Sunday, 13 September 2009

Bagaimana Mengelakkan Perasaan Jengkel (Irritated)?

Sunday, 13 September 2009
Saya tidak tahu dengan anda, tetapi satu sifat buruk saya ialah kadangkala di dalam keadaan tenang, sesuatu atau seseorang menganggu saya menyebabkan saya berasa jengkel dan tiba-tiba boleh meletup marah. Contohnya pada suatu hari, saya sedang membaca sebuah blog dengan penuh khusyuk, tiba-tiba datang isteri dari belakang dan bertanya "apa tu?" Saya tiba-tiba rasa terganggu dan merasa jengkel (irritated), dan seterusnya mula berasa marah.

Saya cukup tidak suka dengan sifat ini. Akhirnya pada hari ini, dapat juga saya kesempatan untuk berfikir secara mendalam tentang bagaimana untuk mengatasi sifat ini.

1. Dua jenis perasaan jengkel.
Apabila saya fikirkan dengan mendalam, terdapat 2 jenis perasaan jengkel yang biasa berlaku.
  • Yang pertama ialah perasaan jengkel yang terbina sedikit demi sedikit. Contohnya, kita sedang berehat-rehat di rumah dan anak-anak pula mula bergaduh. Kita pun menegur, dan anak-anak diam seketika. Kemudian bertengkar semula. Sedikit demi sedikit sabar kita mula tergugat dan akhirnya kita pun meletup marah.

  • Yang kedua ialah perasaan jengkel yang tiba-tiba muncul. Kita mungkin sedang memikirkan sesuatu dengan mendalam, bila tiba-tiba seseorang bertanya sesuatu soalan yang menganggu fokus kita.
Jadi persoalannya, bagaimana supaya kita boleh menjadi orang yang lebih penyabar dan mengelakkan perasaan jengkel? Teruskan membaca.

2. Perasaan jengkel mudah berlaku jika jiwa kita sempit.
Kita sebenarnya lebih mudah jengkel jika jiwa kita sempit. Kalau jiwa kita lapang seluas lautan, jika seekor gajah dicampakkan ke dalamnya pun, tidak akan memberikan kesan. Tetapi jika jiwa kita cuma sebesar sebiji cawan, satu biji telur ayam pun boleh menumpahkan air yang berada di dalamnya. Jadi, untuk mengelakkan perasaan jengkel  perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah melapangkan dada kita. Bagaimana caranya?

3. Lapangkanlah jiwa anda
Dari pengalaman saya, kaedah yang paling efektif untuk melapangkan dada adalah bersedekah.  Zikir dan solat membersihkan hati sehingga kita mula suka bersedekah, dan bersedekah pula adalah amat efektif untuk melapangkan dada. Yang saya maksudkan dengan sedekah ialah bukan sahaja memberikan wang ringgit. Tetapi apa sahaja usaha kita secara ikhlas untuk membantu orang lain. Termasuklah di antaranya ialah:
  • Memberi salam.
  • Memberi senyuman kepada semua orang yang kita temui.
  • Memberi laluan kepada kenderaan yang cuba potong kereta anda.
  • Tolong isteri mengemas rumah, melipat baju dan sebagainya.
  • Memberi tumpang orang yang sedang berjalan kaki hendak ke masjid.
  • Menghantar SMS ucapan selamat hari ibu.
  • Menolong seseorang untuk mengambil barangnya dari rak barang, apabila kapal terbang sudah berhenti dan sedia untuk keluar.
  • Membacakan buku cerita untuk anak-anak.
  • Dan terdapat berjuta-juta lagi perkara yang boleh difikirkan.
Ingatkah saudara bagaimana perasaan saudara selepas membantu seseorang secara ikhlas. Ianya sangat menggembirakan. Itulah balasan immediate dari Allah untuk kita. Yang penting, usaha-usaha sedekah ini hendaklah di lakukan sebanyak mana yang termampu. Bukannya hanya sekali sehari. Apabila ianya dilakukan dengan sebanyak-banyaknya, barulah tenaga yang terkumpul dari sedekah tersebut mampu untuk menjadikan kita orang yang lebih lapang jiwanya.

4. Maafkanlah semua orang sebelum anda tidur.
Satu lagi tips untuk melapangkan dada adalah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur. Katakanlah secara ringkas, "Ya Allah, aku maafkan semua orang yang telah bersalah kepada diriku. Aku lepaskan semua perasaan dendam, kerana kasih sayangMu adalah lebih aku perlukan dari semua itu."  Selain dari memberi kemafaan secara umum, jika ada seseorang yang secara spesifik membuat anda marah pada hari itu, maka maafkanlah dia dengan ayat yang lebih spesifik juga.

Memberi maaf akan melapangkan dada. Semakin dada anda menjadi lapang, semakin anda dapat mengelakkan perasaan jengkel. Sebenarnya ada sebuah hadis tentang amalan memaafkan semua orang sebelum tidur ini. Tetapi saya gagal menemuinya. Jika ada sesiapa yang dapat mencarinya, harap dapat berkongsi di ruang komen.

5. Perasaan jengkel mudah berlaku di dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak teratur.
Tidak lama dulu, saya selalu perasaan yang saya mudah merasa jengkel apabila kami sekeluarga ingin keluar ke sesuatu tempat. Di dalam tergesa-gesa bersiap, memasukkan beg ke dalam kereta, anak-anak berlari keluar masuk, amat mudah untuk saya merasa jengkel. Sekarang saya telah mewajibkan satu prosedur apabila kami sekeluarga hendak keluar ke mana-mana. Selepas mandi, semua beg dan peralatan akan dikumpulkan di satu sudut rumah, manakala semua ahli keluarga akan duduk dahulu untuk mendengar taklimat sebelum berangkat. Dengan keadaan yang lebih teratur ini, suasana menjadi lebih ceria dan saya tidak lagi mudah untuk merasa jengkel. Sebenarnya, prosedur ini saya ambil dari adab bersafar Nabi (s.a.w) yang saya pelajari semasa keluar bersama jemaah tabligh muda-muda dulu. Sekali lagi, sesiapa yang tahu tentang adab bersafar Nabi (s.a.w) ini, harap kongsikanlah ye.

Sebenarnya sifat tergesa-gesa tidak dibenarkan walaupun di dalam urusan agama sekalipun. Cuba lihat hadis di bawah:

Daripada Abu Hurairah (r.a), beliau berkata, "Saya mendengar Rasululluh (s.a.w) bersabda: apabila iqamah solat telah dikumandangkan, maka janganlah kamu mendatangi solat dengan berlari-lari, sebaliknya berjalanlah dengan tenang. Apa sahaja yang kamu sempat lakukan (bersama imam) maka lakukanlah, dan apa yang tertinggal olehmu (dari bahagian solat) maka sempurnakanlah."
Di dalam satu riwayat lagi, Muslim menambah: "Kerana apabila salah seorang dari kamu telah bertekad untuk berangkat mengerjakan solat, maka kamu sudah dianggap berada di dalam solat."
[Muttafaq 'alaih]

Satu lagi perkara yang sedang saya usahakan ialah untuk menambah "safety zone" sebanyak 10 min di dalam jadual saya. Apabila bangun tidur, saya sedang cuba untuk bangun 10 min awal dari masa yang biasa. Apabila bertolak ke tempat kerja, saya cuba untuk keluar 10 min lebih awal dari apa yang saya lakukan selama ini. Dengan ini, jika ada perkara-perkara yang tidak dijangka, sekurang-kurangnya kita akan ada allocation sebanyak 10 min. Jadi tidak perlulah kita tergesa-gesa, betul tak?

6. Jika perlu berfikir, carilah jalan untuk bersendiri.
Di awal tadi, ada saya ceritakan tentang perasaan jengkel yang berlaku apabila kita diganggu semasa sedang fokus kepada sesuatu. Sekiranya kita perlu untuk berfikir secara mendalam, cari jalan untuk bersendiri. Masuk ke dalam bilik dan kuncikan pintu supaya tidak diganggu oleh anak-anak. Juga matikan telefon bimbit anda, atapun pasangkan silent mode. Ada masanya kita perlu menjadi "tamak" sedikit. Ini lebih baik dari cuba melakukan semuanya sekaligus, tetapi akhirnya merasa jengkel dan marah-marah.

Apa pendapat anda?



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails