Sunday, 16 August 2009

Mengapa Kita Risau Dan Jalan Penyelesaiannya.

Sunday, 16 August 2009
Katakanlah, "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi Kami. Dialah Pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal."
Surah At-Taubah: 51

Kekuatan manusia berbeza-beza di dalam menghadapi cabaran.
Rasanya risau atau bimbang adalah penyakit yang paling banyak melanda umat manusia pada masa ini. Saya pun tidak terkecuali. Apabila membaca sirah nabi dan kisah-kisah para sahabat r.a, saya berasa sangat cemburu bagaimana mereka boleh menjadi sangat tenang dan redha dengan apa jua masalah yang melanda. Bagaimana agaknya ye untuk mendapatkan kekuatan hati seperti itu? Sebelum itu mari kita cuba fahami apa itu risau dan mengapa kita merasainya.

Apa itu risau?
Risau adalah satu perasaan tidak nyaman yang kita rasai, apabila "mungkin" terpaksa melalui satu situasi yang mencabar. Berlainan dengan "sedih," kita merasai risau untuk sesuatu situasi yang masih lagi belum berlaku. Manakala sedih pula adalah perasaan yang dirasai akibat peristiwa yang sudahpun berlaku. Contohnya, syarikat mengumumkan yang VSS akan ditawarkan kepada sebilangan pekerja dan kita merasa risau apakah kita yang akan terpaksa menghadapinya. Manakala apabila kita menerima notis tentang VSS tersebut, perasaan risau akhirnya berubah menjadi sedih.

Kenapa kita risau?
Risau sebenarnya adalah sifat semulajadi manusia. Risau adalah sesuatu yang penting untuk seorang manusia. Apabila anda mendengar syarikat akan mengumumkan VSS, dan anda pun mula mengkaji apakah tindakan-tindakan yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan impak sekiranya perkara tersebut benar-benar menimpa anda, maka ia adalah satu kerisauan yang produktif. Yang tidak kita kehendaki ialah kerisauan yang melumpuhkan pertimbangan kita. Kerisauan yang mengoyangkan akal fikiran menyebabkan kita menjadi buntu, kadangkala pemarah dan mengambil tindakan-tindakan yang bodoh di dalam hidup kita. Jadi apakah yang menyebabkan kerisauan yang sepatutnya produktif menjadi sesuatu yang negatif?

Apabila kita mungkin terpaksa menghadapi sesuatu cabaran yang hebat, dan kita merasakan bahawa tiada lagi jalan keluar, tambahan lagi tiada sesiapa lagi yang mampu menolong anda, itulah masanya kerisauan produktif boleh bertukar menjadi negatif. Sungguhpun cabarannya belum lagi berlaku, anda sudahpun merasakan "siksanya" di dalam fikiran anda hari demi hari.

Orang yang kuat jiwanya, walaupun percaya tidak ada apa lagi yang mampu menyelamatkan dirinya dari cabaran yang mendatang, akan masih berjaya menghadapinya dengan tenang. Apabila ia meyakini yang apa yang mendatang adalah ketetapan dari Yang Maha Esa, keredhaan yang timbul di hatinya menyebabkan masalah bukan lagi masalah. Apabila keredhaan sudah penuh di hati, hukuman mati pun bukanlah satu cabaran yang sehebat mana.

Kesimpulannya, kerisauan yang bersifat negatif datang dari 2 sebab:
  • -putus asa dari harapan yang sesuatu cabaran dapat diselesaikan.
  • -tiada kekuatan untuk redha dengan ketetapan yang akan berlaku.
Penyebabnya sudah jelas, jadi bagaimana pula untuk mengatasinya?

Bagaimana menangani risau?
Banyak teknik-teknik yang boleh anda pelajari untuk menangani risau pada hari ini. Tetapi pada pandangan saya, segala teknik-teknik itu tidak akan berkesan, melainkan kita terlebih dahulu membina kekuatan iman kita. Kekuatan iman yang akan dapat memberikan kita keyakinan yang kukuh bahawa:
  • -Tiada apa yang akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.
  • -Tiada apa yang mustahil untuk diselesaikan apabila pertolongan Allah ada bersama-sama dengan kita, sungguhpun pada akal manusia kelihatan sesuatu yang tidak mungkin belaku.
  • -Tidak ada sesuatu apa pun musibah yang menimpa, melainkan di dalamnya terdapat kebaikan untuk diri kita baik dunia mahupun akhirat.
Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan iman? Sebetulnya, saya sendiri pun tidak ada jawapannya. Tetapi di bawah ini adalah langkah-langkah yang dapat saya fikirkan dari pengalaman-pengalaman peribadi.
  1. Bacalah Al-Quran dengan taddabur (pemahaman) setiap hari: Al-Quran adalah bukan sahaja satu mukjizat yang dapat menenangkan hati, tetapi di dalamnya terdapat banyak keterangan-keterangan tentang kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada orang-orang yang bertaqwa. Semakin kita membacanya, semakin kuat pemahaman-pemahaman ini akan tertusuk ke dalam "subconcious" kita, yang akhirnya akan membantu kita apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup.

  2. Bacalah sirah nabawiyah (dan kisah-kisah para sahabat r.a): Siapakah manusia yang paling hebat diuji oleh Allah selain para rasul-rasulNya. Bacalah kisah-kisah para nabi supaya dapat menjadi teladan apakala kita pula nanti diuji oleh Allah. Antara cara bagaimana manusia belajar adalah dari contoh-contoh. Apabila kita dikehendaki membuat sesuatu tugas yang belum pernah kita lakukan, selalunya kita akan meminta pendapat dari orang-orang yang pernah melakukannya. Begitulah juga, untuk menghadapi cabaran-cabaran kehidupan, kita sepatutnya belajar dari para-para Nabi dan sahabat r.a. yang telah menghadapi cabaran-cabaran yang jauh lebih hebat dari apa yang kita terpaksa lalui.

  3. Ceritakanlah apa yang telah anda pelajari kepada orang-orang lain: Kongsikanlah segala ilmu yang telah anda pelajari dari Al-Quran dan sirah nabi kepada orang-orang lain. Mengajar ilmu kepada orang lain akan memantapkan lagi ilmu-ilmu di dalam "subconcious" kita. Ilmu-ilmu yang berada di dalam "concious mind" adalah lemah dan bergantung kepada kekuatan akal. Malangnya, apabila berhadapan dengan cabaran yang terlalu hebat, fungsi akal selalunya akan tewas dengan kekuatan emosi. Itulah sebabnya kita harus cuba sedaya upaya untuk menanamkan setiap ilmu jauh ke dalam "subconcious" minda kita.

  4. Berkomunikasilah dengan Allah: Berkomunikasilah dengan Allah selalu supaya anda akan dapat merasakan keberadaanNya sepanjang waktu. Minta izinlah dari Allah sebelum membuat apa-apa keputusan. Minta tolonglah kepada Allah untuk melakukan apa-apa urusan. Berterima kasihlah kepada Allah ke atas setiap nikmat yang dapat difikirkan. Ucapkanlah "declaration" keredhaan terhadap segala perkara tidak diingini yang menimpa kita. Apabila kita "yakin" (dan bukan sekadar faham) yang Allah sentiasa berada disamping kita, apalah lagi yang kita perlukan?
Apa yang perlu dilakukan sekiranya perasaan risau mula menjadi diluar kawalan?
Apa yang kita bincangkan tadi adalah langkah-langkah menguatkan jiwa supaya kita lebih bertenaga untuk menghadapi cabaran hidup. Tetapi apa yang perlu dilakukan, sekiranya ada cabaran yang akan menimpa sedangkan jiwa sudah pun mula berada di luar kawalan?
  1. Berhentilah dari berfikir dan berehatlah dengan mendengarkan Al-Quran: Apabila kerisauan mula berada di luar kawalan, sebenarnya minda kita tidak berhenti-henti berfikir. Bukan berfikir sebenarnya, tetapi membayangkan segala macam "consequenses" yang boleh berlaku. Apabila ini berlaku berhentilah berfikir. Ambillah MP3 player anda, sumbatkan earphone ke telinga dan dengarlah bacaan-bacaan Al-Quran dari qari-qari yang sedap bacaannya. Lupakanlah segala masalah dan nikmatilah bacaan Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran adalah mukjizat yang dapat menenangkan jiwa, sungguhpun anda tidak memahaminya. Apabila jiwa sudah mulai tenang, barulah anda mula untuk berfikir semula.

  2. Beristigfarlah kerana di dalamnya ada pembuka jalan: Apabila akal menemui jalan buntu, maka beristigfarlah kerana ia akan membukakan jalan-jalan penyelesaian.
Ibnu Taimiyyah berkata, "Jika masalah yang saya hadapi menemui jalan kebuntuan, maka saya akan beristigfar kepada Allah lebih kurang seribu kali, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar."

Maka aku katakan kepada mereka: "Beristigfarlah kepada Tuhan kalian, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat kepada kalian."
Surah Nuh: 10 - 11

Di atas adalah beberapa pendapat yang dapat saya fikirkan berkenaan bagaimana untuk menangani kerisauan. Tetapi kemampuan saya untuk menghuraikan tajuk ini adalah sangat lemah sekali. Bantulah saya dengan memberikan idea-idea anda pula di ruang komen. Sekian & salam.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails