Saturday, 21 November 2009

5 Tips Menghadapi Karenah Anak Buah (Tekanan di tempat kerja)

Saturday, 21 November 2009
Posting kali ini adalah khas saya tujukan kepada para-para "boss." Menjadi boss bukanlah mudah. Seringkali kita jarang memikirkan kesukaran yang dihadapi oleh boss kita, sehinggalah pada satu hari, kita sendiri yang terpaksa menjadi boss. Selalunya, kita selalu mengumpat boss-boss kita di sudut-sudut tempat kerja. Pada suatu hari, tiba-tiba kita pula yang dinaikkan pangkat dan terpaksa menjadi boss. Pada masa itu, barulah kita merasa "tension" dan hilang arah.

1. Bersedialah untuk makan hati.
Tidak dinafikan ada antara boss yang cuma mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan kepentingan anak buah. Tapi saya yakin, anda bukanlah boss sebegitu bukan? Tapi, walaupun anda sungguh-sungguh memikirkan kepentingan anak buah anda, tentu anda tidak akan mampu memberikan segala yang diminta oleh anak-anak buah anda. Kalau pun anda mampu, tentu masih ada anak-anak buah anda yang masih tidak puas hati dengan anda, dan mengumpat anda di sana sini. Anak-anak buah anda boleh melakukan seribu kesalahan dan masih merasakan yang anda patut memaafkan mereka, tapi anda pula boleh jadi terbuat satu kesilapan yang akan diumpat sepanjang hayat.

Sekiranya anda hendak ambil terlalu berat dengan semua perkara itu, percayalah satu hari anda tentu akan jadi gila. Kalaupun tak, silap-silap boleh "nervous breakdown." Bersedialah untuk menghadapi semua itu dengan hati yang lapang. Itulah takdir seorang boss. Terpaksa selalu makan hati. Kita akan tetap dicaci walaupun kita telah lakukan yang terbaik. Sekiranya anda tidak mampu untuk berlapang dada, maka mintalah pada Allah. Hanya Allah yang mampu melapangkan hati kita.

2. Pandanglah kebaikan anak-anak buah anda.
Kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh orang-orang yang baru mula dilantik menjadi boss ialah, selalu terlalu fokus kepada kelemahan anak-anak buah mereka. Lalu merasa kecewa. Percayalah, melihat kepada keburukan anak-anak buah anda tidak akan memberi apa-apa kebaikan sedikit pun. Dalam 10 tahun pengalaman saya menjadi seorang boss, darilah seorang penyelia, kepada ketua bahagian dan akhirnya seorang pengurus, memandang kepada kelemahan anak-anak buah cuma menyebabkan:
  • kita merasa penat.
  • anak-anak buah semakin hilang kepercayaan kepada kita.
  • tiada sebarang kebaikan yang terhasil.
Anak-anak buah anda mungkin mempunyai 1000 kelemahan, dan satu kebaikan. Tetapi sekiranya anda tidak mahu kehilangan tenaga, dan mahu anak-anak buah anda berubah, lihatlah kebaikan yang satu itu.

3. Jangan tegur anak-anak buah anda di dalam keadaan marah.
Seringkali, saya melihat para boss yang memarahi anak buah mereka dengan caci maki. Sebagai manusia kita juga mempunyai perasaan dan kadangkala mungkin "termeletup." Tetapi sebaik mungkin, jauhkanlah diri anda dari "termeletup." Sekali anda "termeletup," anda akan memerlukan masa yang sangat panjang untuk mendapatkan kerjasama dari anak-anak buah anda semula. Pernah sekali, saya merasa amat marah dengan prestasi kerja beberapa orang jurutera dibawah saya. Pada mulanya, saya berfikir untuk menghantar sebuah "email power" kepada mereka yang terlibat. Mujurlah Allah memberi saya ilham untuk menangguhkan perihal menghantar email itu selama beberapa jam. Di dalam masa itu, sempatlah hati saya menjadi sejuk. Dan bila saya menghantar email kemudiannya, saya berjaya menghantar email yang lebih "constructive" bunyinya. Yang penting, ialah elakkanlah dari menegur anak-anak buah anda sekiranya anda berada di dalam keadaan marah.

4. Mulakanlah teguran dengan pujian.
Satu soalan. Adakah anda suka ditegur? Walau bagaimana anda sedar yang anda adalah dipihak yang bersalah, memang sifat manusia akan sedikit merasa "kurang sedap" apabila ditegur. Apatah lagi jika kita tidak merasa yang kita berada di pihak yang salah. Anak-anak buah anda pun sama juga macam anda. Mereka juga tentu tidak suka jika ditegur. Oleh itu, kurangkanlah ketegangan semasa menegur dengan pujian dahulu. Ingat undang-undang no.2, lihatlah kebaikan anak-anak buah anda.

Sebagai contoh, jika ada seorang pekerja yang selalu lambat ke tempat kerja, anda boleh katakan: "Saya lihat prestasi kerja awak ni boleh tahan. Tapi ada satu saja kelemahan awak. Awak selalu datang lambat. Bagaimana kita boleh elakan masalah ini lagi?"

Dalam 10 orang anak-anak buah anda, saya percaya 9 darinya akan bertindakbalas secara positif sekiranya anda menegur dengan cari di atas. Tidak dinafikan, tentu ada seorang dua yang bagaimana dibimbing sekalipun tidak akan berubah. Jadi bagaimana pula menghadapi anak-anak buah sebegini?

5. Hukumlah secara profesional.
Bagaimana pun anda cuba membimbing anak-anak buah anda, tentu ada seorang dua yang "tak makan saman." Nak tak nak, orang-orang sebegini perlu dihukum. Tapi yang penting hukumlah dengan profesional. Janganlah menghukum sambil melepaskan perasaan marah. Hukumlah kerana ia tanggungjawab anda sebagai ketua. Secara ringkas mungkin anda boleh berkata: "Saya sudah panggil awak tempohari tentang masalah kedatangan awak. Tetapi nampaknya masih tidak ada perubahan. Oleh itu, mengikut undang-undang syarikat, kami mengeluarkan surat amaran pertama yang akan memberikan kesan kepada kenaikan dan bonus awak tahun ini....."

Ada orang yang boleh diubah dengan bimbingan, dan ada orang yang terpaksa diubah dengan hukuman. Yang penting hukumlah secara profesional. Janganlah takut dan teragak-agak untuk menghukum, tetapi janganlah pula menghukum sambil melepaskan geram.

Inilah dia 5 undang-undang yang telah saya cuba amalkan dari 10 tahun yang lepas. Setakat ini, ia telah berjaya membantu banyak tugas-tugas saya. Bagaimana dengan para-para boss yang lain? Adakah anda mempunyai apa-apa tips untuk dikongsikan?



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails