Sunday, 19 July 2009

Bagaimana meleraikan kesusahan dengan bersyukur?

Sunday, 19 July 2009


1. Mengapa orang susah terus di dalam kesusahan?

Salam.
Pernahkan saudara terfikir, kenapa agaknya ramai orang yang senang semakin senang, dan sesetengah dari kita pula, seolah-olah tidak dapat mencari jalan keluar dari kesusahan yang melanda.

Bukankan Allah telah berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 7:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Aku akan menambah (nikmat) kepadamu tetapi jika kamu mengingkari (nikmatku), maka pasti azabku adalah sangat berat."

Saya percaya hampir semua orang Islam mengetahui ayat Quran yang tersebut di atas. Tetapi bagaimanakah cara untuk kita mengaplikasikannya di dalam hidup kita? Sebelum itu mari kita lihat mengapa bersyukur akan menarik rahmat Allah. Sebenarnya undang-undang yang Allah tetapkan di dalam ayat di atas adalah benar bukan sahaja untuk orang-orang Islam, tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang mahu bersyukur.

2. Mengapa bersyukur menarik rahmat Allah?
Allah sememangnya telah berjanji untuk menambah nikmat bagi orang-orang yang bersyukur, tetapi secara teknikalnya ada beberapa sebab mengapa orang yang selalu bersyukur akan semakin mencapai kebahagiaan.
  • Bersyukur mengingatkan kita kepada perkara-perkara positif di dalam hidup kita. Ini menyebabkan kita berasa gembira dan tenang. Di dalam situasi gembira dan tenang, kita akan lebih cenderung membuat pilihan-pilihan yang betul di dalam hidup kita. Sebenarnya hidup kita ini hanyalah rentetan-rentetan di dalam membuat pilihan sahaja. Tidak lebih dari itu. Tapi ini akan kita bincangkan di lain waktu.
  • Bersyukur di dalam keadaan sukar akan memberikan kita tenaga untuk menghadapi kesukaran tersebut. Contohnya jika kita menghadapi cabaran kesukaran di tempat kerja, tetapi sekiranya kita sedar bahawa kita sekurang-kurangnya masih mempunyai pekerjaan berbanding dengan ramai orang lain yang telah diberhentikan kerja, kita akan lebih mampu untuk bersabar di dalam kesukaran yang dihadapi.
  • Bersyukur mengingatkan kita tentang apa yang penting di dalam hidup kita ini. Sebenarnya di dalam hidup kita sehari-hari, kita selalu "sibuk" dengan perkara-perkara kecil. Kadangkala kita sibuk marahkan isteri yang lupa menjahit butang baju kita, hingga kita lupa yang kita masih ada seorang isteri yang setia.
  • Bersyukur mengingatkan kita untuk mengucapkan terima kasih kepada orang lain. Mengucapkan terima kasih kepada orang lain adalah sebenarnya satu perkara yang paling banyak membawa kebahagiaan di dalam diri kita. Semua manusia sebenarnya menginginkan untuk dihargai. Bila kita menghargai orang lain, itu akan membuat mereka gembira. Sebagai ganjarannya, secara automatik kita pula akan dianugerahkan rasa gembira di dalam hati oleh Allah.
3. Bagaimana bersyukur secara sistematik?
Ada 2 kaedah yang diperlukan untuk kita beramal dengan amalan bersyukur ini:
  • Amalan bersyukur secara tetap setiap hari.
  • Bersyukur apabila mendapat nikmat.
Carilah masa setiap pagi untuk bersyukur. Anda hanya memerlukan kurang dari lima minit. Sebutlah, "Segala puji bagiMu Ya Allah. Segala syukur kerana mengurniakan aku ....(sebutkan 10 perkara yang dapat anda fikirkan)." Ataupun jika sukar untuk menyebut, tulislah. Setelah tiba di pejabat setiap hari, sebelum memulakan kerja, saya selalunya membuka perisian word dan menuliskan 10 nikmat yang saya mampu fikirkan. Saya lebih suka menulis dari mengucapkan sahaja, kerana dengan menulis, lebih banyak deria kita akan dapat digunakan untuk bersyukur.

Kemudian, sepanjang hari apabila kita merasakan sesuatu nikmat, ucapkanlah terima kasih kepada Allah. Ada banyak nikmat yang kita terima setiap hari. Ucapkanlah terima kasih kepada Allah untuk setiap nikmat yang kita mampu. Ucapkanlah terima kasih kerana berjaya melintas round-about dengan selamat, ucapkanlah terima kasih kerana kita diberi rezeki untuk bersolat zohor, ucapkanlah terima kasih kerana kereta kita masih berada diluar rumah dengan selamat, tidak dicuri orang.

Mudah-mudahan dengan ini, hari demi hari hidup kita akan semakin dirahmati Allah. Bagaimana pula dengan saudara, adakah apa-apa pengalaman tentang amalan bersyukur yang boleh saudara kongsikan?


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails