang sedang ditonton oleh beribu-ribu makhluk yang hidup di dalam dunia 3 dimensi. Untuk watak-watak di dalam cerita Upin dan Ipin, segala kemewahan, harta-benda, kemuliaan di dalam dunia mereka adalah sangat "real." Tetapi untuk makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi, segala kebendaan di dalam dunia Upin dan Ipin adalah tidak bermakna. Mereka tidak akan sekali-kali mahu membeli segala kebendaan di dalam dunia Upin dan Ipin, walaupun dengan hanya harga sebelah kepak nyamuk!

Sesuatu yang tidak diketahui oleh para-para animator, dan lain-lain makhluk yang tinggal di dunia 3 dimensi ialah, mereka juga sebenarnya juga cuma wujud di dalam alam khayalan. Mereka cuma tinggal di dalam kaca-kaca televisyen yang sekarang sedang ditonton oleh berjuta-juta makhluk yang tinggal di dalam alam dengan 4 dimensi! Cumanya, kisah hidup mereka tidak 100% lurus seperti Upin dan Ipin. THE MASTER PROGRAMMER yang mencipta dunia mereka, menjadikan dunia mereka seolah-olah sebuah "Role Playing Game." Mereka akan melakukan sesuatu set perkara-perkara, dan sesudah itu mereka di beri peluang untuk membuat beberapa pilihan. Setelah memilih, mereka akan terpaksa melalui satu lagi set perkara-perkara yang ditetapkan oleh THE MASTER PROGRAMMER.

Ahmad adalah seorang makhluk yang hidup di dalam dunia 3 dimensi. Pagi tadi, Ahmad telah melalui satu set program (takdir) dari bangun tidur, mandi hinggalah untuk pergi kerja. Ahmad sekarang berdepan pilihan untuk pergi kerja dengan menaiki kereta, atau motor. Memandangkan langit adalah cerah, Ahmad memilih untuk menunggang motor sahaja. Tapi tiba-tiba hujan turun. Ahmad tak mampu berbuat apa-apa, kerana masa itu dia sudahpun di pertengahan jalan. Akhirnya Ahmad berdepan dengan satu lagi checkpoint untuk membuat pilihan. Samada meneruskan perjalanan, berlindung di bawah jejambat, atau pulang ke rumah dan mengambil kereta.

Kebanyakan makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi tidak sedar yang mereka cuma wujud di alam khayalan. Ini adalah kerana, di dalam satu hari mereka, terdapat bertrillion-trillion checkpoint untuk membuat pilihan. Dan pada setiap checkpoint pula, terdapat berjuta-juta pilihan yang boleh mereka pilih. Ini menyebabkan mereka merasakan yang merekalah yang mencipta takdir mereka. Mereka tak sedar, yang mereka juga sebenarnya adalah watak-watak seperti Upin dan Ipin sahaja. Cuma di dalam dimensi yang berbeza, dan dengan program yang sedikit lebih complicated.

Seperti Upin dan Ipin juga, makhluk-makhluk di dunia 3 dimensi merasakan segala kebendaan dan material di dalam dunia mereka adalah tersangat "real." Mereka sanggup berbunuhan untuk berebut kebendaan. Tetapi untuk makhluk-makhluk yang tinggal di dunia 4 dimensi, semua kebendaan di dalam dunia 3 dimensi hanyalah khayalan semata-mata. Tidak akan mereka beli, walaupun cuma berharga sebelah kepak nyamuk!



0 comments

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails