Saturday, 18 July 2009

Bagaimana mencari ketenangan dengan berserah kepada Allah?

Saturday, 18 July 2009
1. Mengapa pasrah?
Jiwa kita sebagai manusia ini, sifatnya mudah berasa gelisah apabila berada di dalam kesusahan. Hidup akan berasa serba tak kena apabila berada di dalam sesuatu tekanan. Bak kata orang, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Semua ini sebenarnya berlaku di dalam fikiran kita sahaja. Semuanya berlaku kerana kita tidak redha dengan apa yang telah atau akan menimpa diri kita. Seseorang yang telah dijatuhkan hukuman mati sekalipun, apabila dia telah pasrah dengan ketetapan yang akan berlaku ke atas dirinya, tidak akan berasa gundah gulana.

2. Bagaimana mencari perasaan pasrah?
Saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana sikap "pasrah" ini telah berjaya membantu saya melalui satu keadaan yang agak sukar.

Tidak lama dahulu, sebuah projek baru telah dipindahkan ke kilang tempat saya bekerja dari syarikat sekutu kami di Singapura. Malangnya pemindahan teknologi dilakukan dengan tergesa-gesa sehingga menyebabkan berlaku terlalu banyak masalah kualiti dan ketidakupayaan untuk menghantar produk di dalam masa yang ditentukan. Sudah beberapa kali saya terpaksa turun ke Singapura untuk menerangkan keadaan kepada pelanggan kami di sana. Akhirnya kesabaran pelanggan kami telah sampai ke puncaknya, dan saya dikehendaki untuk memberi laporan lagi kepada mereka. Saya sudah tidak tahu apa lagi untuk dibuat. Fikiran sudah buntu sebuntu-buntunya. Untuk beberapa hari, hidup saya serba tak kena. Pada ketika itu, saya teringat teknik "berkomunikasi dengan Allah" yang saya pelajari dari blog Fuad Latip. Saya rasa, saya tak akan menerangkan dengan panjang lebar tentang teknik ini, saudara bolehlah membacanya terus dari blog Fuad Latip tersebut.

Akhirnya saya berkomunikasi dengan Allah. Saya katakan, "Ya Allah, aku dah tak tahu apa nak buat lagi, tolonglah aku Ya Allah. Bagilah aku idea bagaimana nak hadapi situasi ini Ya Allah. Mudahkanlah bagi ku Ya Allah. Aku minta izin untuk berusaha buat report ini Ya Allah." Setelah itu, saya terus cuba untuk menyusun report untuk mesyuarat tersebut, walaupun saya sebenarnya tidak tahu bagaimana saya harus melakukannya. Dalam masa menulis laporan tersebut, tanpa saya sedari saya mendapat ilham untuk melaporkan sahaja segala kebenaran yang berlaku. Tiada perlunya untuk saya membuat laporan palsu demi menyelamatkan syarikat. Apa yang berlaku setelah itu, semuanya terserah kepada Allah. Tanpa diminta, perasaan redha dan pasrah telah menusuk ke dalam kalbu saya. Walaupun masalah masih belum lagi selesai, saya mula merasa tenang dan tiada lagi sebarang kerungsingan dan kebimbangan. Dan saya berjaya menyiapkan laporan untuk mesyuarat tersebut dengan jayanya. Saya merasa sangat tenang dan damai.

3. Pasrah bukan urusan fikiran, tapi hati.
Satu perkara penting ingin saya tegaskan disini, perasaan pasrah yang saya hadapi pada ketika itu, bukanlah di atas usaha saya untuk mencapainya. Saya tidak berzikir beribu-ribu kali untuk menenangkan fikiran, apatah lagi bermeditasi. Telah banyak kali saya cuba berzikir ketika keadaan genting untuk menangkan fikiran, tetapi gagal. Kali ini, perasaan tenang itu datang secara automatik, seolah-olah ilham yang datang ke dalam kalbu saya.

Sebenarnya, kita ini selalu tertipu dengan usaha kita. Kita fikir setiap perkara yang kita capai adalah dari hasil usaha kita. Sebenarnya apa yang kita lalui setiap hari hanyalah ketetapan dari Allah semata. Segala usaha yang kita lakukan adalah ilham dariNya juga. Jadi apakala kita berhadapan dengan setiap perkara, berkomunikasilah dengan Allah sebelum melakukan sebarang usaha. Mudah-mudahan kita akan dibimbing untuk melakukan usaha yang terbaik untuk diri kita.

Sejak kebelakangan ini, saya telah mula meminta izin kepada Allah sebelum saya mula berkerja. Saya katakan, "Ya Allah, aku minta izin untuk pergi kerja. Tolonglah aku Ya Allah, aku tak pandai buat kerja. Dan tetapkanlah aku Ya Allah, di dalam keimanan dan ketaqwaan." Saudara bagaimana pula? Ada apa-apa tips yang boleh dikongsikan?



2 comments:

Fuad Latip said...

Salam,

Bolehkah saya copy dan paste di blog saya. Cerita yang perlu dikongsi bersama.

Fuad Latip
http://www.fuadlatip.com

Schanizan said...

Salam,

Sudah tentu boleh En. Fuad.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails