Thursday, 30 July 2009

Cara mengatasi tekanan ditempat kerja.

Thursday, 30 July 2009
Keadaan kerja kita sekarang ini, sudah jauh berbeza dengan keadaan kerja atuk dan nenek kita dahulu. Dengan persaingan globalisasi yang semakin sengit, expectation terhadap "work performance" menjadi lebih dan lebih lagi menekan. Setiap perkara perlu diselesaikan dengan cepat dan tepat. Kegagalan dan kesilapan adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan. Kalau atuk dan nenek kita dahulu bekerja 10 jam sehari, dengan kewujudan handphone dan email, kita pula terpaksa "stand by" 24 jam sehari.



Saya juga tidak terlepas dari keadaan ini. Dalam posting, "bagaimana mencari ketenangan dengan berserah kepada Allah," saya ada menceritakan bagaimana tertekannya saya ditempat kerja. Tetapi semua itu hampir berubah, apabila pada suatu hari, apabila saya merenung tentang seorang juruteknik mesin fotokopi yang selalu datang ke tempat kerja saya.

1. Mengapa kita rasa tertekan?
Di dalam posting yang lepas, saya ada ceritakan bagaimana pelbagai masalah melanda tempat kerja saya disebabkan satu pemindahan teknologi yang berlaku dengan tidak sempurna. Saya pula amat tertekan, kerana sayalah yang bertanggungjawab di dalam projek itu, dan saya pulalah yang akan berhadapan dengan pihak pelanggan di atas semua kegagalan. Dalam pada itu, walaupun ramai jurutera yang sama-sama tertekan seperti saya, ada juga rakan-rakan kami yang tidak merasa tertekan. Kenapa? Jawabnya mudah saja. Kerana kejayaan pemindahan teknologi itu bukan tanggungjawab mereka, tetapi tanggungjawab saya dan para jurutera. Kita akan merasa tertekan, bilamana kita dipertanggungjawabkan tentang sesuatu tugas.

2. Tapi benarkah kita yang bertanggungjawab?
Di tempat saya berkerja, sering didatangi oleh seorang juruteknik mesin fotokopi, apabila mesin tersebut menghadapi masalah. Kadangkala beliau dapat menyelesaikan masalah yang berlaku, tetapi adakalanya tidak. Tetapi sungguhpun beliau tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, beliau tidak rungsing atau tertekan. Juruteknik itu hanya akan berkata, "tidak mengapa, saya akan minta bantuan engineer saya." Bila merenung situasi ini, tiba-tiba satu anjakan paradigma berlaku di dalam jiwa saya.

Adakah benar kita yang bertanggungjawab di atas segala tugas kita? Saya sekarang bekerja di sebuah syarikat, katalah U-C Sdn. Bhd. Tetapi di dalam realiti yang lebih mendalam, saya sebenarnya hanyalah hamba Allah. Saya bekerja dengan Allah, dan Allah menghantar saya ke syarikat U-C Sdn. Bhd. untuk menyelesaikan masalah di sana. Keadaan saya, sama saja dengan juruteknik mesin fotokopi yang sering datang ke syarikat U-C Sdn. Bhd. Apabila saya tidak dapat menyelesaikan tugas saya, kenapa pula saya perlu risau? Mengapa tidak saya minta pertolongan dari "majikan" saya, sebagaimana yang dilakukan juruteknik tadi. Anjakan paradigma ini, benar-benar meredakan tekanan yang berada di dalam dada saya. Sekarang ini, apabila berhadapan dengan masalah kerja yang tidak mampu saya selesaikan, saya akan meminta pertolongan Allah. Saya katakan, " Ya Allah, Engkau hantar aku untuk selesaikan masalah di sini. Tetapi masalah ini rumit sangat Ya Allah. Aku tak mampu selesaikan Ya Allah. Berilah aku idea dan kekuatan, bagaimana nak selesaikan masalah ni." Yang sebenarnya masalah tidak selesai sebaik sahaja saya minta pertolongan dari Allah. Tetapi, apabila saya buat begini, saya merasakan jiwa saya lebih tenang. Saya tidak lagi keseorangan menghadapi masalah. Bukan tanggungjawab saya lagi untuk menyelesaikan masalah. "Majikan" saya akan membantu saya menyelesaikan masalah tersebut. Dan selalunya, akan ada sahaja idea bagaimana untuk menyelesaikan masalah apabila hati sudah tenang.

3. Kesimpulan
Ada 2 langkah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja.
  • Tukar paradigma - anda bukan bekerja dengan manusia, tetapi anda adalah hamba Allah. Allah yang meminjamkan anda ke tempat kerja sekarang ini untuk memberikan khidmat di situ bagi pihakNya.
  • Minta bantuan majikan sebenar anda bila berhadapan dengan masalah - Apabila anda menghadapi masalah, tekanan atau kebuntuan, mintalah bantuan dari Allah. Dia yang menghantar anda ke sana, dan Dia jugalah yang mempunyai jawapan kepada semua persoalan anda. Sama saja dengan juruteknik mesin fotokopi yang meminta bantuan juruteranya apabila gagal menyelesaikan sesuatu masalah. Dia tidak risau dan dia tidak tertekan, kerana ada seseorang yang mahir akan membantunya menyelesaikan masalah.
Sekian, selamat mencuba.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails