Sunday, 9 August 2009

Bagaimana cara menegur dengan berkesan?

Sunday, 9 August 2009
Tidak dapat tidak, memberi teguran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakan di dalam hidup kita. Semua manusia termasuk kita sendiri, sesekali tentulah tersilap langkah di dalam mengambil tindakan sehari-hari. Adakalanya kita mungkin tersedar kesilapan kita sendiri, tetapi adakalanya kita perlu ditegur untuk sedar. Apatah lagi sekiranya kita adalah seorang ketua, tidak kiralah ketua di tempat kerja, seorang suami, mahupun seorang bapa, memberi teguran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakan.
Memberi teguran, kadangkala membawa kesan yang positif, yang mana orang yang ditegur berubah kepada kebaikan. Tetapi jika kaedahnya tidak efektif, silap-silap gaya, kesan yang berlaku adalah kepada arah yang negatif pula. Mungkin orang yang ditegur akan menjadi "defensive" dan semakin menjauhi kita. Jadi bagaimana kaedah menegur yang berkesan? Mari kita lihat beberapa tips yang mungkin boleh membantu.

1. Berhenti dan betulkan niat kita dahulu.
Apabila terdetik sahaja di dalam hati kita untuk menegur, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk berhenti dan menarik nafas. Ini adalah kerana di dalam kebanyakan kes, kita sebenarnya menegur bukan untuk memperbetulkan, tetapi lebih kepada melampiaskan perasaan marah ataupun tidak puas hati.

Semasa saya berada di sekolah menengah, ada seorang guru disiplin yang bernama Ahmad Zaki. Walaupun Cikgu Ahmad Zaki adalah seorang guru disiplin dan banyak merotan murid-murid nakal, rata-rata murid-murid tidak membenci Cikgu Ahmad Zaki seperti cikgu-cikgu disiplin yang lain. Saya pernah berkesempatan melihat bagaimana Cikgu Ahmad Zaki merotan seorang rakan yang ponteng kelas. Setelah melakukan soal siasat, dan didapati murid tersebut bersalah, Cikgu Ahmad Zaki pun berkata dengan senyuman, "Awak pun tahu hukuman ponteng kelas kan? Nah, pusing belakang dan letakan tangan awak ke dinding." Lalu proses merotan pun berlaku. Cikgu Ahmad Zaki merotan tanpa sedikit pun perasaan marah, tetapi lebih kepada perasaan tanggungjawabnya, dan dengan harapan supaya murid itu akan berubah.

Sebenarnya ada banyak teknik untuk memberi teguran. Tetapi yang penting sekali dari segala teknik adalah niat kita. Pastikan apabila kita menegur, niat kita adalah supaya orang yang ditegur akan menjadi seorang yang lebih baik lagi, dan bukan untuk melepaskan perasaan kita.

2. Mulakan dengan sesuatu yang positif.
Cuba beritahu saya, siapa di antara anda yang suka ditegur? Semasa mula-mula bertugas selepas tamat belajar, saya dan beberapa orang rakan pernah datang lambat untuk sebuah mesyuarat. Saya ditegur secara umum oleh ketua saya tanpa menyebut nama. Walaupun begitu saya amat marah di dalam hati, sungguhpun saya tahu sebenarnya saya yang bersalah. Kebanyakan manusia, kecuali mereka yang telah mencapai "kesedaran tertinggi" tentu akan merasa "tidak sedap" apabila ditegur. Jadi apa yang boleh kita lakukan? Bagaimana kita hendak mengurangkan sifat defensive dari orang yang akan ditegur? Satu cara ialah dengan memulakan komunikasi dengan sesuatu yang positif. Antaranya ialah dengan memberi pujian terhadap sesuatu perbuatan baik yang telah dilakukan oleh orang yang hendak ditegur.

Malangnya ada di antara kita yang menyangka berlemah-lembut itu tanda lemah. Janganlah kita menyangka bahawa berlemah-lembut itu menyebabkan kita dipandang rendah. Ingatlah perintah Allah kepada Nabi Musa (a.s) untuk menghadapi Firaun:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah  melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut.
(Surah Taha ayat 33-34)

3. Tegurlah dengan hikmah.
Setelah memastikan niat kita, dan memulakan komunikasi dengan sesuatu yang positif, bolehlah kita mula memberi teguran. Memberi teguran pula perlu sesuai dengan keadaan orang yang ditegur. Cara menegur anak-anak tidak sama dengan menegur orang dewasa. Cara menegur seorang pekerja yang berdedikasi tetapi tersilap mengambil keputusan, tentunya tidak sama dengan cara untuk menegur pekerja yang langsung tidak peduli akan kualiti kerjanya. Terlalu banyak kaedah menegur yang ada untuk diceritakan di dalam sebuah artikel. Yang penting, anda perlulah mengkaji setiap situasi dan menggunakan kreativiti anda. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa "rules of thumb" yang perlu diambil kira:
  • seboleh-bolehnya tegurlah secara persendirian ditempat yang tersorok supaya orang yang di tegur tidak merasa malu.
  • sekiranya menegur di dalam majlis umum, janganlah menyebut nama secara spesifik.
  • orang yang lembut hatinya, boleh diberi teguran secara menasihati.
  • orang yang tinggi egonya, perlu diberi teguran secara cabaran.
  • kadangkala, ada orang yang membuat perangai kerana rasa tidak diperlukan. Orang sebegini perlu diberi lebih peluang memikul tanggungjawab yang lebih besar.
  • apabila menegur cuba duduk di sebelah orang yang ditegur, bukan di hadapan. Kedudukan di tepi menyebabkan orang yang ditegur kurang  merasa defensive berbanding kedudukan di hadapan.
Tentu banyak lagi kaedah menegur yang boleh dilakukan. Tak mugkin saya dapat memikirkan kesemuanya. Apakata anda berkongsi pengalaman anda dan memberikan "teguran" anda di ruang komen?



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails