Sunday, 2 August 2009

Bagaimana menjadikan esok lebih baik dari hari ini?

Sunday, 2 August 2009
Hidup ini hanyalah sebuah sekolah.
Setiap hari, setiap dari kita menjalani pelbagai urutan hidup yang berbeza-beza. Setiap hari juga ada cabarannya yang tersendiri. Yang sebenarnya hidup kita ini hanyalah sebuah sekolah.

Mengapa agaknya rata-rata, orang yang lebih berusia dihormati dari orang-orang yang lebih muda? Ya, kerana umumnya, mereka telah melalui lebih banyak cabaran hidup, yang menjadikan mereka lebih matang dari kita yang masih muda ini. Sebenarnya, setiap cabaran dan ketentuan yang kita hadapi setiap hari, adalah cara Allah mengajar kita, supaya kita berfikir untuk mencari penyelesaiannya. Supaya esok akan menjadi lebih baik dari hari ini. Marilah kita lihat secara praktiknya, bagaimana untuk menjadikan esok sebuah hari yang lebih baik dari hari ini.

Langkah 1: Fikirlah secara sedar penyelesaian untuk setiap cabaran hidup.
Setiap hari sebenarnya, samada sedar atau tidak sedar, kita sentiasa berfikir untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang kita hadapi. Dalam kebanyakan hal, perkara ini berlaku secara otomatik tanpa kita sedari. Sebagai contoh, anda menghadapi masalah anak yang lemah di dalam bahasa Inggeris. Walaupun tanpa kaedah yang sistematik, anda berfikir dan membuat berbagai "countermeasure" supaya anak anda dapat menguasai bahasa Inggeris.

Walaupun secara fitrahnya, seorang manusia akan cuba untuk menjadikan esok sebuah hari yang lebih baik dari hari ini, tetapi sekiranya ianya dilakukan dengan penuh kesedaran, penyelesaian yang terhasil akan terbenam lebih jauh ke dalam minda anda. Penyelesaian yang terhasil juga akan bertahan lebih lama di dalam hidup anda, berbanding sekiranya ianya berlaku secara otomatik tanpa kesedaran.

Secara praktikalnya, apa yang boleh anda lakukan ialah seperti berikut:
  1. 1. Ambil sehelai kertas dan pensil.
  2. 2. Bahagikan kertas tersebut kepada 3 "column."
  3. 3. Tuliskan cabaran yang sedang dialami di bahagian yang pertama.
  4. 4. Fikirkan, kemudian tuliskan alternatif-alternatif yang mungkin dapat menyelesaikan cabaran yang dihadapi.
  5. 5. Analisa setiap alternatif yang ditulis, pilihlah alternatif yang terbaik dan tuliskan di bahagian ketiga.
  6. 6. Jalankanlah alternatif yang anda pilih!

Langkah 2: Tulislah dan kongsikanlah "prosedur" kehidupan anda
Tahukah anda kenapa ada sesetengah orang mempunyai pemikiran yang sangat matang walaupun mereka masih berusia muda. Dan ada sesetengah orang pula masih berfikiran seperti anak-anak muda walaupun sudah berumur. Orang-orang yang matang fikirannya, adalah orang-orang yang mendapat "rezeki" kesukaran di dalam kehidupan mereka. Semua orang sukakan kesenangan dan membenci kesukaran, tetapi sebenarnya kesukaran itu adalah satu nikmat yang sangat besar dari Allah.

Orang - orang yang menghadapi kesukaran, akan berfikir secara mendalam bagaimana untuk "keluar" dari kesusahan tersebut. Langkah-langkah yang diambil untuk keluar dari kesusahan tersebut akhirnya menjadi satu "prosedur" di dalam kehidupan mereka. Orang yang selalu dimarahi boss akan mula merasa bosan dengan keadaan tersebut, dan mungkin akan mula mengkaji bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Penyelesaian yang ditemui, akhirnya menjadi prosedur di dalam hidupnya, yang mana ia akhirnya berjaya berkomunikasi secara berkesan dengan hampir setiap orang yang di temuinya. Akhirnya ia akan dilihat sebagai seorang yang berakhlak tinggi dan dihormati oleh orang-orang disekelilingnya.

Tetapi sayangnya, kebanyakan "prosedur" hidup yang terhasil tidak kekal lama. Apabila cabaran yang dihadapi hilang, maka kita pun melupakan prosedur yang telah kita hasilkan. Jadi bagaimana ya, supaya prosedur-prosedur yang telah terhasil tidak hilang? Caranya mudah saja, "tulislah dan kongsikanlah." Tulislah segala penyelesaian terhadap cabaran hidup yang anda temui di dalam diari, blog atau apa sahaja. Apabila anda menulis, anda sebenarnya menguatkan prosedur itu di dalam minda anda. Dan satu lagi perkara yang sangat penting ialah, kongsikanlah pengalaman anda dengan orang lain. Bukan sahaja anda dapat membantu orang-orang yang mungkin menghadapi cabaran yang serupa dengan anda, tetapi anda juga dapat menguatkan kefahaman anda sendiri tentang prosedur tersebut.

Begitulah sunnatullah yang berlaku di dunia ini. Mereka yang memberi selamanya tidak akan rugi, bahkan akan menerima berlipat kali ganda dari apa yang mereka berikan. Jadi marilah jangan berlengah lagi:
  1. Fikirkanlah secara sedar penyelesaian terhadap cabaran hidup yang sedang anda hadapi.
  2. Tulislah penyelesaian tersebut sebagai satu prosedur.
  3. Kongsikanlah dengan mereka-mereka di sekeliling anda.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails