Sunday, 13 September 2009

Bagaimana Mengelakkan Perasaan Jengkel (Irritated)?

Sunday, 13 September 2009
Saya tidak tahu dengan anda, tetapi satu sifat buruk saya ialah kadangkala di dalam keadaan tenang, sesuatu atau seseorang menganggu saya menyebabkan saya berasa jengkel dan tiba-tiba boleh meletup marah. Contohnya pada suatu hari, saya sedang membaca sebuah blog dengan penuh khusyuk, tiba-tiba datang isteri dari belakang dan bertanya "apa tu?" Saya tiba-tiba rasa terganggu dan merasa jengkel (irritated), dan seterusnya mula berasa marah.

Saya cukup tidak suka dengan sifat ini. Akhirnya pada hari ini, dapat juga saya kesempatan untuk berfikir secara mendalam tentang bagaimana untuk mengatasi sifat ini.

1. Dua jenis perasaan jengkel.
Apabila saya fikirkan dengan mendalam, terdapat 2 jenis perasaan jengkel yang biasa berlaku.
  • Yang pertama ialah perasaan jengkel yang terbina sedikit demi sedikit. Contohnya, kita sedang berehat-rehat di rumah dan anak-anak pula mula bergaduh. Kita pun menegur, dan anak-anak diam seketika. Kemudian bertengkar semula. Sedikit demi sedikit sabar kita mula tergugat dan akhirnya kita pun meletup marah.

  • Yang kedua ialah perasaan jengkel yang tiba-tiba muncul. Kita mungkin sedang memikirkan sesuatu dengan mendalam, bila tiba-tiba seseorang bertanya sesuatu soalan yang menganggu fokus kita.
Jadi persoalannya, bagaimana supaya kita boleh menjadi orang yang lebih penyabar dan mengelakkan perasaan jengkel? Teruskan membaca.

2. Perasaan jengkel mudah berlaku jika jiwa kita sempit.
Kita sebenarnya lebih mudah jengkel jika jiwa kita sempit. Kalau jiwa kita lapang seluas lautan, jika seekor gajah dicampakkan ke dalamnya pun, tidak akan memberikan kesan. Tetapi jika jiwa kita cuma sebesar sebiji cawan, satu biji telur ayam pun boleh menumpahkan air yang berada di dalamnya. Jadi, untuk mengelakkan perasaan jengkel  perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah melapangkan dada kita. Bagaimana caranya?

3. Lapangkanlah jiwa anda
Dari pengalaman saya, kaedah yang paling efektif untuk melapangkan dada adalah bersedekah.  Zikir dan solat membersihkan hati sehingga kita mula suka bersedekah, dan bersedekah pula adalah amat efektif untuk melapangkan dada. Yang saya maksudkan dengan sedekah ialah bukan sahaja memberikan wang ringgit. Tetapi apa sahaja usaha kita secara ikhlas untuk membantu orang lain. Termasuklah di antaranya ialah:
  • Memberi salam.
  • Memberi senyuman kepada semua orang yang kita temui.
  • Memberi laluan kepada kenderaan yang cuba potong kereta anda.
  • Tolong isteri mengemas rumah, melipat baju dan sebagainya.
  • Memberi tumpang orang yang sedang berjalan kaki hendak ke masjid.
  • Menghantar SMS ucapan selamat hari ibu.
  • Menolong seseorang untuk mengambil barangnya dari rak barang, apabila kapal terbang sudah berhenti dan sedia untuk keluar.
  • Membacakan buku cerita untuk anak-anak.
  • Dan terdapat berjuta-juta lagi perkara yang boleh difikirkan.
Ingatkah saudara bagaimana perasaan saudara selepas membantu seseorang secara ikhlas. Ianya sangat menggembirakan. Itulah balasan immediate dari Allah untuk kita. Yang penting, usaha-usaha sedekah ini hendaklah di lakukan sebanyak mana yang termampu. Bukannya hanya sekali sehari. Apabila ianya dilakukan dengan sebanyak-banyaknya, barulah tenaga yang terkumpul dari sedekah tersebut mampu untuk menjadikan kita orang yang lebih lapang jiwanya.

4. Maafkanlah semua orang sebelum anda tidur.
Satu lagi tips untuk melapangkan dada adalah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur. Katakanlah secara ringkas, "Ya Allah, aku maafkan semua orang yang telah bersalah kepada diriku. Aku lepaskan semua perasaan dendam, kerana kasih sayangMu adalah lebih aku perlukan dari semua itu."  Selain dari memberi kemafaan secara umum, jika ada seseorang yang secara spesifik membuat anda marah pada hari itu, maka maafkanlah dia dengan ayat yang lebih spesifik juga.

Memberi maaf akan melapangkan dada. Semakin dada anda menjadi lapang, semakin anda dapat mengelakkan perasaan jengkel. Sebenarnya ada sebuah hadis tentang amalan memaafkan semua orang sebelum tidur ini. Tetapi saya gagal menemuinya. Jika ada sesiapa yang dapat mencarinya, harap dapat berkongsi di ruang komen.

5. Perasaan jengkel mudah berlaku di dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak teratur.
Tidak lama dulu, saya selalu perasaan yang saya mudah merasa jengkel apabila kami sekeluarga ingin keluar ke sesuatu tempat. Di dalam tergesa-gesa bersiap, memasukkan beg ke dalam kereta, anak-anak berlari keluar masuk, amat mudah untuk saya merasa jengkel. Sekarang saya telah mewajibkan satu prosedur apabila kami sekeluarga hendak keluar ke mana-mana. Selepas mandi, semua beg dan peralatan akan dikumpulkan di satu sudut rumah, manakala semua ahli keluarga akan duduk dahulu untuk mendengar taklimat sebelum berangkat. Dengan keadaan yang lebih teratur ini, suasana menjadi lebih ceria dan saya tidak lagi mudah untuk merasa jengkel. Sebenarnya, prosedur ini saya ambil dari adab bersafar Nabi (s.a.w) yang saya pelajari semasa keluar bersama jemaah tabligh muda-muda dulu. Sekali lagi, sesiapa yang tahu tentang adab bersafar Nabi (s.a.w) ini, harap kongsikanlah ye.

Sebenarnya sifat tergesa-gesa tidak dibenarkan walaupun di dalam urusan agama sekalipun. Cuba lihat hadis di bawah:

Daripada Abu Hurairah (r.a), beliau berkata, "Saya mendengar Rasululluh (s.a.w) bersabda: apabila iqamah solat telah dikumandangkan, maka janganlah kamu mendatangi solat dengan berlari-lari, sebaliknya berjalanlah dengan tenang. Apa sahaja yang kamu sempat lakukan (bersama imam) maka lakukanlah, dan apa yang tertinggal olehmu (dari bahagian solat) maka sempurnakanlah."
Di dalam satu riwayat lagi, Muslim menambah: "Kerana apabila salah seorang dari kamu telah bertekad untuk berangkat mengerjakan solat, maka kamu sudah dianggap berada di dalam solat."
[Muttafaq 'alaih]

Satu lagi perkara yang sedang saya usahakan ialah untuk menambah "safety zone" sebanyak 10 min di dalam jadual saya. Apabila bangun tidur, saya sedang cuba untuk bangun 10 min awal dari masa yang biasa. Apabila bertolak ke tempat kerja, saya cuba untuk keluar 10 min lebih awal dari apa yang saya lakukan selama ini. Dengan ini, jika ada perkara-perkara yang tidak dijangka, sekurang-kurangnya kita akan ada allocation sebanyak 10 min. Jadi tidak perlulah kita tergesa-gesa, betul tak?

6. Jika perlu berfikir, carilah jalan untuk bersendiri.
Di awal tadi, ada saya ceritakan tentang perasaan jengkel yang berlaku apabila kita diganggu semasa sedang fokus kepada sesuatu. Sekiranya kita perlu untuk berfikir secara mendalam, cari jalan untuk bersendiri. Masuk ke dalam bilik dan kuncikan pintu supaya tidak diganggu oleh anak-anak. Juga matikan telefon bimbit anda, atapun pasangkan silent mode. Ada masanya kita perlu menjadi "tamak" sedikit. Ini lebih baik dari cuba melakukan semuanya sekaligus, tetapi akhirnya merasa jengkel dan marah-marah.

Apa pendapat anda?



0 comments

Sunday, 6 September 2009

Menghadapi Dugaan Hidup Dengan Solat Tahajjud.

Sunday, 6 September 2009
Saya selalu tertanya-tanya, bagaimanakah para sahabat r.a boleh menjadi sangat tabah menghadapi dugaan hidup yang sangat berat. Sedangkan kita ini, di dalam keadaan negara yang aman damai pun selalu merasa tertekan.
Saya cuba untuk mencari formula menghadapi dugaan hidup dari Al-Quran, dan inilah yang saya temui. Surah Al-Muzzamil ayat 1 - 11, adalah satu formula yang sangat tepat untuk sesiapa yang dilanda cabaran hidup. Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah (s.a.w) tertekan dengan ancaman dan cercaan orang-orang kafir. Cubalah baca terjemahan surah ini di bawah:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
  1. Wahai orang yang berselimut!
  2. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
  3. Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
  4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"
  5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
  6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.
  7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
  8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
  9. Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
  10. Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
  11. Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;
Antara pelajaran yang boleh kita dapati ialah:
  1. Solat tahajjud akan memberikan kita kekuatan jiwa untuk menghadapi dugaan. Rasulullah (s.a.w) juga diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan solat tahajjud sebagai persiapan sebelum diberi satu tugas yang sangat berat. Jika kita terasa hidup ini terlalu menekan, dan dada terasa amat terhimpit, segeralah mula untuk mengerjakan solat tahajjud dengan istiqamah. Kita akan mendapat kekuatan jiwa yang membolehkan kita menghadapi segala dugaan tersebut.

  2. Untuk mendapatkan kesannya, Quran hendaklah dibaca dengan tartil semasa solat tahajjud. Dalam perkataan lain, bacalah quran dengan sebaiknya supaya kita merasa "enjoy" dengan solat yang dilakukan. Sekiranya solat dilakukan dengan rasa terpaksa, besar kemungkinan ia tidak akan dapat memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi dugaan hidup.

  3. Sekiranya kita selalu dicerca atau dikritik sedangkan kita adalah dipihak yang benar, maka hadapilah kritikan tersebut dengan cara yang baik, dan sebutlah nama Allah, atau sebutlah "Ya Allah" dengan lidah mahupun hati sebanyak-banyaknya. Tak perlulah risaukan kata-kata manusia, tapi fokuslah kepada Allah. Apabila kita melakukan seperti ini, maka Allah lah yang akan membalas perbuatan orang-orang yang mencerca anda.
Sesungguhnya Al-Quran adalah sememangnya "manual kehidupan" yang paling hebat. Apa jua keadaan yang dihadapi, tentu ada jawapan bagi setiap persoalan yang kita hadapi. Segala puji bagi Allah. Mudah-mudahan Allah memberi kita kefahaman dan kekuatan untuk menggunakan Al-Quran sebagai manual di dalam kehidupan kita.

0 comments

Saturday, 5 September 2009

Tips Menghadapi Tekanan: Mengapa sukar untuk redha, beserah dan pasrah?

Saturday, 5 September 2009
Di dalam topik "bagaimana mencari ketenangan dengan berserah kepada Allah," saya telah berkongsi tentang bagaimana saya berjaya menghadapi satu cabaran dengan pasrah kepada ketentuan Allah. Tetapi yang sejujurnya, tidak setiap kali cabaran mendatang saya dapat redha dengan ketentuan Allah. Saya mula berfikir, mengapakah adakalanya saya berjaya redha dengan ketentuan Allah, dan mengapa ada masanya pula saya sangat sukar untuk redha dengan ketentuan Allah. Di bawah ini saya rumuskan penemuan-penemuan saya.

1. Terlupa untuk berkomunikasi dengan Allah
Apabila saya kaji, saya dapati yang pada masa-masa saya mudah untuk redha dengan ketentuan Allah, adalah pada masa-masa yang saya selalu ingat untuk berkomunikasi dengan Allah. Sebelum memulakan kerja, saya minta izin dari Allah. Sebelum memulakan mesyuarat dengan anak buah, saya minta izin dan pertolongan dari Allah. Di dalam situasi-situasi sebegini, saya perhatikan yang saya lebih mudah untuk redha dengan ketentuan Allah.

Tetapi sebaliknya, pada masa-masa yang saya agak sibuk dan terkejar-kejar, saya selalu lupa "meminta izin dan pertolongan Allah" sebelum melakukan sesuatu. Pada ketika inilah apabila cabaran mendatang, saya sukar untuk menerima ketentuan Allah, dan mudah rasa tertekan.

Apabila saya berada di dalam komunikasi dengan Allah, kualiti kerja anak buah yang kurang memuaskan jarang dapat menjengkelkan saya. Malah saya berasa kasihan kerana anak buah saya tidak mampu melakukan tugas mereka dengan baik, dan mula memikirkan jalan bagaimana saya boleh membantu mereka belajar. Tetapi apakala, saya tidak berada di dalam keadaan berkomunikasi dengan Allah, kualiti kerja yang kurang memuaskan dari anak buah di tempat kerja benar-benar menjengkelkan saya. Saya benar-benar rasa geram dan tertekan.

Jadi bagaimana untuk tidak terlupa untuk berkomunikasi dengan Allah? Pernahkah anda pergi kerja dengan keadaan lupa, atau tidak sempat untuk mandi pagi? Sekiranya pernah, sudah tentu anda akan berasa sangat rimas sepanjang hari itu bukan?
Sebuah hari yang dimulakan dengan baik, lebih cenderung untuk menjadi baik pada keseluruhannya. Sebuah hari yang dimulakan dengan buruk, amat sukar untuk menjadi baik pada keseluruhannya. Jadi supaya kita tidak terlupa untuk berkomunikasi dengan Allah, ingatkanlah diri kita dari pagi-pagi hari lagi. Mintalah pada Allah di dalam rutin doa selepas solat subuh, supaya kita ingat untuk berkomunikasi dengan Allah sepanjang-panjang hari. Sesudah itu, bawalah momentum dari doa solat subuh tadi sepanjang hari anda.

2. Terlupa kelebihan berserah kepada ketentuan Allah.
Pada suatu hari, saya telah terbaca satu hadis seperti berikut.

Daripada Ibn Mas'ud (r.a), beliau berkata: "Saya masuk menghadap Nabi (s.a.w) yang ketika itu baginda sedang sakit demam panas. Saya berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya tuan mengalami sakit demam panas dengan sakit yang teramat sangat."
Baginda bersabda: "Benar, sesungguhnya aku merasakan sakit demam panas sebagaimana dua orang di antara kamu merasakan sakit demam panas."
Saya bertanya: "Kalau begitu, tuan mendapatkan dua kali ganda pahala?"
Baginda menjawab: "Benar, memang begitu adanya. Tidaklah seorang muslim yang di timpa gangguan, duri dan lain-lain seumpanya melainkan Allah menebus dengannya keburukan-keburukannya dan dosa-dosanya berguguran daripadanya bagaikan pohon yang merimbun deunannya."

(Muttafaq 'alaih)

Ditakdirkan tidak lama selepas itu saya ditimpa sakit. Selalunya apabila merasa sakit saya mudah untuk berasa tertekan. Tetapi untuk kali yang tersebut, hadis di atas masih segar di dalam ingatan saya, dan saya amat mudah untuk redha dengan kesakitan yang saya alami.

Walau bagaimana sekalipun kita menyedari yang setiap kesukaran atau musibah yang melanda adalah dari Allah, tidak mudah untuk kita berserah dengan ketentuannya melainkan kita menyedari kebaikan yang akan kita dapati dengan melaluinya. Saya rasa tidak ada sesiapapun yang akan pergi berkerja, sekiranya tidak diberikan gaji. Kita harus terima yang ini adalah memang fitrah manusia.

Untuk mengingatkan diri saya supaya redha dengan ketentuan Allah, saya telah menulis beberapa ayat quran, hadis dan kata-kata hikmat untuk dibaca sebagai peringatan setiap hari. Anda juga boleh mendapatkannya di http://docs.google.com/View?id=dnsk2k3_90ggwskpch

Mudah-mudahan dengan tips-tips ini, akan memudahkan kita semua untuk berserah dengan ketentuan Allah.



1 comments

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails