Sunday, 30 August 2009

Bagaimana menghadapi kerisauan yang tak bertempat?

Sunday, 30 August 2009
Di dalam posting "mengapa kita risau dan jalan penyelesaiannya," kita berbincang tentang cara untuk menghadapi risau yang disebabkan oleh cabaran-cabaran hidup. Saya menerima maklumbalas yang ada juga kes-kes kerisauan yang tidak semestinya disebabkan oleh cabaran hidup. Ada juga orang-orang yang tidak bernasib baik, selalu risau dan cemas di dalam apa juga keadaan. Kadangkala juga pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dirisaukan. Selepas menghantar anak pergi dengan bas sekolah, tiba-tiba merasa risau takut kemalangan akan berlaku. Selepas menghantar suami di pintu pagar, tiba-tiba terasa cemas, takut suami digoda orang ditempat kerja. Saya cuba mencari keterangan-keterangan dari Allah dan RasulNya yang mungkin dapat merungkaikan keadaan ini. Dan hasilnya, dengan izin Allah, saya menemui empat hadis-hadis di bawah yang mungkin dapat membantu.

1. Baikilah keadaan hati dengan meminta pertolongan pada Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya hati manusia semuanya (berada) di antara dua jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah Ta'ala), seperti hati yang satu, yang Dia akan memalingkan (memboak-balikkan) hari tersebut sesuai dengan kehendak-Nya," lalu Rasul s.a.w membaca doa: "Ya Allah yang memalingkan (membolak-balikkan) hati manusia, palingkanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu."

Daripada hadis ini, kita fahami bahawa hati kita ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Dan perasaan risau atau cemas tadi itu pula adalah persoalan hati. Ianya bukan persoalan badani atau fizikal. Apabila Nabi s.a.w sendiri berdoa kepada Allah untuk menjaga hatinya, apatah lagi kita ini. Mintalah pada Allah supaya memberikan kita ketenangan. Sebagai contoh, katakanlah: "Ya Allah, aku dan penat dengan perasaan risau yang tak bertempat ini Ya Allah, bebaskanlah aku daripadanya, dan kurniakanlah aku hati yang selalu tenang. Tolonglah aku Ya Allah, kerana hanya kepadaMu tempat aku bergantung."

Apa juga usaha yang akan kita akan lakukan, cubalah mulakan dengan berkomunikasi dengan Allah dahulu. Sesungguhnya, kita ini  tak mampu untuk mengetahui apakah setiap usaha kita itu akan membawa manfaat atau mudarat. Apatah lagi untuk memastikan usaha kita itu mencapai kejayaannya.

2. Berubatlah dengan kalimah tauhid
"Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, kalimah Laa ilaaha illallah adalah ubat sembilan puluh sembilan penyakit, yang paling mudah adalah penyakit cemas."
(HR. Al-Hakim)

Daripada hadis di atas, dapat kita pelajari dua perkara:
  1. Perasaan risau atau cemas itu adalah satu penyakit.
  2. Ianya boleh diubati dengan kalimah Laa ilaaha illallah.
Maka marilah kita cuba mengambil manfaat dari hadis ini. Jika kita dilanda penyakit risau yang tidak bertempat, marilah kita cuba untuk mengubat diri dengan kalimah tauhid. Apakata kita cuba untuk berzikir dengan kalimah Laa ilaaha illallah sebanyak 1,000 kali sehari. Mungkin boleh dipecahkan kepada 200 kali selepas setiap solat fardhu. Mengikut kata Professor Dato' Fadhilah Kamsah, untuk mengubah sesuatu amalan menjadi tabiat, kita hendaklah beramal dengannya secara berterusan selama sekurang-kurangnya 21 hari. Jadi cubalah beramal dengan amalan di atas selama 21 hari. Mudah-mudahan kita akan dapat mengubat diri kita dari perasaan risau tidak bertempat ini.

Kata-kata Nabi s.a.w sudah tentu benar. Cubalah beramal dengannya sehingga hati mula menjadi bersih dan tenang dari segala kerisauan.

3. Hadapilah kerisauan dengan berdoa.

Dari Mu'az daripada Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak bermanfaat terlalu bersikap waspada ke atas takdir, tetapi doalah yang bermanfaat terhadap apa yang diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Maka hendaklah kalian berdoa wahai hamba Allah."
(HR. Ahmad)

Dari hadis ini, fahamlah kita sikap terlalu berhati-hati yang akhirnya membawa perasaan risau dan cemas sebenarnya tidak langsung bermanfaat untuk melindungi kita dari ditimpa musibah. Yang lebih bermanfaat untuk melindungi kita dari musibah yang mungkin mendatang adalah dengan berdoa kepada Allah. Bahkan bukan sahaja untuk musibah yang "mungkin" melanda, doa juga bermanfaat untuk melepaskan kita dari musibah yang telah pun menimpa.

Dari Salman r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada yang membatalkan qada' kecuali doa dan tidak ada yang dapat menambah umur kecuali kebaikan."

(HR. Al-Tirmizi)

Sungguhpun tinta qada' telah kering, Allah yang Maha Penyayang masih memberikan kita satu kesempatan lagi. Iaitu dengan berdoa kepadaNya. Sekiranya syaitan menganggu kita dengan menyuntik kerisauan ke dalam hati, maka berdoalah kepada Allah. Itu adalah lebih berkesan untuk menjauhkan musibah dari merasa risau dan cemas.



2 comments:

raihana hayati said...

thanks so much for the info!

Ainur Azhar said...

Thanks !very nice informations

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails