Saturday, 25 July 2009

5 langkah apabila "terbuat" dosa.

Saturday, 25 July 2009

Sebagai manusia, walau bagaimanapun kita ingin untuk sentiasa menjadi hamba yang taat di dalam hati, kita tentu akan terjebak juga sesekali dengan dosa. Ini memang lumrah manusia. Tetapi yang lebih penting ialah, apa yang perlu kita lakukan sekiranya tersilap langkah melakukan dosa?


Langkah 1: Bersangka baik dengan Allah.
Apabila kita terjebak sahaja dengan dosa, dan kita pula terdetik untuk bertaubat, jerat pertama yang akan dilakukan syaitan ialah dengan meletakkan keraguan di hati kita. Sehingga kita merasa yang kita ini "kotor" dan "jahat." Apakah kemungkinan taubat kita akan diterima Allah. Syaitan akan membisikkan ke hati kita, "tak guna untuk engkau bertaubat, dosa engkau dah banyak, Allah tidak akan menerima taubat kamu. Engkau tu dah kotor." Ataupun sekurang-kurangnya, ia akan membisikkan, "kalau kamu bertaubat pun, apakah kemungkinan taubat kamu akan diterima."

Tetapi yang sebenarnya, Allah sangat-sangat gembira dengan orang yang mahu bertaubat.
Daripada Abu 'Abdurrahman, 'Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khattab (r.a), daripada Nabi (s.a.w), baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi ruhnya belum sampai pada tenggoroknya."
(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Ataupun, pernahkah saudara mendengar cerita tentang seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, dan kemudian mendapat taufik untuk bertaubat? Saya rasa saya tidak akan mengulang kisah tersebut disini, saudara boleh membacanya di kisahislam.com. Orang ini setelah bertaubat, belum pun sempat berbuat apa-apa kebaikan, tetapi telah dijemput oleh ajalnya. Tetapi, walaupun begitu, Allah masih menetapkannya sebagai orang yang dirahmati Allah.

Seperkara lagi, syaitan sentiasa berusaha untuk menghancurkan kita. Apabila kita melakukan kebaikan, syaitan berkata, "ahh.. aku dah tewas, aku tak mungkin dapat mengalahkannya." Tentu tidak, bahkan syaitan tidak mengalah dan akan terus berusaha hingga dapat menewaskan kita. Oleh itu saudara, apakah apabila kita sesekali tewas dengan tipudaya syaitan, kita mahu berputus asa dan terus berada di dalam ketewasan. Tentu tidak. Syaitan adalah musuh kita yang nyata. Sesekali tewas adalah adat di dalam peperangan. Yang penting ialah untuk bangun kembali dari setiap kekalahan.

Langkah 2: Segera memohon ampun.
Perkara kedua yang perlu kita lakukan adalah memohon ampun dari Allah. Jangan biarkan dosa yang dilakukan menjadi titik hitam di dalam hati. Semakin banyak titik hitam, semakin susah untuk kita bertaubat nanti. Jadi jangan bertangguh lagi, segeralah memohon ampun dari Allah. Jika kita berada ditengah-tengah orang ramai, mintalah ampun dengan berkomunikasi kepada Allah. Katakanlah, "Ya Allah, aku dah buat dosa Ya Allah. Aku tak sengaja Ya Allah. Aku ni lemah. Ampunkan aku Ya Allah, aku nak bertaubat, tolonglah aku bertaubat Ya Allah." Kemudian, apabila kita pulang ke rumah dan dapat masa untuk bersendiri, lakukanlah solat taubat. Kembalikan jiwa kita kepada ketaatan.

Seperkara lagi yang sangat penting ialah, jangan menghebahkan dosa yang dilakukan kepada orang lain.
Rasulullah mencela ucapan pelaku maksiat yang mencemari dirinya sendiri dan membuka tutupan Allah terhadapnya, beliau bersabda:
"Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan (melakukan maksiat). Dan termasuk terang-terangan, adalah seseorangyang melakukan perbuatan maksiat di amalam hari, kemudian di pagi harinya - padahal Allah telah menutupnya, ia berkata: wahai fulan, kelmarin aku telah melakukan ini dan itu - padahal Allah telan menutupnya - dan di pagi harinya ia membuka tutupan Allah terhadapnya."

Al-Bukhari, Kitab al-Adab, bab 60. hadits no. 6069

Langkah 3: Hilangkanlah kesan dosa.
Langkah ketiga ialah menghilangkan kesan dosa yang dibuat.

Abu Zar al-Ghifari r.a. meriwayatkan bahawa beliau berkata: "Ya Rasulullah, nasihatilah aku."
Lantas baginda s.a.w bersabda: "Apabila kamu telah mengerjakan sesuatu kejahatan, maka segerakanlah kebaikan nescaya kejahatan itu akan terhapus."
Abu Zar r.a bertanya: "Ya Rasulullah s.a.w, bacaan LAA ILLAAHAILALLALLAAH itu adakah termasuk dalam kebaikan."
Baginda bersabda: "Ia adalah kebaikan yang afzal."

Lakukanlah kebaikan yang sepadan dengan dosa yang dilakukan. Jika dosa dari mata yang dilakukan, maka buatlah kebaikan dengan mata juga, contohnya membaca Quran dengan melihat mashafnya. Jika kita telah menzalimi orang lain contohnya, segeralah pulangkan haknya atau meminta halal. Melainkan sekiranya jika dengan meminta maaf akan menyebabkan pertelingkahan yang lebih buruk. Sebagai contoh, sekiranya anda telah bercinta dengan isteri orang umpamanya. Meminta maaf dari suaminya yang masih belum tahu tentang perkara ini, tentu akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk. Dalam keadaan ini, banyak-banyaklah mendoakan kebaikan untuk orang yang dizalimi. Mudah-mudahan Allah akan menghilangkan sisa-sisa dosa yang masih tinggal.

Langkah 4: Analisa apakah "root cause."

Saudara, menurut para ulama salah satu syarat bertaubat ialah berazam untuk tidak melakukan dosa tersebut lagi. Tapi apakah kaedah praktikal untuk memastikan ia tidak berlaku lagi. Untuk ini, kita perlu melakukan "root cause analysis." Cari apakah punca yang menyebabkan dosa tersebut berlaku. Ada banyak teknik untuk melakukan root cause analysis, salah satu darinya ialah "ask yourself 5 times why." Sebagai contoh, jika anda selalu gagal untuk melaksanakan solat isyak, mungkin analisanya kelihatan begini:

Gagal solat isyak
why (1)
Terlalu mengantuk
why (2)
Makan banyak setelah pulang dari kerja
why (3)
Terlalu lapar
why (4)
Kali terakhir makan adalah pukul 12 tgh

Dalam hal ini, belumpun bertanya 5 kali why, root cause telah pun berjaya dikenalpasti. Langkah seterusnya ialah untuk mencari langkah supaya ia tidak berulang lagi.

Langkah 5: Cari langkah supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.
Dalam contoh kita di atas, root cause mengapa anda selalu gagal solat isyak adalah kerana kali terakhir anda makan adalah pada pukul 12 tgh. Oleh itu mungkin sebagai "countermeasure," anda boleh mengubah sedikit jadual supaya anda boleh makan sedikit pada pukul 5 ptg. Anda juga mungkin boleh "tapau" makanan pada pukul 12 tgh. supaya anda boleh makan pada pukul 5 ptg. Apa yang penting, azam sahaja tidak memadai. Untuk memastikan dosa yang sama tidak berulang, kita perlulah melakukan analisa dan menjalankan langkah-langkah secara praktikal. Sekiranya tidak, azam hanya akan tinggal azam, dan kita akan sentiasa berada ditakuk yang sama sahaja.

Selamat mencuba.



2 comments:

raihana hayati said...

"root course" hehe..RCA?
tp bgs juga wt RCA tu..utk kenal pasti dr dasar lagi..ape yg xbtl yg patut kite lakukan...dan elakkan

Schanizan said...

Kadang-kadang kita banyak dapat ilmu di tempat kerja, tapi tak dapat mengaplikasikan pula di rumah.

Kadang-kala pula kita dapat ilmu di rumah, tapi tak dapat mengaplikasikan di tempat kerja.

Semoga segala ilmu yang kita dapati dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails