Thursday, 23 July 2009

Panduan solat khusyuk dan istiqamah.

Thursday, 23 July 2009
[Note] Saya bukan ulama. Apa yang saya tulis di sini hanyalah berdasarkan pengalaman peribadi. Harap betulkan apa yang salah.



1. Kenapa sukar untuk menjaga solat?
Kenapa agaknya, kadang-kadang amat sukar untuk kita menjaga solat secara istiqamah. Apatah lagi untuk melakukannya dengan khusyuk. Bukannya kita tak tahu kepentingan solat. Tapi sukar sungguh untuk melawan nafsu dan mengerjakan solat. Kadangkala, terasa solat bagai beban pula. Sedang sibuk bekerja, kena pula bersolat. Sedang seronok bersama keluarga, kena pula bersolat. Jadi bagaimana caranya supaya solat menjadi sesuatu yang menyeronokan?

Saya bukan seorang ulama. Tetapi pada pendapat saya ada 2 sebab mengapa kita sukar menjaga solat.

Kenapa sukar menjaga solat - sebab 1
Kita seringkali menyangka bahawa kemampuan untuk bersolat itu adalah dari hasil usaha kita. Kita seringkali lupa yang kemampuan untuk bersolat itu sebenarnya adalah rezeki dari Allah. Ada masanya kita mampu untuk menjaga solat sebaik-baiknya, tetapi apakala dengan kudrat dan iradat Allah, kita tertinggal satu waktu, kita merasa amat kecewa dan merasakan tidak ada gunanya lagi untuk terus bersolat kerana kita telah "gagal."

Kenapa sukar menjaga solat - sebab 2
Saya pada satu masa dahulu, cuba untuk meningkatkan semangat untuk bersolat dengan membaca fadhilat-fadhilat dan ancaman-ancaman meninggalkan solat. Tidak dinafikan untuk seketika "semangat" akan meningkat, tapi tak lama kemudian akan luntur semula. Sememangnya sifat manusia sukakan "instant gratification." Bayangkan, mampukah kita makan setiap hari, sekiranya rasa kenyangnya hanya akan dirasai 2 tahun akan datang. Oleh itu, adalah lebih penting untuk mencari "instant grafitication" dari solat yang dilakukan, iaitu rasa segar, tenang dan damai yang datang dari perlakuan solat yang didirikan.

2. Kenapa sukar untuk khusyuk di dalam solat?
Sekarang kita tahu yang amat sukar untuk beristiqamah di dalam solat, melainkan kita dapat merasai nikmatnya. Ini pula tak mungkin dirasai kalau kita tidak dapat melakukannya dengan khusyuk! Jadi, persoalannya bagaimana pula untuk khusyuk di dalam solat?

Saya hampir tidak pernah dapat melakukan solat dengan khusyuk pada masa dahulu, hinggalah pada suatu hari saya mempelajari satu revolusi baru tentang perkataan khusyuk. Rata-rata kita selalu tersalah anggap perkataan khusyuk dengan fokus. Kita cuba "fokus", kita cuba "concentrate" kepada ayat yang dibaca, padahal Allah jadikan solat supaya kita boleh menikmatinya. Semakin kita "fokus" semakin penat kita jadinya.

Cuba bandingkan dengan kaki pancing. Semasa dia memancing, adakah dia cuba untuk "concentrate" kepada memancing? Atau dia cuma menikmati perbuatan memancing tersebut?

Saudara, untuk mula merasakan nikmat (khusyuk) di dalam solat, satu anjakan paradigma diperlukan. Khusyuk maknanya "asyik" atau "nikmat", bukannya "concentrate" atau "fokus." Mintalah kepada Allah supaya kita dapat menukarkan anggapan kita tentang khusyuk.

3. Panduan praktikal solat khusyuk.
Berikut adalah sedikit panduan bagaimana untuk bersolat dengan khusyuk.
  • Sebelum mula bersolat, mintalah pada Allah. Mintalah Allah berikan kita rezeki untuk sebuah solat yang menyegarkan. Janganlah lupa, kemampuan untuk bersolat bukanlah kemampuan kita yang sebenarnya. Tetapi adalah rezeki dari Allah semata-mata.

  • Nikmatilah wuduk anda. Lakukanlah dengan perlahan-lahan, dan rasakanlah nikmatnya air menyapa saraf-saraf kulit anda.

  • Apabila berdiri untuk bersolat, longgarkanlah otot-otot dan sendi-sendi anda. Angkatlah tangan anda untuk bertakbir, dan rasakanlah betapa nikmatnya berhadapan dengan Allah penguasa yang menentukan segalanya, dan dapat melepaskan fikiran-fikiran dari hal-hal dunia. Serahkanlah segala-galanya kepada Allah. Tak perlu berfikir lagi.

  • Berhenti sekejap sebelum memulakan bacaan, dan nikmatilah situasinya. Kemudian bacalah bacaan-bacaan di dalam solat dengan tidak tergesa-gesa. Nikmatilah bunyi dan nadanya. Sekiranya diberikan Allah rezeki untuk mengingati maknanya, nikmatilah. Tetapi tidak perlu "concentrate" sehingga mengerutkan dahi untuk mengingati makna-makna bacaan. Sekiranya tidak, bersyukurlah dan nikmatilah apa sahaja yang telah Allah kurniakan untuk anda.

  • Lakukanlah ruku, sujud, iktidal dan sebagainya dengan tumakninah. Apabila ruku contohnya, nikmatilah posisi ruku sebelum mula membaca tasbih. Bacalah tasbih satu demi satu dengan menikmatinya. Setelah membaca tasbih pula, tunggulah seketika sebelum bangun dari posisi tersebut. Sekiranya saya bersolat di belakang imam yang bersolat dengan terlalu pantas, saya adakalanya membaca tasbih semasa ruku dan sujud sekali sahaja. Apalah nilainya seratus biji buah durian yang busuk dengan satu ulas durian yang segar.
Secara mudahnya, mintalah pada Allah supaya mengurniakan anda rezeki untuk bersolat dengan khusyuk, dan kemudian nikmatilah ia. Dengan solat yang sebegini, solat akan menjadi prasarana untuk menyegarkan diri. Sebelum ini, solat mungkin lebih terasa "beban" dari "nikmat." Sekarang solat adalah cara saya merehatkan diri setelah penat memandu di dalam perjalanan yang jauh. Solat jugalah perkara yang paling nikmat setelah pulang dan penat bekerja. Semoga Allah mengurniakan kita rezeki untuk bersolat dengan khusyuk dan istiqamah.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails