Thursday, 6 August 2009

Bagaimana menukarkan angan-angan menjadi cita-cita?

Thursday, 6 August 2009
Apa beza angan-angan dan cita-cita?
Zamri dan Azman sedang berbual-bual di kedai kopi. Mereka sedang bercakap tentang percutian hujung tahun. Di dalam perbualan itu, mereka bercerita tentang tempat-tempat menarik di Malaysia yang boleh dijadikan tempat untuk bercuti hujung tahun nanti. Mereka berdua bersetuju yang Cameron Highlands adalah satu tempat yang baik untuk berehat. Perbualan tersebut telah menerbitkan keinginan kedua-dua mereka untuk pergi ke Cameron Highlands hujung tahun nanti.

Zamri pada mulanya mempunyai impian untuk ke Cameron Highlands. Tetapi dia tidak melakukan apa-apa selepas perbualan dengan Azman tempohari. Lama-kelamaan keinginannya untuk ke Cameron Highlands semakin pudar, dan dia sendiri akhirnya lupa dengan perkara itu.

Azman pula, melakukan sebaliknya. Untuk memastikan tekadnya untuk ke Cameron Highlands berkekalan, dia meletakkan gambar pemandangan Cameron Highland sebagai "background" pada komputer peribadinya. Dia kemudiannya merancang dengan teknik 3W1H bersama isterinya, untuk memastikan impian mereka benar-benar menjadi kenyataan.

Di dalam kedua-dua kes di atas, Zamri sebenarnya hanya berangan sahaja. Manakala Azman pula, berjaya menukar angan-angannya menjadi sebuah cita-cita. Impian yang tinggal sebagai angan-angan sangat jarang menjadi kenyataan, manakala impian yang berubah menjadi cita-cita, mempunyai kebarangkalian yang jauh lebih tinggi. Sekarang mari kita lihat, 3 langkah bagaimana angan-angan boleh diubah menjadi cita-cita.

1. Minta pendapat Allah dahulu
Apapun, sebelum menukarkan apa-apa pun impian menjadi cita-cita, mintalah pendapat Allah dahulu. Kita tidak mungkin dapat mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan, maka mintalah pendapat dari yang Maha Mengetahui. Kadangkala kita menyukai sesuatu, tetapi ianya tidak baik untuk kita, dan kadangkala kita mungkin membenci sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kita.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)

Sebaiknya lakukanlah solat istikharah, terutama untuk keputusan-keputusan besar di dalam hidup. Manakala untuk urusan-urusan harian pula, sekurang-kurangnya berkomunikasilah dengan Allah. Contohnya, katakanlah, "Ya Allah, aku terfikir untuk ......(sebutkan urusan), sekiranya ianya baik untukku di sisiMu Ya Allah, jadikanlah aku melakukannya, tetapi jika ia buruk untukku di sisiMu Ya Allah, maka jauhkanlah aku darinya."

Seterusnya, jika masih terasa untuk meneruskan perkara tersebut, maka langkah seterusnya adalah untuk memastikan anda terus dapat fokus kepada tekad anda.

2. Menanamkan tekad
Impian jika tidak diberi tenaga, akhirnya akan hilang seperti apa yang belaku kepada Zamri. Letakkanlah gambar-gambar di tempat-tempat strategik supaya anda boleh fokus kepada impian anda. Atau berceritalah kepada kawan-kawan anda secara kerap tentang impian anda. Sesetengah orang melakukan "visualization" setiap hari untuk menguatkan tekad mereka, tetapi ini adalah satu teknik yang saya belum pernah cuba secara serius lagi. Jadi rasanya, saya bukanlah ahlinya untuk menerangkan tentang teknik ini.

Di dalam peringkat ini, impian anda adalah masih lagi di dalam keadaan abstrak. Untuk menjadikannya lebih objektif dan jelas, kita akan ke langkah seterusnya.

3. Merancang dengan konsep 3W1H
Manusia melakukan perkara-perkara yang abstrak seperti "visualization" dengan otak kanannya, manakala melakukan perkara-perkara yang lebih teratur dan konkrit dengan otak kirinya. Untuk mencapai kejayaan, kekuatan kedua-dua otak perlulah digabungkan. Setelah menanamkan tekad, kita perlulah merancang dengan teratur supaya impian kita benar-benar boleh menjadi kenyataan. Satu teknik paling mudah untuk merancang adalah 3W1H. Untuk analisis kadangkala kita menggunakan teknik 4W1H, tetapi untuk perancangan teknik 3W1H biasanya sudah mencukupi. Berikut adalah contoh perancangan yang dilakukan oleh Azman.



Ramai orang yang mempunyai impian, tetapi tidak ramai yang benar-benar serius untuk mencapainya. Jadilah orang yang terbilang, yang senantiasa mengubah segala  angan-angan menjadi cita-cita, dan akhirnya cita-cita menjadi kenyataan.

Sekianlah sahaja, apa komen anda?


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails