Sunday, 30 August 2009

Bagaimana menghadapi kerisauan yang tak bertempat?

Sunday, 30 August 2009
Di dalam posting "mengapa kita risau dan jalan penyelesaiannya," kita berbincang tentang cara untuk menghadapi risau yang disebabkan oleh cabaran-cabaran hidup. Saya menerima maklumbalas yang ada juga kes-kes kerisauan yang tidak semestinya disebabkan oleh cabaran hidup. Ada juga orang-orang yang tidak bernasib baik, selalu risau dan cemas di dalam apa juga keadaan. Kadangkala juga pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dirisaukan. Selepas menghantar anak pergi dengan bas sekolah, tiba-tiba merasa risau takut kemalangan akan berlaku. Selepas menghantar suami di pintu pagar, tiba-tiba terasa cemas, takut suami digoda orang ditempat kerja. Saya cuba mencari keterangan-keterangan dari Allah dan RasulNya yang mungkin dapat merungkaikan keadaan ini. Dan hasilnya, dengan izin Allah, saya menemui empat hadis-hadis di bawah yang mungkin dapat membantu.

1. Baikilah keadaan hati dengan meminta pertolongan pada Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya hati manusia semuanya (berada) di antara dua jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah Ta'ala), seperti hati yang satu, yang Dia akan memalingkan (memboak-balikkan) hari tersebut sesuai dengan kehendak-Nya," lalu Rasul s.a.w membaca doa: "Ya Allah yang memalingkan (membolak-balikkan) hati manusia, palingkanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu."

Daripada hadis ini, kita fahami bahawa hati kita ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Dan perasaan risau atau cemas tadi itu pula adalah persoalan hati. Ianya bukan persoalan badani atau fizikal. Apabila Nabi s.a.w sendiri berdoa kepada Allah untuk menjaga hatinya, apatah lagi kita ini. Mintalah pada Allah supaya memberikan kita ketenangan. Sebagai contoh, katakanlah: "Ya Allah, aku dan penat dengan perasaan risau yang tak bertempat ini Ya Allah, bebaskanlah aku daripadanya, dan kurniakanlah aku hati yang selalu tenang. Tolonglah aku Ya Allah, kerana hanya kepadaMu tempat aku bergantung."

Apa juga usaha yang akan kita akan lakukan, cubalah mulakan dengan berkomunikasi dengan Allah dahulu. Sesungguhnya, kita ini  tak mampu untuk mengetahui apakah setiap usaha kita itu akan membawa manfaat atau mudarat. Apatah lagi untuk memastikan usaha kita itu mencapai kejayaannya.

2. Berubatlah dengan kalimah tauhid
"Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, kalimah Laa ilaaha illallah adalah ubat sembilan puluh sembilan penyakit, yang paling mudah adalah penyakit cemas."
(HR. Al-Hakim)

Daripada hadis di atas, dapat kita pelajari dua perkara:
  1. Perasaan risau atau cemas itu adalah satu penyakit.
  2. Ianya boleh diubati dengan kalimah Laa ilaaha illallah.
Maka marilah kita cuba mengambil manfaat dari hadis ini. Jika kita dilanda penyakit risau yang tidak bertempat, marilah kita cuba untuk mengubat diri dengan kalimah tauhid. Apakata kita cuba untuk berzikir dengan kalimah Laa ilaaha illallah sebanyak 1,000 kali sehari. Mungkin boleh dipecahkan kepada 200 kali selepas setiap solat fardhu. Mengikut kata Professor Dato' Fadhilah Kamsah, untuk mengubah sesuatu amalan menjadi tabiat, kita hendaklah beramal dengannya secara berterusan selama sekurang-kurangnya 21 hari. Jadi cubalah beramal dengan amalan di atas selama 21 hari. Mudah-mudahan kita akan dapat mengubat diri kita dari perasaan risau tidak bertempat ini.

Kata-kata Nabi s.a.w sudah tentu benar. Cubalah beramal dengannya sehingga hati mula menjadi bersih dan tenang dari segala kerisauan.

3. Hadapilah kerisauan dengan berdoa.

Dari Mu'az daripada Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak bermanfaat terlalu bersikap waspada ke atas takdir, tetapi doalah yang bermanfaat terhadap apa yang diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Maka hendaklah kalian berdoa wahai hamba Allah."
(HR. Ahmad)

Dari hadis ini, fahamlah kita sikap terlalu berhati-hati yang akhirnya membawa perasaan risau dan cemas sebenarnya tidak langsung bermanfaat untuk melindungi kita dari ditimpa musibah. Yang lebih bermanfaat untuk melindungi kita dari musibah yang mungkin mendatang adalah dengan berdoa kepada Allah. Bahkan bukan sahaja untuk musibah yang "mungkin" melanda, doa juga bermanfaat untuk melepaskan kita dari musibah yang telah pun menimpa.

Dari Salman r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada yang membatalkan qada' kecuali doa dan tidak ada yang dapat menambah umur kecuali kebaikan."

(HR. Al-Tirmizi)

Sungguhpun tinta qada' telah kering, Allah yang Maha Penyayang masih memberikan kita satu kesempatan lagi. Iaitu dengan berdoa kepadaNya. Sekiranya syaitan menganggu kita dengan menyuntik kerisauan ke dalam hati, maka berdoalah kepada Allah. Itu adalah lebih berkesan untuk menjauhkan musibah dari merasa risau dan cemas.



2 comments

Sunday, 23 August 2009

Bagaimana Mengawal Emosi di Dalam Tekanan?

Sunday, 23 August 2009
Tempat saya bekerja sekarang, dirahmati dengan ramai rakan-rakan yang bersikap positif dan selalu bekerjasama. Tetapi, sejak kebelakangan ini banyak tekanan-tekanan hebat yang terpaksa kami hadapi sehingga mengoyangkan emosi. Telah mula senario marah memarahi. Saya sendiri telah "termeletup" di dalam satu mesyuarat beberapa minggu lepas. Semua ini menerbitkan ilham di hati saya untuk mengkaji dan menulis tentang bagaimana untuk mengawal emosi di dalam tekanan.

1. Binalah tenaga anda sebelum menghadapi hari yang baru.
Untuk menghadapi tekanan, kita memerlukan jiwa yang kuat. Tanpa kekuatan jiwa , kita dengan mudah akan tewas apabila "dihenyak" oleh tekanan. Oleh itu adalah sangat penting untuk membina kekuatan diri sebelum menghadapi hari yang baru.

Setiap pagi, janganlah tergesa-gesa untuk memulakan kerja anda. Ciptalah satu rutin setiap pagi untuk diri anda. Untuk saya, saya mengamalkan Al-Manzil, atau kadangkala Al-Mathurat. Sekiranya hati terasa agak tertekan dengan cabaran-cabaran yang agak hebat, saya akan menambah pula ayat-ayat Munjiyat di dalam rutin pagi saya.

Tidak kira apapun pilihan anda, rutin pagi akan memberikan masa untuk anda menenangkan diri sebelum berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Bukan itu sahaja, zikrullah sememangnya mempunyai keberkatan yang hebat untuk menarik pertolongan dari Allah.

2. Bersedekahlah di dalam perjalanan ke tempat kerja.
Untuk mengawal emosi, tidak ada satu senjata yang lebih ampuh dari kelapangan dada. Saya tidak tahu tentang orang lain, tetapi dari pengalaman saya, bersedekah adalah satu aktiviti yang paling kuat kesannya untuk melapangkan dada.

"Rasulullah menggambarkan orang yang kikir dan orang yang dermawan itu dengan dua orang yang masing-masing memiliki jubah. Orang yang dermawan terus-menerus memberi dan menginfakkan hartanya, sehingga jubah dan baju besinya menjadi terasa longgar dan lapang hingga akhir hayatnya. Sementara itu, orang yang kikir terlalu kuat memegang hartanya dan tidak mahu menyedekahkannya, sehingga pakaiannya terasa semakin menyempit dan menghimpit, yang pada akhirnya akan menyempitkan jiwanya."

Untuk bersedekah di dalam perjalan ke tempat kerja, tidaklah memerlukan wang ringgit sebenarnya. Cukup dengan memberi laluan kepada kenderaan lain sepanjang perjalanan anda. Dan sekiranya anda berhenti di stesen minyak, atau kedai-kedai lain untuk membeli keperluan di dalam perjalan ke tempat kerja, senyumlah kepada pekerja-pekerja kedai yang anda temui, dan ucapkanlah terima kasih. Anda akan mendapati yang anda adalah lebih ceria apabila tiba di tempat kerja.

3. Berhentilah sebelum anda "meletup."
Walau bagaimana besarpun tekanan yang melanda, jarang sungguh kita tiba-tiba terus "meletup." Sebenarnya, keresahan dirasai sedikit demi sedikit, dan apabila ia telah terlalu kuat kita pun hilang kawalan di dalam mengawal emosi kita. Oleh itu kita perlu berhenti sebelum tekanan yang dirasai terlalu hebat.

Di kilang tempat saya bekerja terdapat sebuah "receiver tank" yang fungsinya untuk mengumpul "compressed air" dari generator. Tekanan maksima yang boleh diterima oleh "receiver tank" tersebut adalah sebanyak 20 bar. Supaya tekanan angin yang masuk tidak terlebih dari had sehingga membahayakan, terdapat sebuah "safety valve" pada "receiver tank" tersebut. Apabila tekanan melebihi had selamat, "safety valve" tersebut akan melepaskan compressed air untuk menurunkan tekanan.

Di dalam hidup sehari-hari kita, sebenarnya Allah telah mengurniakan sebuah "safety valve" untuk kita. Ya itulah dia solat 5 waktu.
Yang penting, solat hendaklah dilakukan dengan penuh kenikmatan walaupun pendek. Mungkin baik untuk membaca topik "panduan solat khusyuk dan istiqamah." Dan satu perkara lagi, sebolehnya lakukanlah solat 5 waktu seawal waktu yang boleh. Allah tidak menetapkan waktu setiap solat, melainkan di dalamnya terdapat hikmah yang sangat halus. Jika kita menangguhkan solat ke hujung waktu, kita mungkin sudahpun "termeletup" sebelum sempat melakukannya.

Jika anda merasa tertekan sebelum waktu solat yang berikutnya berhentilah sebentar. Jangan paksa diri anda untuk berfikir di dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Pasanglah MP3 player anda, dan dengarkanlah alunan ayat-ayat Quran. Atau lihatlah pemandangan indah-indah. Yang penting, berhentilah dan baiki keadaan emosi anda sebelum mula bekerja semula.

4. Segeralah bangkit keluar dari kesedihan.
Walaupun begitu, sesekali kita tentu akan tewas juga dengan tekanan. Yang penting pada ketika itu adalah untuk segera keluar dari kesedihan dan keresahan. Ini adalah supaya kita tidak pula menjadi virus yang akan menyebarkan penyakit sedih kepada orang lain. Cukuplah kesedihan sampai ke diri kita. Janganlah biarkan ia merebak kepada orang lain pula. Saya ada menghuraikan perkara ini dengan sedikit mendalam di dalam topik "bagaimana untuk kembali positif selepas dikritik."

5. Bagaimana untuk berfikir dengan rasional di dalam tekanan.
Apabila berada di dalam keadaan tekanan, biasanya keputusan yang dibuat banyak dipengaruhi oleh emosi daripada fikiran yang rasional. Untuk diri saya, adalah sangat mustahil untuk membuat keputusan dengan berfikir sahaja tanpa sekeping kertas dan pensil.

Apabila anda perlu membuat keputusan di dalam keadaan yang sibuk, atau penuh dengan tekanan, ambillah sekeping kertas dan sebatang pensil. Bahagikan kertas tersebut kepada 4 bahagian. Tuliskan pada setiap bahagian seperti berikut:
  • Bahagian 1 - Fakta masalah
  • Bahagian 2 - Alternatif-alternatif
  • Bahagian 3 - Impak positif
  • Bahagian 4 - Impak negatif
Kemudian tulislah segala fakta tentang permasalahan yang dihadapi di dalam bahagian 1.
Di dalam bahagian 2 pula, tulislah segala alternatif-alternatif yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan persoalan tersebut.
Di dalam peringkat ini, sebaiknya panggillah rakan-rakan lain untuk berfikir bersama-sama anda. Lebih idea adalah lebih baik, kerana lebih banyak kemungkinan yang dapat difikirkan.
Kemudian, senaraikan segala impak positif dan impak negatif yang mungkin berlaku untuk setiap alternatif yang disenaraikan.
Dan akhir sekali, pilihlah alternatif terbaik yang ada di dalam senarai tersebut.

Yang penting di sini adalah untuk menganalisa setiap kemungkinan dengan cara menuliskannya seperti di atas. Elakan dari cuma membayangkan alternatif-alternatif yang ada di dalam fikiran. Ini adalah kerana tanpa menulis, adalah sukar untuk kita melihat semua alternatif yang ada. Tanpa dapat melihat keseluruhan situasi dengan sempurna, kita mudah merasa panik dan besar kemungkinan keputusan yang dibuat akan dipengaruhi oleh emosi.

Akhir sekali, anda juga tentu mempunyai pelbagai teknik yang telah anda gunakan untuk mengawal emosi di dalam tekanan. Tinggalkan komen dan kongsikanlah pengalaman anda, semoga bermanfaat kepada kita semua.




3 comments

Sunday, 16 August 2009

Mengapa Kita Risau Dan Jalan Penyelesaiannya.

Sunday, 16 August 2009
Katakanlah, "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi Kami. Dialah Pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal."
Surah At-Taubah: 51

Kekuatan manusia berbeza-beza di dalam menghadapi cabaran.
Rasanya risau atau bimbang adalah penyakit yang paling banyak melanda umat manusia pada masa ini. Saya pun tidak terkecuali. Apabila membaca sirah nabi dan kisah-kisah para sahabat r.a, saya berasa sangat cemburu bagaimana mereka boleh menjadi sangat tenang dan redha dengan apa jua masalah yang melanda. Bagaimana agaknya ye untuk mendapatkan kekuatan hati seperti itu? Sebelum itu mari kita cuba fahami apa itu risau dan mengapa kita merasainya.

Apa itu risau?
Risau adalah satu perasaan tidak nyaman yang kita rasai, apabila "mungkin" terpaksa melalui satu situasi yang mencabar. Berlainan dengan "sedih," kita merasai risau untuk sesuatu situasi yang masih lagi belum berlaku. Manakala sedih pula adalah perasaan yang dirasai akibat peristiwa yang sudahpun berlaku. Contohnya, syarikat mengumumkan yang VSS akan ditawarkan kepada sebilangan pekerja dan kita merasa risau apakah kita yang akan terpaksa menghadapinya. Manakala apabila kita menerima notis tentang VSS tersebut, perasaan risau akhirnya berubah menjadi sedih.

Kenapa kita risau?
Risau sebenarnya adalah sifat semulajadi manusia. Risau adalah sesuatu yang penting untuk seorang manusia. Apabila anda mendengar syarikat akan mengumumkan VSS, dan anda pun mula mengkaji apakah tindakan-tindakan yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan impak sekiranya perkara tersebut benar-benar menimpa anda, maka ia adalah satu kerisauan yang produktif. Yang tidak kita kehendaki ialah kerisauan yang melumpuhkan pertimbangan kita. Kerisauan yang mengoyangkan akal fikiran menyebabkan kita menjadi buntu, kadangkala pemarah dan mengambil tindakan-tindakan yang bodoh di dalam hidup kita. Jadi apakah yang menyebabkan kerisauan yang sepatutnya produktif menjadi sesuatu yang negatif?

Apabila kita mungkin terpaksa menghadapi sesuatu cabaran yang hebat, dan kita merasakan bahawa tiada lagi jalan keluar, tambahan lagi tiada sesiapa lagi yang mampu menolong anda, itulah masanya kerisauan produktif boleh bertukar menjadi negatif. Sungguhpun cabarannya belum lagi berlaku, anda sudahpun merasakan "siksanya" di dalam fikiran anda hari demi hari.

Orang yang kuat jiwanya, walaupun percaya tidak ada apa lagi yang mampu menyelamatkan dirinya dari cabaran yang mendatang, akan masih berjaya menghadapinya dengan tenang. Apabila ia meyakini yang apa yang mendatang adalah ketetapan dari Yang Maha Esa, keredhaan yang timbul di hatinya menyebabkan masalah bukan lagi masalah. Apabila keredhaan sudah penuh di hati, hukuman mati pun bukanlah satu cabaran yang sehebat mana.

Kesimpulannya, kerisauan yang bersifat negatif datang dari 2 sebab:
  • -putus asa dari harapan yang sesuatu cabaran dapat diselesaikan.
  • -tiada kekuatan untuk redha dengan ketetapan yang akan berlaku.
Penyebabnya sudah jelas, jadi bagaimana pula untuk mengatasinya?

Bagaimana menangani risau?
Banyak teknik-teknik yang boleh anda pelajari untuk menangani risau pada hari ini. Tetapi pada pandangan saya, segala teknik-teknik itu tidak akan berkesan, melainkan kita terlebih dahulu membina kekuatan iman kita. Kekuatan iman yang akan dapat memberikan kita keyakinan yang kukuh bahawa:
  • -Tiada apa yang akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.
  • -Tiada apa yang mustahil untuk diselesaikan apabila pertolongan Allah ada bersama-sama dengan kita, sungguhpun pada akal manusia kelihatan sesuatu yang tidak mungkin belaku.
  • -Tidak ada sesuatu apa pun musibah yang menimpa, melainkan di dalamnya terdapat kebaikan untuk diri kita baik dunia mahupun akhirat.
Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan iman? Sebetulnya, saya sendiri pun tidak ada jawapannya. Tetapi di bawah ini adalah langkah-langkah yang dapat saya fikirkan dari pengalaman-pengalaman peribadi.
  1. Bacalah Al-Quran dengan taddabur (pemahaman) setiap hari: Al-Quran adalah bukan sahaja satu mukjizat yang dapat menenangkan hati, tetapi di dalamnya terdapat banyak keterangan-keterangan tentang kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada orang-orang yang bertaqwa. Semakin kita membacanya, semakin kuat pemahaman-pemahaman ini akan tertusuk ke dalam "subconcious" kita, yang akhirnya akan membantu kita apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup.

  2. Bacalah sirah nabawiyah (dan kisah-kisah para sahabat r.a): Siapakah manusia yang paling hebat diuji oleh Allah selain para rasul-rasulNya. Bacalah kisah-kisah para nabi supaya dapat menjadi teladan apakala kita pula nanti diuji oleh Allah. Antara cara bagaimana manusia belajar adalah dari contoh-contoh. Apabila kita dikehendaki membuat sesuatu tugas yang belum pernah kita lakukan, selalunya kita akan meminta pendapat dari orang-orang yang pernah melakukannya. Begitulah juga, untuk menghadapi cabaran-cabaran kehidupan, kita sepatutnya belajar dari para-para Nabi dan sahabat r.a. yang telah menghadapi cabaran-cabaran yang jauh lebih hebat dari apa yang kita terpaksa lalui.

  3. Ceritakanlah apa yang telah anda pelajari kepada orang-orang lain: Kongsikanlah segala ilmu yang telah anda pelajari dari Al-Quran dan sirah nabi kepada orang-orang lain. Mengajar ilmu kepada orang lain akan memantapkan lagi ilmu-ilmu di dalam "subconcious" kita. Ilmu-ilmu yang berada di dalam "concious mind" adalah lemah dan bergantung kepada kekuatan akal. Malangnya, apabila berhadapan dengan cabaran yang terlalu hebat, fungsi akal selalunya akan tewas dengan kekuatan emosi. Itulah sebabnya kita harus cuba sedaya upaya untuk menanamkan setiap ilmu jauh ke dalam "subconcious" minda kita.

  4. Berkomunikasilah dengan Allah: Berkomunikasilah dengan Allah selalu supaya anda akan dapat merasakan keberadaanNya sepanjang waktu. Minta izinlah dari Allah sebelum membuat apa-apa keputusan. Minta tolonglah kepada Allah untuk melakukan apa-apa urusan. Berterima kasihlah kepada Allah ke atas setiap nikmat yang dapat difikirkan. Ucapkanlah "declaration" keredhaan terhadap segala perkara tidak diingini yang menimpa kita. Apabila kita "yakin" (dan bukan sekadar faham) yang Allah sentiasa berada disamping kita, apalah lagi yang kita perlukan?
Apa yang perlu dilakukan sekiranya perasaan risau mula menjadi diluar kawalan?
Apa yang kita bincangkan tadi adalah langkah-langkah menguatkan jiwa supaya kita lebih bertenaga untuk menghadapi cabaran hidup. Tetapi apa yang perlu dilakukan, sekiranya ada cabaran yang akan menimpa sedangkan jiwa sudah pun mula berada di luar kawalan?
  1. Berhentilah dari berfikir dan berehatlah dengan mendengarkan Al-Quran: Apabila kerisauan mula berada di luar kawalan, sebenarnya minda kita tidak berhenti-henti berfikir. Bukan berfikir sebenarnya, tetapi membayangkan segala macam "consequenses" yang boleh berlaku. Apabila ini berlaku berhentilah berfikir. Ambillah MP3 player anda, sumbatkan earphone ke telinga dan dengarlah bacaan-bacaan Al-Quran dari qari-qari yang sedap bacaannya. Lupakanlah segala masalah dan nikmatilah bacaan Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran adalah mukjizat yang dapat menenangkan jiwa, sungguhpun anda tidak memahaminya. Apabila jiwa sudah mulai tenang, barulah anda mula untuk berfikir semula.

  2. Beristigfarlah kerana di dalamnya ada pembuka jalan: Apabila akal menemui jalan buntu, maka beristigfarlah kerana ia akan membukakan jalan-jalan penyelesaian.
Ibnu Taimiyyah berkata, "Jika masalah yang saya hadapi menemui jalan kebuntuan, maka saya akan beristigfar kepada Allah lebih kurang seribu kali, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar."

Maka aku katakan kepada mereka: "Beristigfarlah kepada Tuhan kalian, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat kepada kalian."
Surah Nuh: 10 - 11

Di atas adalah beberapa pendapat yang dapat saya fikirkan berkenaan bagaimana untuk menangani kerisauan. Tetapi kemampuan saya untuk menghuraikan tajuk ini adalah sangat lemah sekali. Bantulah saya dengan memberikan idea-idea anda pula di ruang komen. Sekian & salam.



0 comments

Sunday, 9 August 2009

Bagaimana cara menegur dengan berkesan?

Sunday, 9 August 2009
Tidak dapat tidak, memberi teguran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakan di dalam hidup kita. Semua manusia termasuk kita sendiri, sesekali tentulah tersilap langkah di dalam mengambil tindakan sehari-hari. Adakalanya kita mungkin tersedar kesilapan kita sendiri, tetapi adakalanya kita perlu ditegur untuk sedar. Apatah lagi sekiranya kita adalah seorang ketua, tidak kiralah ketua di tempat kerja, seorang suami, mahupun seorang bapa, memberi teguran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakan.
Memberi teguran, kadangkala membawa kesan yang positif, yang mana orang yang ditegur berubah kepada kebaikan. Tetapi jika kaedahnya tidak efektif, silap-silap gaya, kesan yang berlaku adalah kepada arah yang negatif pula. Mungkin orang yang ditegur akan menjadi "defensive" dan semakin menjauhi kita. Jadi bagaimana kaedah menegur yang berkesan? Mari kita lihat beberapa tips yang mungkin boleh membantu.

1. Berhenti dan betulkan niat kita dahulu.
Apabila terdetik sahaja di dalam hati kita untuk menegur, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk berhenti dan menarik nafas. Ini adalah kerana di dalam kebanyakan kes, kita sebenarnya menegur bukan untuk memperbetulkan, tetapi lebih kepada melampiaskan perasaan marah ataupun tidak puas hati.

Semasa saya berada di sekolah menengah, ada seorang guru disiplin yang bernama Ahmad Zaki. Walaupun Cikgu Ahmad Zaki adalah seorang guru disiplin dan banyak merotan murid-murid nakal, rata-rata murid-murid tidak membenci Cikgu Ahmad Zaki seperti cikgu-cikgu disiplin yang lain. Saya pernah berkesempatan melihat bagaimana Cikgu Ahmad Zaki merotan seorang rakan yang ponteng kelas. Setelah melakukan soal siasat, dan didapati murid tersebut bersalah, Cikgu Ahmad Zaki pun berkata dengan senyuman, "Awak pun tahu hukuman ponteng kelas kan? Nah, pusing belakang dan letakan tangan awak ke dinding." Lalu proses merotan pun berlaku. Cikgu Ahmad Zaki merotan tanpa sedikit pun perasaan marah, tetapi lebih kepada perasaan tanggungjawabnya, dan dengan harapan supaya murid itu akan berubah.

Sebenarnya ada banyak teknik untuk memberi teguran. Tetapi yang penting sekali dari segala teknik adalah niat kita. Pastikan apabila kita menegur, niat kita adalah supaya orang yang ditegur akan menjadi seorang yang lebih baik lagi, dan bukan untuk melepaskan perasaan kita.

2. Mulakan dengan sesuatu yang positif.
Cuba beritahu saya, siapa di antara anda yang suka ditegur? Semasa mula-mula bertugas selepas tamat belajar, saya dan beberapa orang rakan pernah datang lambat untuk sebuah mesyuarat. Saya ditegur secara umum oleh ketua saya tanpa menyebut nama. Walaupun begitu saya amat marah di dalam hati, sungguhpun saya tahu sebenarnya saya yang bersalah. Kebanyakan manusia, kecuali mereka yang telah mencapai "kesedaran tertinggi" tentu akan merasa "tidak sedap" apabila ditegur. Jadi apa yang boleh kita lakukan? Bagaimana kita hendak mengurangkan sifat defensive dari orang yang akan ditegur? Satu cara ialah dengan memulakan komunikasi dengan sesuatu yang positif. Antaranya ialah dengan memberi pujian terhadap sesuatu perbuatan baik yang telah dilakukan oleh orang yang hendak ditegur.

Malangnya ada di antara kita yang menyangka berlemah-lembut itu tanda lemah. Janganlah kita menyangka bahawa berlemah-lembut itu menyebabkan kita dipandang rendah. Ingatlah perintah Allah kepada Nabi Musa (a.s) untuk menghadapi Firaun:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah  melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut.
(Surah Taha ayat 33-34)

3. Tegurlah dengan hikmah.
Setelah memastikan niat kita, dan memulakan komunikasi dengan sesuatu yang positif, bolehlah kita mula memberi teguran. Memberi teguran pula perlu sesuai dengan keadaan orang yang ditegur. Cara menegur anak-anak tidak sama dengan menegur orang dewasa. Cara menegur seorang pekerja yang berdedikasi tetapi tersilap mengambil keputusan, tentunya tidak sama dengan cara untuk menegur pekerja yang langsung tidak peduli akan kualiti kerjanya. Terlalu banyak kaedah menegur yang ada untuk diceritakan di dalam sebuah artikel. Yang penting, anda perlulah mengkaji setiap situasi dan menggunakan kreativiti anda. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa "rules of thumb" yang perlu diambil kira:
  • seboleh-bolehnya tegurlah secara persendirian ditempat yang tersorok supaya orang yang di tegur tidak merasa malu.
  • sekiranya menegur di dalam majlis umum, janganlah menyebut nama secara spesifik.
  • orang yang lembut hatinya, boleh diberi teguran secara menasihati.
  • orang yang tinggi egonya, perlu diberi teguran secara cabaran.
  • kadangkala, ada orang yang membuat perangai kerana rasa tidak diperlukan. Orang sebegini perlu diberi lebih peluang memikul tanggungjawab yang lebih besar.
  • apabila menegur cuba duduk di sebelah orang yang ditegur, bukan di hadapan. Kedudukan di tepi menyebabkan orang yang ditegur kurang  merasa defensive berbanding kedudukan di hadapan.
Tentu banyak lagi kaedah menegur yang boleh dilakukan. Tak mugkin saya dapat memikirkan kesemuanya. Apakata anda berkongsi pengalaman anda dan memberikan "teguran" anda di ruang komen?



2 comments

Thursday, 6 August 2009

Bagaimana menukarkan angan-angan menjadi cita-cita?

Thursday, 6 August 2009
Apa beza angan-angan dan cita-cita?
Zamri dan Azman sedang berbual-bual di kedai kopi. Mereka sedang bercakap tentang percutian hujung tahun. Di dalam perbualan itu, mereka bercerita tentang tempat-tempat menarik di Malaysia yang boleh dijadikan tempat untuk bercuti hujung tahun nanti. Mereka berdua bersetuju yang Cameron Highlands adalah satu tempat yang baik untuk berehat. Perbualan tersebut telah menerbitkan keinginan kedua-dua mereka untuk pergi ke Cameron Highlands hujung tahun nanti.

Zamri pada mulanya mempunyai impian untuk ke Cameron Highlands. Tetapi dia tidak melakukan apa-apa selepas perbualan dengan Azman tempohari. Lama-kelamaan keinginannya untuk ke Cameron Highlands semakin pudar, dan dia sendiri akhirnya lupa dengan perkara itu.

Azman pula, melakukan sebaliknya. Untuk memastikan tekadnya untuk ke Cameron Highlands berkekalan, dia meletakkan gambar pemandangan Cameron Highland sebagai "background" pada komputer peribadinya. Dia kemudiannya merancang dengan teknik 3W1H bersama isterinya, untuk memastikan impian mereka benar-benar menjadi kenyataan.

Di dalam kedua-dua kes di atas, Zamri sebenarnya hanya berangan sahaja. Manakala Azman pula, berjaya menukar angan-angannya menjadi sebuah cita-cita. Impian yang tinggal sebagai angan-angan sangat jarang menjadi kenyataan, manakala impian yang berubah menjadi cita-cita, mempunyai kebarangkalian yang jauh lebih tinggi. Sekarang mari kita lihat, 3 langkah bagaimana angan-angan boleh diubah menjadi cita-cita.

1. Minta pendapat Allah dahulu
Apapun, sebelum menukarkan apa-apa pun impian menjadi cita-cita, mintalah pendapat Allah dahulu. Kita tidak mungkin dapat mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan, maka mintalah pendapat dari yang Maha Mengetahui. Kadangkala kita menyukai sesuatu, tetapi ianya tidak baik untuk kita, dan kadangkala kita mungkin membenci sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kita.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)

Sebaiknya lakukanlah solat istikharah, terutama untuk keputusan-keputusan besar di dalam hidup. Manakala untuk urusan-urusan harian pula, sekurang-kurangnya berkomunikasilah dengan Allah. Contohnya, katakanlah, "Ya Allah, aku terfikir untuk ......(sebutkan urusan), sekiranya ianya baik untukku di sisiMu Ya Allah, jadikanlah aku melakukannya, tetapi jika ia buruk untukku di sisiMu Ya Allah, maka jauhkanlah aku darinya."

Seterusnya, jika masih terasa untuk meneruskan perkara tersebut, maka langkah seterusnya adalah untuk memastikan anda terus dapat fokus kepada tekad anda.

2. Menanamkan tekad
Impian jika tidak diberi tenaga, akhirnya akan hilang seperti apa yang belaku kepada Zamri. Letakkanlah gambar-gambar di tempat-tempat strategik supaya anda boleh fokus kepada impian anda. Atau berceritalah kepada kawan-kawan anda secara kerap tentang impian anda. Sesetengah orang melakukan "visualization" setiap hari untuk menguatkan tekad mereka, tetapi ini adalah satu teknik yang saya belum pernah cuba secara serius lagi. Jadi rasanya, saya bukanlah ahlinya untuk menerangkan tentang teknik ini.

Di dalam peringkat ini, impian anda adalah masih lagi di dalam keadaan abstrak. Untuk menjadikannya lebih objektif dan jelas, kita akan ke langkah seterusnya.

3. Merancang dengan konsep 3W1H
Manusia melakukan perkara-perkara yang abstrak seperti "visualization" dengan otak kanannya, manakala melakukan perkara-perkara yang lebih teratur dan konkrit dengan otak kirinya. Untuk mencapai kejayaan, kekuatan kedua-dua otak perlulah digabungkan. Setelah menanamkan tekad, kita perlulah merancang dengan teratur supaya impian kita benar-benar boleh menjadi kenyataan. Satu teknik paling mudah untuk merancang adalah 3W1H. Untuk analisis kadangkala kita menggunakan teknik 4W1H, tetapi untuk perancangan teknik 3W1H biasanya sudah mencukupi. Berikut adalah contoh perancangan yang dilakukan oleh Azman.



Ramai orang yang mempunyai impian, tetapi tidak ramai yang benar-benar serius untuk mencapainya. Jadilah orang yang terbilang, yang senantiasa mengubah segala  angan-angan menjadi cita-cita, dan akhirnya cita-cita menjadi kenyataan.

Sekianlah sahaja, apa komen anda?


0 comments

Sunday, 2 August 2009

Bagaimana menjadikan esok lebih baik dari hari ini?

Sunday, 2 August 2009
Hidup ini hanyalah sebuah sekolah.
Setiap hari, setiap dari kita menjalani pelbagai urutan hidup yang berbeza-beza. Setiap hari juga ada cabarannya yang tersendiri. Yang sebenarnya hidup kita ini hanyalah sebuah sekolah.

Mengapa agaknya rata-rata, orang yang lebih berusia dihormati dari orang-orang yang lebih muda? Ya, kerana umumnya, mereka telah melalui lebih banyak cabaran hidup, yang menjadikan mereka lebih matang dari kita yang masih muda ini. Sebenarnya, setiap cabaran dan ketentuan yang kita hadapi setiap hari, adalah cara Allah mengajar kita, supaya kita berfikir untuk mencari penyelesaiannya. Supaya esok akan menjadi lebih baik dari hari ini. Marilah kita lihat secara praktiknya, bagaimana untuk menjadikan esok sebuah hari yang lebih baik dari hari ini.

Langkah 1: Fikirlah secara sedar penyelesaian untuk setiap cabaran hidup.
Setiap hari sebenarnya, samada sedar atau tidak sedar, kita sentiasa berfikir untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang kita hadapi. Dalam kebanyakan hal, perkara ini berlaku secara otomatik tanpa kita sedari. Sebagai contoh, anda menghadapi masalah anak yang lemah di dalam bahasa Inggeris. Walaupun tanpa kaedah yang sistematik, anda berfikir dan membuat berbagai "countermeasure" supaya anak anda dapat menguasai bahasa Inggeris.

Walaupun secara fitrahnya, seorang manusia akan cuba untuk menjadikan esok sebuah hari yang lebih baik dari hari ini, tetapi sekiranya ianya dilakukan dengan penuh kesedaran, penyelesaian yang terhasil akan terbenam lebih jauh ke dalam minda anda. Penyelesaian yang terhasil juga akan bertahan lebih lama di dalam hidup anda, berbanding sekiranya ianya berlaku secara otomatik tanpa kesedaran.

Secara praktikalnya, apa yang boleh anda lakukan ialah seperti berikut:
  1. 1. Ambil sehelai kertas dan pensil.
  2. 2. Bahagikan kertas tersebut kepada 3 "column."
  3. 3. Tuliskan cabaran yang sedang dialami di bahagian yang pertama.
  4. 4. Fikirkan, kemudian tuliskan alternatif-alternatif yang mungkin dapat menyelesaikan cabaran yang dihadapi.
  5. 5. Analisa setiap alternatif yang ditulis, pilihlah alternatif yang terbaik dan tuliskan di bahagian ketiga.
  6. 6. Jalankanlah alternatif yang anda pilih!

Langkah 2: Tulislah dan kongsikanlah "prosedur" kehidupan anda
Tahukah anda kenapa ada sesetengah orang mempunyai pemikiran yang sangat matang walaupun mereka masih berusia muda. Dan ada sesetengah orang pula masih berfikiran seperti anak-anak muda walaupun sudah berumur. Orang-orang yang matang fikirannya, adalah orang-orang yang mendapat "rezeki" kesukaran di dalam kehidupan mereka. Semua orang sukakan kesenangan dan membenci kesukaran, tetapi sebenarnya kesukaran itu adalah satu nikmat yang sangat besar dari Allah.

Orang - orang yang menghadapi kesukaran, akan berfikir secara mendalam bagaimana untuk "keluar" dari kesusahan tersebut. Langkah-langkah yang diambil untuk keluar dari kesusahan tersebut akhirnya menjadi satu "prosedur" di dalam kehidupan mereka. Orang yang selalu dimarahi boss akan mula merasa bosan dengan keadaan tersebut, dan mungkin akan mula mengkaji bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Penyelesaian yang ditemui, akhirnya menjadi prosedur di dalam hidupnya, yang mana ia akhirnya berjaya berkomunikasi secara berkesan dengan hampir setiap orang yang di temuinya. Akhirnya ia akan dilihat sebagai seorang yang berakhlak tinggi dan dihormati oleh orang-orang disekelilingnya.

Tetapi sayangnya, kebanyakan "prosedur" hidup yang terhasil tidak kekal lama. Apabila cabaran yang dihadapi hilang, maka kita pun melupakan prosedur yang telah kita hasilkan. Jadi bagaimana ya, supaya prosedur-prosedur yang telah terhasil tidak hilang? Caranya mudah saja, "tulislah dan kongsikanlah." Tulislah segala penyelesaian terhadap cabaran hidup yang anda temui di dalam diari, blog atau apa sahaja. Apabila anda menulis, anda sebenarnya menguatkan prosedur itu di dalam minda anda. Dan satu lagi perkara yang sangat penting ialah, kongsikanlah pengalaman anda dengan orang lain. Bukan sahaja anda dapat membantu orang-orang yang mungkin menghadapi cabaran yang serupa dengan anda, tetapi anda juga dapat menguatkan kefahaman anda sendiri tentang prosedur tersebut.

Begitulah sunnatullah yang berlaku di dunia ini. Mereka yang memberi selamanya tidak akan rugi, bahkan akan menerima berlipat kali ganda dari apa yang mereka berikan. Jadi marilah jangan berlengah lagi:
  1. Fikirkanlah secara sedar penyelesaian terhadap cabaran hidup yang sedang anda hadapi.
  2. Tulislah penyelesaian tersebut sebagai satu prosedur.
  3. Kongsikanlah dengan mereka-mereka di sekeliling anda.



0 comments

Saturday, 1 August 2009

Bagaimana untuk kembali positif selepas dikritik?

Saturday, 1 August 2009
1. Mengapa saya menulis artikel ini?
Di dalam kehidupan moden kita sehari-hari, dan dengan persaingan yang makin sengit, kita terdedah kepada pelbagai kritikan hari demi hari. Kritikan di tempat kerja, kritikan di rumah dari ahli keluarga, kritikan dari masyarakat setempat. Ada dari kritikan-kritikan itu adalah bersifat membina, tetapi ada pula kritikan-kritikan yang berniat untuk menghancurkan. Tidak kurang juga kritikan-kritikan yang berniat positif, tetapi disampaikan dengan cara yang salah.

Di tempat kerja saya juga, terdapat banyak kritikan-kritikan dari pelbagai pihak. Saya sebenarnya tidaklah terkesan sangat dengan kritikan-kritikan yang dilemparkan, tetapi saya kasihan melihat kawan-kawan yang menjadi amat sedih apabila dikritik. Terbit ilham di hati saya, untuk mencari penyelesaian bagaimana untuk mengembalikan jiwa kita menjadi positif dengan segera setelah dikritik. Sebelum itu, mari kita fahami mengapa jiwa boleh menjadi negatif apabila dikritik?

2. Kenapa kita menjadi negatif apabila dikritik?
Pernahkah saudara melihat sumpah-sumpah, atau chameleon di dalam bahasa Inggerisnya. Kebanyakan spesis sumpah-sumpah akan berubah warna mengikut suasana sekelilingnya. Apabila berada di dahan pohon, akan menjadi warna coklat seolah-olah warna dahan, dan apabila berada di celah dedaunan, akan berwarna kehijauan pula. Jiwa manusia, terutama jiwa kita yang masih belum mencapai ketahanan seperti jiwa para sahabat r.a, adalah sangat mirip dengan sumpah-sumpah. Ianya sangat mudah terkesan oleh keadaan sekeliling. Apabila berada di dalam suasana positif, kita akan rasa gembira, tetapi apabila berada di dalam suasana negatif, apabila dimarah, apabila dikritik, kita akan pula merasa sedih.

Nah, sekarang sesudah kita memahami fakta ini, sebenarnya adalah agak mudah untuk kita memahami bagaimana untuk kembali positif setelah dikritik. Kita cuma perlu mencari satu suasana positif, supaya hati kita terkesan pula dengannya, dan kita akan dapat membuat "reverse action." Sekarang mari kita lihat kaedah praktikalnya.

3. Bagaimana untuk kembali positif dengan segera setelah dikritik?
Walaupun secara teorinya, sebenarnya adalah mudah untuk kembali positif setelah dikritik, tetapi acapkali sukar dilakukan di dalam praktiknya. Kenapa ya? Sebenarnya, kecenderungan untuk terkesan kepada perkara positif tidaklah semudah kecenderungan terkesan kepada perkara negatif. Nafsu kita selalu mengajak kita untuk "melayan blues," walaupun akal fikiran kita tahu bahawa untuk tinggal di dalam keadaan negatif adalah perkara yang sangat merugikan. Lebih malang lagi, kekuatan hati selalunya jauh lebih kuat dari kekuatan akal. Jadi bagaimana ya? Bagaimana untuk kita melawan desakan nafsu untuk "melayan blues" di dalam hati?

Sebenarnya tidak susah untuk melawan desakan hati. Tetapi jika kita cuba melawan desakan hati dengan kekuatan akal, sebenarnya kita sedang menuju sebuah peperangan yang hampir tidak dapat dimenangi. Untuk melawan desakan hati, kita perlukan satu kekuatan yang lebih kuat. Ya, kita perlukan bantuan dari Zat yang menguasai hati itu sendiri.

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya hati manusia semuanya (berada) di antara dua jari dari jari-jari Ar Rahman (Allah Ta’ala), seperti hati yang satu, yang Dia akan memalingkan (membolak-balikkan) hati tersebut sesuai dengan kehendak-Nya”, lalu Rasul membaca doa: "Ya Allah yang memalingkan (membolak-balikkan) hati manusia, palingkanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu"
[ HR.Muslim no. 2654 ]

Maka mintalah kepada Allah, "Ya Allah, aku rasa sedih kerana dimarah tadi Ya Allah, aku bermohon kepadaMu Ya Allah, hilangkanlah rasa negatif di dalam hatiku ini Ya Allah, dan gantikanlah dengan perasaan-perasaan yang positif." Jangan malu untuk meminta pertolongan Allah. Kita ini sebenarnya memang tak punya apa-apa, dan Allah pula suka dengan orang yang selalu meminta pertolongan darinya. Tidak akan kurang sedikit pun dari perbendaharaan Allah, sekiranya segala makhluk yang ada di alam semesta ini meminta pertolongan dariNya.

Sesudah itu, carilah jalan supaya kita dapat berada di dalam satu suasana yang positif pula, supaya hati kita terkesan pula dengan suasana tersebut. Satu cara yang paling mudah ialah, dengan mengambil sehelai kertas, dan tulislah, "Ya Allah, terima kasih kerana...." Lalu tulislah satu demi satu nikmat Allah yang masih ada pada diri kita. Teknik ini, ada saya bincang dengan lebih teliti pada posting, bagaimana meleraikan kesukaran dengan bersyukur. Sekiranya ini juga tidak berhasil, cubalah pula idea-idea lain. Contohnya dengan melihat gambar-gambar pemandangan alam semulajadi yang indah-indah. Di dalam komputer saya, ada satu folder yang diisi dengan gambar-gambar pemandangan alam semulajadi yang indah-indah. Apabila saya kepenatan bekerja, atau berasa kurang positif, kadangkala saya melihat gambar-gambar tersebut di dalam bentuk slides untuk menenangkan fikiran.

Teknik-teknik di atas boleh membantu kita untuk mengembalikan jiwa menjadi positif selepas dikritik. Tetapi bagaimana pula untuk menguatkan jiwa kita. Bagaimana untuk menguatkan jiwa kita, supaya tidak menjadi negatif walaupun dikritik?

4. Bagaimana untuk tidak terkesan dengan kritikan?
Untuk menjadi orang yang kebal dari kritikan dan suasana negatif, jiwa kita perlu di"upgrade" sehingga mencapai kesedaran tertinggi. Kita sebenarnya selalu tertipu dengan apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Apabila kita dikritik, kita merasakan ianya adalah serangan seorang manusia terhadap kita. Apabila kita berjaya melakukan sesuatu perkara, kita merasakan yang kejayaan itu adalah hasil usaha kita. Sebenarnya kita tertipu. Sebenarnya apabila ada seseorang mengkritik kita, bukanlah dia yang mengkritik kita sebenarnya. Tetapi adalah Allah yang menggerakan orang tersebut sehingga mengkritik kita, sebagai cubaan kepada kita dan orang tersebut sendiri. Apabila kita melakukan sesuatu usaha yang akhirnya membuahkan kejayaan, sebenarnya Allahlah yang memberi kita ilham-ilham dan kekuatan-kekuatan untuk melakukan usaha-usaha tersebut. Apabila kita sedar (bukan setakat tahu) yang segala yang menimpa diri kita adalah kehendak Allah, mampukan kita untuk merasa negatif lagi?

Untuk mencapai kesedaran tertinggi, mintalah pada Allah. Mintalah "pendapat" Allah di dalam setiap keputusan yang ingin kita perbuat. Berterima kasihlah kepada Allah untuk setiap perkara yang berlaku sesuai dengan keinginan kita. Mintalah izin sebelum melakukan sesuatu usaha, dan minta tolonglah kepada Allah apabila tersua dengan setiap kesukaran dan keraguan. Semakin banyak kita "berkomunikasi" dengan Allah, semakin dekat hati kepada kesedaran tertinggi. Semakin hati kita mendekati kesedaran tertinggi, semakin kurang kita akan terkesan dengan susah senang di dunia ini.

Semoga kita semua dapat berusaha ke arah ini. Doakanlah juga saya yang lemah ini.


1 comments

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails