Thursday, 31 December 2009

Melihat Di Sebalik Takdir

Thursday, 31 December 2009
Saya belajar satu perkara yang sangat berguna semasa menyertai MIPA 2009 (Majlis Ijtima Perawat Akrine) yang lalu. Kata Ustaz Wan Asrul, apabila kita terkena gangguan, sihir contohnya, sebenarnya persoalan sihir itu adalah persoalan nombor 10. Persoalan no. 1 adalah, persoalan hati. Bagaimana hati kita menghadapi takdir yang Allah tetapkan pada kita. Dalam sungguh kata-kata Ustaz Wan Asrul ni.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 102:
Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Jelasnya, sihir tak akan mampu memberi mudarat melainkan dengan izin Allah. Sekiranya kita ditimpa sihir, sudah tentu ianya dengan izin Allah. Jadi persoalannya, mengapa Allah mengizinkan kita ditimpa sihir. Tentu ada sebabnya. Sihir menimpa bukan sahaja orang-orang yang lalai. Bahkan sihir juga boleh terkena pada orang-orang yang sangat taat lagi warak. Ada seorang sahabat saya diuji dengan sihir, sedangkan dia ini adalah orang yang kuat ibadatnya. TV dan radio memang tak pernah masuk dalam buku hidupnya. Tak macam saya ni.. he he... Itu pun boleh kena sihir. Sebaliknya, ramai pula orang yang hidupnya jauh dari agama, tapi tak pernah kena sihir pun. Bahkan Rasulullah s.a.w pun pernah disihir. Apa yang pasti, setiap takdir Allah sudah tentu untuk kebaikan diri kita, samada kita mampu faham ataupun tidak.

Yang penting, ialah bagaimana kita menguruskan hati apabila ditimpa oleh takdir yang tidak menyenangkan. Apakah kita mampu berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya aku ditimpa oleh satu musibah, dan Engkau adalah penolong yang sebaik-baiknya." Atau kita sibuk menuduh orang sana, orang sini sebagai orang yang menyihir kita. Lebih sedih lagi, siap keluar perkataan-perkataan cel*k*, bet*n* dsb.

Ada seorang sahabat saya, yang merupakan best student semasa di sekolah menengah. Tapi malangnya setelah melanjutkan pelajaran ke universiti, dia gagal untuk menamatkan pengajiannya. Hujung-hujung, bila mula bekerja, rakan-rakan lain menjawat jawatan engineer dengan gaji basic RM2,000, tapi dia terpaksa menjadi assistant technician dengan basic cuma RM900.
Tapi dia seorang yang kuat semangat. Dia melakukan semua kerja dengan jujur, ikhlas dan tanpa banyak songel. Dalam masa beberapa tahun sahaja, dia telah dinaikkan pangkat sehingga ke jawatan pengurus, sedangkan ramai rakan-rakan lain masih lagi menjadi engineer sahaja. Oleh kerana dia mendaki tangga kerjaya dari bawah, dia berjaya memahami setiap inci aspek teknikal, mahupun aspek perasaan pekerja-pekerja di semua peringkat. Sesuatu yang tidak akan dapat dia fahami, sekiranya dia bermula sebagai seorang engineer.

Begitulah takdir Allah. Tak akan mampu kita fahami sebelum sampai waktunya. Yang penting ialah untuk yakin bahawa setiap takdir Allah pada diri kita, adalah SUDAH TENTU untuk kebaikan diri kita juga.

Ya Allah, kurniakanlah aku taufiq hidayah dan inayahMu, agar aku sentiasa dapat redha dengan semua ketetapanMu. Amin.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails