Sunday, 25 October 2009

Satu Lagi Sebab Kenapa Kita Susah Nak Beribadat.

Sunday, 25 October 2009
Rasanya semua orang tahu yang amalan-amalan agama seperti solat, zikir, membaca Quran dan lain-lain lagi, adalah latihan yang sangat ampuh supaya kita dapat meleraikan tekanan dan membina sifat-sifat mulia di dalam diri. Tapi kadang-kadang saya rasa pelik. Walaupun kita tahu amalan-amalan agama semuanya adalah baik, kadang-kadang amat susah untuk melakukannya. Yang lebih pelik lagi, kadang-kadang hari yang sibuk bekerja dan balik lambat pun masih mampu bangun solat tahajjud. Tapi kadang-kadang hari cuti yang sepatutnya tak penat pun susah nak bangun tahajjud. Pelik kan?

Pagi tadi, saya terbaca sebuah ayat Quran, yang mungkin boleh menerangkan situasi di atas. Bukan niat saya nak mentafsir Quran. Tak layak saya ni nak mentafsir Quran. Sekadar berkongsi pendapat peribadi. Harap betulkan kalau saya tersalah.

Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu minum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku."
Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka.
Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata : "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan bertemu Allah berkata : "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar."
[Surah Al-Baqarah: 249]

Ayat di atas menceritakan tentang kisah tentera Bani Israel yang diketuai oleh Thalut di dalam perjalan untuk menentang penjajah negara mereka yang diketuai oleh Jalut. Di dalam perjalanan mereka diuji oleh Allah dengan sebatang sungai. Allah tidak membenarkan mereka meminum air dari sungai itu, melainkan dengan satu ceduk sahaja. Tapi ramailah dari mereka yang tewas dengan nafsu dan meminum air dari sungai itu dengan lebih banyak. Akibat dari itu, Allah telah mencabut kekuatan untuk berjihad dari hati-hati mereka.

Beberapa perkara yang dapat kita pelajari dari ayat Quran di atas ialah:
  • Melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah akan mematikan kekuatan untuk beribadat.
  • Minum (atau makan) secara berlebihan, boleh mematikan kekuatan untuk beribadat.
  • Jika kita sabar dan tidak melakukan apa yang dilarang Allah, Allah akan berada bersama-sama kita. (Memberikan pertolonganNya kepada kita)
Bila fikir-fikir balik, logik juga. Hari cuti memang lebih makan, lebih banyak menonton TV, dan lebih banyak lalai dari hari kerja. Patutlah hari yang sepatutnya tak penat pun susah nak bangun tahajjud.

Oleh itu, marilah kita:
  • Elakan dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
  • Makan atau minum secara berlebihan.
Apa komen anda?




0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails